Searching...

Bukti Bahawa Akal Fikiran Manusia Mempunyai Kelemahan yang Kita Tidak Sedari

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Banyak sangat buktinya kerana ia sering berlaku di dalam kehidupan ini - boleh rujuk entri, [Kehebatan akal fikiran manusia ada batasnya] untuk mengetahui cerita sebenar. Contohnya apabila didatangi ujian atau musibah bencana seperti jatuh miskin, dileter oleh isteri, muflis, dibuang kerja, sakit yang berat, patah kaki, kena tangkap, dimasukkan ke dalam penjara dan lain-lain lagi, maka jiwanya yang sempit disebabkan tidak beriman atau lemah iman itu seolah-olah menjerit-jerit cuma tidak didengarinya. Terasa sakit jiwa ini. Bumi yang luas dirasakan sempit. Badan terasa macam kena himpit seolah-olah masuk ke bumi. Akal fikiran yang selama ini begitu bebas, merdeka, mempunyai maklumat yang luas, telah terhempas daripada penerbangannya dan hilang kecerdikan dan kewarasannya maka tidak boleh nak membantu. Keadaan berfikir pun sudah jadi tidak menentu lagi. Perasaan jadi tidak normal dan sering kali bertindak melulu. Sesetengah pegangan sudah hilang, keyakinan berubah kepada 15%.

Baru kita faham, kalau akal sahaja kuat dan merdeka sedangkan jiwa lemah dan tidak merdeka, akhirnya akal juga akan turut sama lemah hingga tidak berfungsi mengakibatkan segala-galanya berubah dengan sekelip mata. Berubah sikap, berubah watak, berubah tabiat, berubah akhlak, dan berubah pakaian. Yang tidak berubah hanyalah nama dan warna kulit. Tetapi yang bersifat maknawi dan rohaniah berubah sama sekali semuanya. Amat terkejut lagi mengejutkan, hairan lagi menghairankan maka tercengang-cengang orang dibuatnya.


Begitulah apabila jiwa lemah kerana kelemahan iman atau sudah tidak ada iman, maka jiwa terasa sempit apabila terkena ujian atau ditimpa musibah. Seperti burung yang duduk di dalam sangkar yang sempit, menggelupur tidak keruan, menyondol sana, menyondol sini hingga tercabut bulu dan terkopek kulit kepala.

Sebab itulah Islam menyuruh penganutnya jangan hanya menguatkan akal semata-mata tetapi yang penting dari situ hendaklah sentiasa kuatkan jiwa. Jiwa hendaklah dikuatkan dengan iman dan sifat-sifat taqwa agar apabila diuji oleh Allah S.W.T, maka jiwa tidak terasa sempit. Jiwa tidak terasa menderita. Segala keyakinan dan pegangan agama tidak hilang begitu sahaja atau tidak berubah. Fikiran tetap dengan kemerdekaannya kerana jiwa sentiasa stabil dan normal, maka tidak terjejas oleh ujian tersebut.

Oleh itu, jangan kita biarkan jiwa kita dikurung oleh dunia dan masalah. Jangan penjarakan jiwa di dalam kongkongan nafsu yang tidak bebas. Jangan biarkan jiwa diseksa oleh ujian-ujian yang mendatang. Sepatutnya kita biarkan jiwa kita terbang tinggi hingga ke alam rohaniah yang lebih tinggi lagi atau alam ukhrawiah agar jiwa sentiasa bebas dan bersama-sama dengan Sang Pencipta. Firman Allah S.W.T:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: "Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri dan duduk, dan dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi sambil berkata: "Ya Tuhan kami, Engkau tidak menciptakan ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau! Maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Surah Ali Imran ayat 191).

Di samping itu, yang lebih penting lagi hendaklah manusia jadikan jiwanya selalu bersama dengan Allah S.W.T. Pergilah, dan bawalah jiwa ke mana-mana bersama-sama dengan Tuhan, jangan biarkan jiwa keseorangan (jiwa kosong). Kita jadikanlah Tuhan sebagai kawan kepada jiwa kita iaitu dengan sentiasa mengingati Allah S.W.T dalam apa jua keadaan sekalipun. Janganlah pisahkan jiwa dalam hubungan bersama Tuhan berdasarkan Firman Allah S.W.T:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: ".... (iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati (jiwa) menjadi tenteram." (Surah Ar-Ra'd ayat 28).

Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

1 comments:

  1. Bukti yang jelas dan nyata dari Al-Qur'an!

    ReplyDelete

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger