Searching...

Kenali Diri Bahawa Kita Semua Adalah Hak Milik Allah S.W.T.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

"Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu – (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? - Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya; Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu." (Al-Infitar: 6-8).



Wahai insan, siapakah kamu?

Adapun kami, para mukmin yang benar, kami berkata: kamu adalah ruh (ciptaan) Tuhan yang amat seni, hembusan ruh-Nya yang suci murni, ruh daripada ciptaan Allah. Dia menciptakan kamu dengan Tangan-Nya, Dia meniupkan ke dalam jasad kamu daripada ruh-Nya, dan Dia menganugerahkan kamu kelebihan-kelebihan yang banyak berbanding dengan makhluk-Nya yang lain. Dia perintahkan malaikat sujud kepada kamu, Dia ajarkan kamu nama-nama semua perkara, Dia kemukakan kepada kamu amanah lalu kamu menyanggupinya. Dia curahkan ke atas kamu nikmat zahir dan batin, yang nyata dan tidak nyata. Dia sediakan untuk kamu semua yang di langit dan di bumi.

Dia memuliakan kamu dengan kemuliaan yang sebenar-benarnya. Dia menicptakan kamu dengan ciptaan yang paling indah dan paling sempurna. Dia menyediakan kamu dengan persediaan yang secukup-cukupnya. Dia anugerahkan kamu pendengaran, penglihatan, hati dan fikiran. Dia menerangkan kepada kamu dua jalan, memberikan kamu dua pilihan dan mempermudahkan kamu merentasi jalan-jalan yang kamu mahukan. Dia menjadikan kamu berupaya meredah lautan, meneroka awan, mendahului arus eletrik, meleburkan atom dan sebagainya. Dengan fikiran dan kekuatan yang ada pada kamu, kamu mampu menebusi lapisan-lapisan langit yang tinggi.



Maka adakah kamu fikir ada yang lebih hebat, lebih tinggi, lebih suci dan lebih mulia daripada kamu?

Ubatmu ada padamu tetapi kamu tidak nampak,
Ubatmu daripada dirimu tetapi kamu tidak sedar,
Kamu sangka kamu adalah sebutir jirim yang kecil,
Padahal di dalam dirimu terperusuk alam yang sangat besar!

Dan kamu, selepas kehidupan di dunia yang singkat ini akan hidup kekal abadi tiada penghujung. Kamu hidup, kemudian dibangkitkan dan dihimpunkan. Kamu akan memulakan kehidupan yang mulia di negeri yang penuh kenikmatan dan keagongan.

Seandainya kamu memahami rahsia tanggungjawab kamu di dalam hidup ini, pastinya kamu akan mengikhlaskan amal kamu untuk Tuan yang memiliki dirimu, yang berhak dan layak kamu sembahNya.

Firman-Nya bermaksud:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah Dia-lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dia-lah sahaja) Yang mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat dan Kukuh akan kekuasaan-Nya. (Az-Zariyat: 56-58)

Dan tiadalah kematian yang kita takutkan itu melainkan suatu perpindahan dari kehidupan sekarang kepada kehidupan yang akan datang. Dan tiadalah jasad ini melainkan sebuah sarang tempat kamu terkurung di dalamnya, sehelai pakaian yang akan kamu tanggalkan bila tiba masanya. Selepas itu kamu akan kembali ke hari pembalasan. Moga-moga Allah rahmati hamba-Nya yang arif ketika beliau bermadah:

Aku adalah seekor burung dan jasad ini adalah sangkarnya,
Aku akan terbang meninggalkannya dan sarang ini tinggal menanggung beban,
Aku di dalam bentuk rupaku dan jasadku ini bajuku untuk satu waktu,
Aku kini bermunajat kepada Tuhanku, dan aku melihat-Nya terang-terangan,
Jangan kamu sangka mati itu mati, ia tidak lain hanyalah perpindahan dari sini ke sana!

Golongan materialis berkata: Kamu wahai insan hanyalah segenggam tanah, setitik mani dari tulang sulbi yang dicampakkan ke dalam rahim. Kamu akan binasa bersama hari yang kamu lalui, kamu akan ditelan oleh batu nisan. Kemudian tidak ada apa-apa lagi selepas itu! Siapakah yang akan menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh?

Demikian juga kata-kata golongan ini daripada kalangan mereka yang terdahulu dan mereka berkata; “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan peredaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata. (Al-Jatsiyah: 24)

Golongan mereka masa kini pula berkata, “Kamu adalah gabungan unsur-unsur kebendaan dan perkembangan fisiologi dari satu tahap ke satu tahap. Perasaan, fikiran, kefahaman, kehendak dan keazaman, semua itu lahir daripadan percaturan benda-benda yang tidak bernyawa, hasil gabungan tanah dengan air semata-mata. Tiadalah kehidupan ini melainkan hari-hari yang kita lalui yang boleh dihitung. Masa inilah kita membina bangunan, merebut peluang menggapai kepuasan diri.”

Dunia tidak lain hanyalah makan, minum dan tidur jika perkara itu tidak kamu perolehi, maka ucapkanlah kepada dunia ‘selamat tinggal!’ Demikianlah wahai saudaraku, isu kehidupan. Jika kamu perhati dengan halusi, kamu fikir dengan teliti, kamu tidak termasuk dalam golongan yang mensia-siakan kehidupan mereka yang menghinakan keinsanan mereka, nescaya kamu akan dapat menetapkan matlamat hidup kamu dan mengetahui dengan jelas jalan kamu.

Apa yang aku ingin nasihatkan kamu ialah kamu ambil masa bersendirian di waktu malam atau siang untuk kamu melihat yang manakah antara dua pendapat tadi yang lebih baik dan lebih afdhal untuk kehidupan individu dan jamaah. Sehingga kamu benar-benar berpuas hati dengan pendapat pertama yang mana itulah fitrah, maka hadapilah dirimu, sempurnakan kelebihannya, angkat dia daripada bergelumang dengan perkara remeh-temeh dan mengejar matlamat yang tidak bermakna. Kamu berhubung dengan Tuhanmu yang Maha Tinggi, kamu sucikan dirimu dengan mengingati-Nya, mentaati perintah-Nya, muraqabah serta takut kepada-Nya.

Sesiapa yang mengenali dirinya, sesungguhnya dia telah mengenali Tuhannya. Sesungguhnya kamu telah dicalonkan untuk memikul satu tugas Sekiranya kamu benar-benar menyedarinya dan menghargainya maka pelihara dirimu jangan sampai kamu akan mencurahkan air mata penyesalan.

Dan jangan hairan sekiranya ada dalam kalangan manusia yang memilih pendapat kedua kerana kita berada di antara dua persimpangan, sama ada fitnah atau hidayah! "Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. Kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah daripada golongan orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu."

Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, yakni ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah.

Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka sentiasa berfikir.” (Al-A ’raf: 175-176).

Moga-moga Allah S.W.T. ilhamkan kami dan kamu kepada kematangan dan tunjukkan kita jalan yang benar dan di redhai-Nya...


Nukilan Imam Hasan al-Banna

Penghayatan Berfikir

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger