Searching...

Musibah Merupakan Suatu Kenikmatan Apabila Kita Menyedarinya

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Rumah banjir, kecurian, kemalangan, pergaduhan dan sebagainya. Mengapa semua ini semakin menjadi-jadi? Kalau musibah itu kena pada orang lain, dengan mudah kita akan mengatakan ianya sebagai bala dari Tuhan. Kalau musibah itu kena pada kita sendiri, mulalah kita menyalahkan takdir.

Mengapa aku yang kena? Aku dah berusaha kenapa aku masih gagal? Aku dah banyakkan doa dan juga solat. Kenapa aku yang dapat musibah? Soalan-soalan yang tidak munasabah mula terpacul di mulutku, paling tidak pun berlegar-legar dalam fikiranku, sebagai tanda ketidakpuasan hati terhadap kesudahan yang menimpa diriku. Seolah-olah aku ini berhak mempersoalkan keputusan Allah yang menentukan qada' dan qadar. Seolah-olah aku ini layak menentukan kesudahan mana yang aku suka. Jangan nafikan, kerana itu sudah menjadi sifat aku yang mudah lupa. Aku yang dimaksudkan di sini adalah kita semua aka manusia. Kita pasti pernah melalui perasaan-perasaan itu sekiranya kita manusia. Alhamdulillah sekiranya tidak pernah terlintas sedikit pun di hati kita perasaan itu, itu semua lindungan daripada Allah S.W.T.


Tujuan Musibah

Marilah kita sama-sama kita melihat musibah ini dalam sudut yang lebih positif. Sememangnya musibah itu mempunyai dua tujuan; satu sebagai balasan dunia (bala) kepada manusia yang ingkar, dan satu lagi sebagai peringatan kepada manusia yang beriman dan berakal. Sebagai contoh, bencana alam di sesebuah tempat yang menghapuskan seluruh penduduknya mungkin merupakan bala bagi penduduk tersebut yang ingkar kepada Allah, tapi ia merupakan peringatan kepada orang lain yang menyaksikan bencana tersebut.

وَكَم أَهلَكنا قَبلَهُم مِن قَرنٍ هُم أَشَدُّ مِنهُم بَطشًا فَنَقَّبوا فِى البِلٰدِ هَل مِن مَحيصٍ ﴿٣٦
Maksudnya: Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) yang terdahulu daripada orang-orang musyrik Makkah itu Kami telah binasakan. Kaum-kaum itu lebih kuat daripada mereka (orang-orang terdahulu), lalu kaum-kaum itu keluar mencari perlindungan di merata-rata negeri. (Meskipun demikian keadaannya) dapatkah (mereka) menyelamatkan diri? (Surah Qaaf ayat 36).

إِنَّ فى ذٰلِكَ لَذِكرىٰ لِمَن كانَ لَهُ قَلبٌ أَو أَلقَى السَّمعَ وَهُوَ شَهيدٌ﴿٣٧
Maksudnya: Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya. (Surah Qaaf ayat 37).

Contoh yang lain kekalahan yang menimpa firaun dan bala tenteranya merupakan bala bagi keingkaran mereka manakala kekalahan tentera Islam dalam pusingan kedua perang uhud merupakan peringatan bagi mereka yang beriman.

Dan tiadalah peringatan itu melainkan ia merupakan suatu rahmat daripada Allah kepada hambaNya. Dan tiadalah yang lebih mengetahui tentang manusia melainkan Allah akan sifat manusia yang mudah lupa dan mudah tergoda. Maka dikurniakan peringatan demi peringatan dalam pelbagai bentuk kepada hamba-Nya agar hamba-Nya kembali mengingati-Nya. Betapa kasihnya Allah kepada hamba-Nya. Percayalah bahawa ingatnya kita kepada Allah yakni tunduk patuh kita kepada Allah tidak sedikit pun memberi keuntungan kepada kekuasaan Allah. Allah Maha Besar tidak memerlukan sedikit pun daripada hamba-Nya bahkan kitalah yang berkehendakkan kepada-Nya. Maka wajiblah kita percaya bahawa semua itu adalah untuk kebaikan kita sendiri. Betapa kasihnya Allah kepada hamba-Nya.


Lumrah Hidup

Hidup kita merupakan ujian. Susah senang yang berlaku dalam kehidupan kita semuanya telah diatur rapi oleh Allah S.W.T untuk kita. Ia mewarnai kehidupan kita sebagai seorang manusia. Hidup mudah tanpa kesusahan pasti membosankan. Kesusahan yang berterusan pasti mengecewakan. Lumrah kehidupan pasti ada naik dan turun, menang dan kalah, berjaya dan gagal. Itu sudah menjadi Sunnatullah, Allah yang lebih memahami sifat makhluk-Nya. Tugas kita (sebagai hamba Allah) hanyalah menjalankan apa yang disuruh-Nya bukan menentukan kesudahan bagi sesuatu perkara. Biarlah ketetapan/kesudahan sesuatu perkara itu menjadi hak milik Allah semata-mata. Dan sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Adil.


Sikap Mukmin

Sikap kita sebagai orang yang beriman hendaklah sepertimana yang diucapkan oleh Rasulullah S.A.W.

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra berkata, Rasulullah saw bersabda: "Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia ditimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya." (Riwayat Muslim).

Hendaklah kita menerima segala apa yang berlaku di dunia ini dengan keredhaan yang mutlak kepada Allah S.W.T. Syukur dan sabar adalah respon kita yang paling baik untuk setiap perkara (senang atau susah). Syukur kerana pasti ada rahmat disebalik kesusahan yang menimpa, sabar kerana itulah tanda orang yang beriman.

Abdullah Ibnu Umar ra apabila ditimpa musibah akan mengucapkan alhamdulillah dan redha kerana:
  • Musibah yang datang bukan urusannya.
  • Tahu musibah yang lebih besar boleh terjadi.
  • Allah S.W.T akan kasih padanya.
  • Allah S.W.T akan beri pahala.
  • Antara rahmat Allah S.W.T yang akan kita dapati apabila ditimpa musibah ialah sebagai penghapus dosa, menambah pahala dan sebagai pencetus hidayah. Semua ini boleh kita dapati hanya apabila kita bersyukur dan bersabar.
  • Apabila kita bersikap sebaliknya, yang kita dapati juga adalah sebaliknya. Ia akan menambahkan dosa kita, mengurangkan pahala dan kita akan semakin jauh dari hidayah Allah. Na'uzibillah, moga dijauhkan.

Realiti Sebenar & Respon Kita

Realitinya, bercakap lebih mudah daripada merasainya. Perasaan yang terluka lebih pedih daripada jari yang dihiris pisau. Namun sebagai seorang yang beriman, batas-batas Islam perlulah dijaga walaupun perit di hati siapalah yang tahu. Percayalah yang kita boleh menghadapinya kerana Allah tidak mungkin menguji hamba-Nya sesuatu yang hamba-Nya tidak mampu untuk memikulnya. Percayalah selepas kesusahan pasti ada kesenangan. Berharaplah kepada Allah agar ditunjukkan segala jalan keluar. Dekatilah Allah S.W.T agar ditenangkan hati dan diberikan hidayah. Ra'ilah perasaan kita sekadarnya, jangan menafikan emosi seorang manusia kerana Rasulullah S.A.W juga pernah menangis ketika kematian anaknya Ibrahim. Bersyukurlah sekiranya hati kita masih menagih keampunan daripada Allah S.W.T dikala musibah menimpa kita kerana itulah tanda ia merupakan peringatan daripada Allah S.W.T. Semoga kita dikuatkan dengan peringatan-peringatan ini. 

Wallahua'lam.
Kredit untuk Blog Cahaya Mukmin.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger