Searching...

Manusia Lahir Tidak Mengetahui Apa-apa Pun

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Surah An-Nahl: 78-79

78. Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu Dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.
79. Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung Yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? tiada Yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; Sesungguhnya pada Yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum Yang beriman.


Huraiannya:

Pada ayat 78: Allah memberitahukan, bahawa manusia itu pada permulaan dia dilahirkan oleh ibunya tidak mengetahui sesuatu apapun. Bererti dia tidak ada pengetahuan, sehingga dia tidak tahu apa-apa melainkan hanya menangis sahaja apabila lapar atau berada dalam kesakitan.

Malahan tidak pula tahu bagaimana hendak meminta, atau hendak menyatakan sesuatu selain melahirkan watak atau pembawaannya semulajadi. Watak atau pembawaan yakni 'instinct' yang bermaksud naluri bagi seseorang manusia, memanglah mudah terlahir dengan tidak perlu belajar terlebih dahulu. Tetapi kegiatan watak itu akan membahayakan dirinya jika tidak diberi kawalan tentang menggunakan pancainderanya dengan betul.


Allah telah mengurniakan manusia beberapa pancaindera yang sangat penting kerana mempunyai peranan yang besar iaitu; pendengaran, penglihatan dan hati. Inilah yang dikurniakan Allah, supaya dipergunakan dengan cara yang betul. Malahan juga bertanggungjawab, dan akan ditanya tentang peranan yang dimainkannya.

Dalam hubungan ini, Allah berfirman pada ayat 36 surah al-Isra':

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya. [Al Israa':36]


Huraian bagi maksud ayat di atas ialah; jangan mengikuti apa yang tidak kamu ketahui dan yang tidak penting bagimu. Jika kita memiliki pengetahuan, maka manusia boleh menetapkan suatu hukum berdasarkan pengetahuannya itu. (Tafsir Imam Qurthubi).

Maksud yang lain pula ialah; Allah SWT melarang mengatakan sesuatu tanpa pengetahuan, bahkan melarang pula mengatakan sesuatu berdasarkan zan (dugaan) yang bersumber dari sangkaan dan ilusi (Tafsir Ibnu Katsir).

Maka kita gunakan pendengaran untuk mendengar pengajaran agama yang berpunca dari kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya (hadis), supaya dijadikan pegangan untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Gunanya penglihatan untuk melihat kejadian isi alam yang ajaib-ajaib dan yang pelik-pelik, sehingga meyakinkan diri kita tentang adanya pencipta yang menjadikan kita, iaitu Allah Yang Maha Esa.

Gunannya hati, untuk memikirkan dan memahami akan makna atau erti segala sesuatu, yang boleh pula dijadikan bukti tentang keesaan Allah.

Mudah-mudahan manusia tadi (kita) sentiasa bersyukur kepada Allah. Adapun cara bersyukur itu, hendaklah menggunakan ketiga macam kurniaan Allah tersebut dengan betul, sesuai dengan maksud dia (manusia) dijadikan, agar manusia dapat berubah dari kejahilan menjadi berpengetahuan, yang akan menaikkannya ke taraf yang lebih tinggi di sisi Allah S.W.T.

Menurut pendapat Mc Dougall iaitu salah seorang sarjana Ilmu Jiwa (Psychology); bahawa manusia itu mempunyai pembawaan yang semulajadi atau naluri, dan dia telah menyusun dalam satu senarai dengan menyebutkan jenis-jenis naluri itu dan kesan-kesan yang ditimbulkannya seperti di bawah:
  1. Naluri kebapaan/keibuan, kesannya: kasih sayang.
  2. Naluri berbunuh-bunuhan, kesannya: Rasa geram, sedih dan marah.
  3. Naluri ingin tahu, kesannya: Takjub.
  4. Naluri ingin lepas daripada sesuatu, kesannya: Takut.
  5. Naluri cari makan, kesannya: Lapar.
  6. Naluri liar/ganas, kesannya: Jijik/Trauma/Fobia.
  7. Naluri minta tolong, kesannya: Harapan.
  8. Naluri seks/perkelaminan, kesannya: Bernafsu syahwat.
  9. Naluri terhina, kesannya: Terasa rendah diri.
  10. Naluri memerintah, kesannya: Bermegah-megah.
  11. Naluri memiliki, kesannya: Inginkan kepunyaan (berminat).
  12. Naluri membongkar dan menyusun, kesannya: Gemar bkerja dan bergiat.
  13. Naluri ingin bergaul, kesannya: Peramah.
  14. Naluri ingin ketawa, kesannya: Rasa terhibur.
Sebenarnya manusia itu kalau hanya dengan naluri yang empunya dirinya sahaja, tidak dapat meningkatkan dirinya menjadi lebih baik kalau tidak diberi panduan, untuk menyalurkan nalurinya itu dengan betul. Maka ajaran agamalah sebaik-baik alat untuk dijadikan panduan.

Pada ayat 79: Allah menyuruh manusia supaya memerhatikan pula akan hal burung. Burung adalah haiwan yang telah diarahkan oleh Allah untuk terbang di awang-awangan selagi dia masih berada di lapisan udara yang membolehkannya dia terbang.

Mengikut kata Ka'ab Al-Ahbar: Burung itu dapat naik ke udara setinggi 12 batu sahaja, dan tidak boleh naik lebih daripada itu. Ini menunjukkan semakin tinggi tingkatan udara itu, maka semakin kurang kuantiti udara yang mengandungi oksigen yang membolehkan burung itu bernafas dan terbang.

Kemudian Allah menyatakan pula: Tidak ada yang dapat menahan burung itu daripada terbang melainkan Allah jua. Bererti burung itu adalah suatu makhluk yang diberikan arahan kepadanya dan tertakluk di bawah kekuasaan Allah. Kalau sekiranya Allah menahannya, maka tidak lagi dia boleh terbang.

Sesungguhnya gambaran yang dijelaskan oleh Allah sebentar tadi, mengandungi tanda-tanda atau bukti yang terang tentang adanya Allah Yang Maha Esa lagi tiada mempunyai sekutu bagi-Nya yang mana bukti tersebut berguna bagi orang-orang yang beriman kerana akan menambahkan lagi keimanan mereka terhadap Allah.

Jika manusia sedar pada asalnya tidak berpengetahuan, maka dengan bekalan pancainderanya yang dikurniakan Allah itu hendaklah dipakai ke arah yang lebih berguna supaya bertambahlah ilmu dan kepandaiannya. Berkat ketekunan dan kerajinan semata-mata untuk menambah lebih banyak ilmu pengetahuan, maka jadilah manusia makhluk yang pandai sehinggakan dia dapat membuat bermacam-macam pekerjaan yang mendatangkan hasil yang banyak dan dapat menghasilkan teknologi yang canggih termasuklah alat-alat ciptaan baru yang menakjubkan seperti IPhone 4S, IPad 2 dan sebagainya. Sebahagiannya pula ada alat yang dapat membawa manusia terbang ke udara sepertimana halnya burung itu tadi.

Tetapi sungguh sedikit manusia yang mahu bersyukur dan berterima kasih kepada Allah S.W.T. Sebaliknya pula sungguh banyak manusia yang kufur padahal banyak sudah sebelum ini diberikan bukti tentang kewujudan alam sekeliling ini adalah hasil ciptaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa.

Oleh itu, ingatlah! Kepandaian manusia yang telah meningkat begitu tinggi, dan telah mencapai taraf seperti burung bahkan dapat terbang lebih tinggi dan lebih jauh ke angkasa lepas, sehinggakan ada yang telah sampai ke bulan, semuanya itu dengan kudrat dan kekuasaan Allah maka sudah semestinya manusia kena bersyukur dan mencari keredhaan Allah semata-mata dengan meningkatkan keimanan dan ketakwaan manusia kepada Allah S.W.T dan mengelakkan diri manusia daripada ancaman mahupun bala yang akan datang disebabkan kemurkaan Allah terhadap manusia.

Kursus Tafsiran Al-Qur'an

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

2 comments:

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger