Searching...

Renungan Bagi Umat Akhir Zaman yang Masih Ramai Belum Ketahui Lagi

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Antara kejayaan seseorang guru atau pemimpin atau ayah ialah dapat mendidik orang-orang di bawahnya hingga dapat rasa hormat dan takut kepadanya bukan hormat sahaja dan bukan takut sahaja. 

Antara kelemahan jemaah Islam pada akhir zaman ialah kurang mengambil berat tentang sembahyang dan akhlaknya. 

Antara kelemahan pemimpin Islam pada masa itu, ialah tidak ada sifat warak dan pemurah. 

Antara kelemahan seseorang pemimpin itu ialah, pengikutnya takut kepadanya kerana hukumannya, bukan kerana hormat kepadanya. Antara kelemahan sesetengah lelaki ialah takut dengan isteri, sekalipun ia ketua negara.

Antara kelemahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam akhir zaman ialah lemah iman, kurang perhubungan, tidak ada kasih sayang, tidak bersefahaman dan tidak ada rasa tolong-menolong antara satu sama lain. 

Antara orang yang hasad dan orang yang kena hasad, yang susah ialah orang yang hasad; lebih-lebih lagi apabila yang kena hasad mendapat kejayaan

Antara perkara-perkara yang melalaikan, tetapi tidak disedari ramai ialah, majlis kertas kerja yang tidak menghasilkan kerja, yakni cakap banyak tapi tidak dikotakan bak kata pepatah, 'indah khabar dari rupa.'

Antara sifat orang yang munafik itu ialah menganggap nasihat orang sebagai sindiran kepadanya, sebab itu orang munafik sebegitu tidak mahu menerima nasihat tersebut.

Antara sikap ulama' yang makan gaji pada akhir zaman ialah kurang bergaul dengan masyarakat umum, walaupun ada di majlis rasmi cepat dia memberi fatwa tetapi apabila orang bawahan membuat kesalahan, maka dia memejamkan mata apabila ia melibatkan orang atasan. 

Antara tanda-tanda hati telah rosak ialah, selalu menderita dengan dunia, seperti bersedih kerana miskin, susah hati apabila orang kata, menderita tidak dapat pangkat, dukacita disebabkan suami tidak melayan kehendak-kehendak hatinya. Tetapi dengan dosa dan dengan akhirat, dia tidak menderita. 

Antara watak bagi seorang wanita itu ialah menangis, simpati, merajuk, mudah lupa kebaikan orang, menunjuk-nunjuk, sabar, pemurah, mudah hilang pertimbangan, pemalu, penakut dan suka kepada pakaian lebih daripada suka kepada makan dan minum. 


Antara watak-watak salafussoleh ialah kalau sekiranya dia seorang ulama' maka dia suka beri tunjuk ajar, kalau dia seorang yang kaya maka dia seorang yang pemurah, kalau dia seorang miskin maka dia seorang yang sabar, dia adalah seorang pemuda/pemudi yang sentiasa menjaga maruahnya, dia banyakkan beribadah, suka dengan ilmu pengetahuan, berkasih sayang antara satu dengan yang lain, tolong-menolong dalam menyumbangkan kebajikan, suka mengembangkan dakwah Islam, menghormati tetamu dan mencintai akhirat. 

Apa saja yang kita lihat di dunia ini boleh kita ambil pengajaran, dengan syarat kita hendaklah melihat sambil berfikir dengan mata hati berserta hati  sentiasa berhubung dengan Allah S.W.T. 

Dengan cinta sesama manusia maka nafsu kian memuncak, tidak ada kata bahasa lagi yang hendak diucapkan. Apabila cinta bersemi maka gelora hati  kian memuncak, lidahnya akan bercakap secara meracau-racau. Kedua-dua cinta ini boleh menghilangkan pertimbangan akal. 

Apabila hidayah dan taufiq diperolehi oleh seseorang, akan tepatlah kesemua tindakannya. Apabila hidayah sahaja tidak bertemu dengan taufiq, maka selalu saja bersalah dalam membuat tindakan. Hidayah mudah didapati, tetapi taufiq susah hendak dicari. Hidayah seperti ilmu, taufiq ialah beramal dapat di tathbiq dengan ilmu. 

Apabila ilmu akhirat sudah dijadikan alat untuk mendapatkan dunia, maka akan rosak binasalah manusia dalam kegelimpangan dunia, ulama' hilang kehebatannya dan tidak lagi dihormati orang lagi. Apabila ilmu dan amal ibadah tidak membuahkan akhlak yang mulia, ertinya ilmu dan amal itu tidak ada nilainya di sisi Allah dan manusia. 

Apabila ilmu di akal pandai berhujah dan berlojik mengenai Tuhan. Apabila ada ilmu di lidah pandai bercakap mengenai Tuhan. Apabila ilmu di hati pula dia takut kepada Tuhan. 

Apabila jawatan kadhi menjadi rebutan, jawatan mufti menjadi idaman, jawatan imam menjadi sumber mata pencarian, maknanya hati ahli-ahli agama sudah tidak takut kepada Allah lagi. 

Apabila kasih sayang itu lahir daripada iman, ia akan kekal. Apabila kasih sayang itu kerana keduniaan, ia tidak akan kekal, boleh jadi ia disudahi dengan permusuhan. 

Apabila manusia telah rosak, maka hiduplah mereka dalam ketakutan. Si kaya takut dirompak. Orang yang berilmu takut dijauhi orang. Yang berpangkat dan berjaya takut didengki orang bawahan. Orang yang berkuasa (pemimpin) takut dijatuhkan rakyatnya. Si miskin takut dihina orang. 

Apabila kita berasa senang dengan pujian, berasa sakit dengan kehinaan menunjukkan kita ada kepentingan peribadi, tanda kita tidak ikhlas dalam membuat kebaikan. 

Apabila sesebuah jemaah Islamiah kurang mengambil berat mengenai sembahyangnya, sama ada lahirnya mahupun batinnya, waktunya mahupun displin sembahyang bagi para jemaahnya, maka jika ia memerintah negara pada suatu hari, jangan harap mereka akan dapat menegakkan keadilan. 

Apabila seseorang memberi tanpa kamu memintanya, maka ambillah. Itu bererti rezeki pemberian Allah yang disalurkan kepada kamu melalui orang itu. 

Apabila sesuatu bangsa itu Allah anugerahkan kemajuan dan pembangunan yang pesat secara istidraj (kemurkaan Allah) bukan atas rahmat-Nya. Pasti akan berlaku kerosakan di sudut-sudut lain terutama di sudut akhlak, hingga kemajuan dan tamadun fizikal itu sudah tidak ada nilainya lagi.

Apabila terasa diawasi Tuhan, rasa berdosa setiap masa, jiwa derita dengan dosa, rasa syukur dengan nikmat-Nya, rasa kurang beramal, rasa hina diri dengan Tuhan, itulah tanda sudah memiliki sifat kehambaanApakah yang menyebabkan engkau tidak kisahkan agamamu sedangkan engkau sendiri sering melihat daun yang hijau itu pun boleh tertanggal dari tangkainya? 

Asam garam, pahit maung di dalam kehidupan itu, itulah dia pengetahuan tanpa berguru, tanpa universiti dan tanpa degree. 

Apabila Allah membantu usaha-usaha hamba-Nya yang mukmin dengan keredhaan-Nya, sama ada dari sudut ekonomi, pembangunan, ketenteraan dan lain-lain kerana ketaqwaan hamba-hamba-Nya, terutama pemimpin, di samping mendapat kejayaan dan pahala, maka ia berlaku sekali dengan sifat-sifat terpuji seperti merendah diri di dalam kejayaan, timbul perpaduan, keharmonian, pemurah, bertimbang rasa, bertolak ansur, jujur, taat, setia, sabar, redha, adil, terlalu sedikit maksiat, masyarakat bersih daripada gejala-gejala tidak sihat. 

Tapi apabila usaha-usaha kita berjaya dengan kemurkaan (dengan istidraj) justeru di dalam kita membangun, dalam masa yang sama kita derhaka kepada-Nya akan berlaku side effect dari segi kemajuannya itu iaitu lahir orang-orang yang jahat, timbul kerosakan akhlak, terjadi perpecahan, perbalahan, perpaduan menjadi punah-ranah, tiada disiplin hidup, berfoya-foya, pergaulan bebas, menjadi-jadi gejala perbuatan zina, dadah, masyarakat huru-hara, hidup di dalam kebimbangan dan ketakutan. Kemajuan yang pesat hanya boleh dimegah-megah dan dibangga-bangga sahaja, namun hidup masih lagi terseksa. Di sinilah perlunya keredhaan dan keberkatan daripada Allah S.W.T di dalam semua usaha kita. Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger