Searching...

Kelemahan Jin yang Kita Tidak Menyangka Boleh Berlaku

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Walaupun jin dan syaitan mempunyai kemampuan-kemampuan yang tidak dimiliki oleh manusia, akan tetapi al-Quran dengan tegas mengatakan bahawa hakikatnya syaitan berserta tipu dayanya itu adalah lemah. Boleh tengok entri mengenai [rahsia besar jin]. Entri di bawah hendak mewar-warkan kelemahan yang terdapat pada makhluk Allah ghaib yang bernama jin. Berikut adalah beberapa contoh kelemahan jin, di antaranya:


1. Tidak boleh mengalahkan orang-orang soleh.

Bukti bahawa syaitan atau jin tidak akan dapat mengalahkan orang soleh adalah perkataan syaitan sendiri ketika berdialog dengan Allah dalam surah Al-Hijr:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأَرْضِ وَلأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

Maksudnya: Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka." (Surah Al-Hijr ayat 39-40).

Dari ayat ini dapat difahami bahawa yang menyebabkan syaitan itu dapat menguasai seseorang adalah disebabkan perbuatan dosa bagi seseorang itu. Ketika seseorang itu dekatkan diri dengan Allah, maka syaitan akan lari dan tidak akan berani mendekatinya apatah lagi menguasainya.


2. Syaitan takut dan lari oleh sebahagian hamba Allah.

Apabila seseorang itu betul-betul memegang ajaran agamanya dengan betul serta mengukuhkan keimanannya dengan teguh, maka syaitan akan takut dan lari. Hal ini terdapat pada diri Umar bin Khattab r.a. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Tirmidzi, Rasulullah S.A.W bersabda kepada Umar: 

"Sesungguhnya syaitan sangat takut kepadamu, wahai Umar" (HR. Tirmidzi).

Bukan hanya kepada Umar sahaja, bahkan syaitan (jin kafir) juga akan takut kepada orang-orang beriman yang betul-betul dengan keimanannya. Dalam al-Bidayah wan Nihayah, Ibnu Katsir pernah mengutip sebuah hadis berikut ini:

"Sesungguhnya orang mukmin akan dapat mengawal (mengalahkan) syaitan sebagaimana salah seorang daripada kalian yang dapat mengawal untanya ketika dalam perjalanan" (HR. Ahmad).

Bahkan, apabila seseorang itu betul-betul, dan soleh, dia boleh membawa qarinnya (penyertanya), kerana setiap manusia itu sudah pasti disertai oleh syaitan (jin kafir) di sebelah kirinya dan malaikat di sebelah kanannya atau sering disebut dengan qarin masuk Islam. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim ini juga:

Rasulullah S.A.W bersabda: "Tidak ada seorang pun kecuali ia disertai oleh seorang qarin (penyerta) dari jin dan seorang qarin (penyerta) dari malaikat." Para sahabat bertanya: "Apakah termasuk anda juga wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Ya termasuk saya, hanya saja Allah menolong saya sehingga jin itu masuk Islam. Ia (jin tadi) tidak pernah menyuruh saya kecuali untuk kebaikan." (HR. Muslim).


3. Jin takut dan taat kepada Nabi Sulaiman.

Di antara mukjizat Nabi Sulaiman adalah dapat menaklukan jin dan syaitan sehingga semuanya boleh bekerja atas perintahnya. Hal ini sebagaimana ditegaskan dalam ayat al-Qur'an berikut ini. Firman Allah S.W.T:

فَسَخَّرْنَا لَهُ الرِّيحَ تَجْرِي بِأَمْرِهِ رُخَاء حَيْثُ أَصَابَ

وَالشَّيَاطِينَ كُلَّ بَنَّاء وَغَوَّاصٍ

وَآخَرِينَ مُقَرَّنِينَ فِي الْأَصْفَادِ

Maksudnya: "Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya; Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan; (Ia memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing); Dan Jin-jin Syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai belenggu." (Surah Shad ayat 36-38).

Mukjijat ini diberikan kepada Nabi Sulaiman sebagai pengabulan atas doanya yang mengatakan:

قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكاً لَّا يَنبَغِي لِأَحَدٍ مِّنْ بَعْدِي إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: Katanya: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; Sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa melimpah kurnia-Nya." (Surah Shad ayat 35).

Doa Nabi Sulaiman inilah yang menyebabkan Rasulullah tidak jadi untuk mengikat jin yang datang dengan melemparkan anak panah ke muka beliau. Dalam sebuah hadis Muslim dikatakan:

Dari Abu Darda berkata: Suatu hari Rasulullah S.A.W bangun, tiba-tiba kami mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: "Aku berlindung kepada Allah darimu," kemudian Rasulullah S.A.W juga bersabda: "Allah telah melaknatmu" sebanyak tiga kali. Rasulullah lalu menghamparkan tangannya seolah-olah beliau sedang menerima sesuatu. Ketika Rasulullah selesai solat, kami bertanya: "Wahai Rasulullah, kami mendengar anda mengatakan sesuatu yang belum pernah kami dengar sebelum ini. Kami juga melihat anda membukakan kedua tangan anda." Rasulullah S.A.W menjawab: "Baru Iblis, musuh Allah datang membawa anak panah api untuk dipasang di muka aku, lalu aku bersabda: Aku berlindung kepada Allah darimu sebanyak tiga kali, kemudian aku juga bersabda: Allah telah melaknatmu dengan laknat yang sempurna sebanyak tiga kali. Kemudian aku bermaksud untuk mengambilnya. Seandainya aku tidak ingat doa saudara kita, Sulaiman, sudah tentu aku akan mengikatnya sehingga menjadi mainan anak-anak penduduk Madinah" (HR. Muslim).


4. Jin atau syaitan tidak dapat menyerupai Rasulullah S.A.W.

Syaitan dan jin tidak dapat menyerupai bentuk dan muka Rasulullah S.A.W. Oleh kerana itu, apabila seseorang bermimpi melihat Rasulullah S.A.W, maka benar sungguh ia telah melihatnya. Dalam hadis sahih telah menyebut:

Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesiapa yang bermimpi melihatku, maka dia sungguh telah melihatku, kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku." (HR. Muslim).


5. Jin dan syaitan tidak boleh sampai ke batas-batas tertentu di langit.

Sekalipun jin dan syaitan mempunyai kelebihan dapat bergerak dengan cepat, akan tetapi mereka tidak akan dapat melepasi batas-batas yang telah ditetapkan yang tidak dapat dilalui selain oleh para malaikat. Kerana apabila mereka berani melaluinya, maka mereka akan binasa dan hancur. Oleh sebab itulah pula, jin tidak dapat mengetahui dan mencuri maklumat dari langit sehingga apa yang dibisikkannya ke tukang-tukang ramal dan dukun adalah penipuan semata-mata. Untuk lebih terperinci akan hal ini, dapat dilihat dalam Firman Allah S.W.T di bawah ini:

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ فَانفُذُوا لَا 

تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ

فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

يُرْسَلُ عَلَيْكُمَا شُوَاظٌ مِّن نَّارٍ وَنُحَاسٌ فَلَا تَنتَصِرَانِ

Maksudnya: Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembusi keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan dapat menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat); Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu); (Surah Ar-Rahman ayat 33-35).


6. Jin tidak dapat membuka pintu yang sudah ditutup dengan menyebut nama Allah.

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W bersabda: "Tutuplah pintu-pintu, dan sebutlah nama Allah (ketika menutupnya), kerana syaitan tidak akan dapat membuka pintu tersebut yang sudah dikunci dengan menyebut nama Allah. Tutup jugalah tempat air minuman (qirab dalam bahasa Arab adalah tempat menyimpan air minuman yang diperbuat daripada kulit binatang) dan bekas-bekas kamu (untuk masa sekarang seperti almari, peti sejuk dan lain) sambil menyebut nama Allah, meskipun kamu hanya menyimpan sesuatu di dalamnya dan (ketika hendak tidur), matikanlah lampu-lampu berkenaan." (HR. Muslim).

Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger