Searching...

Tips Memilih Calon Dalam Pilihanraya Buat Golongan Atas Pagar aka Atas Pokok.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Memandangkan parlimen sudah sah dibubarkan setelah sekian lamanya kita menunggu, eloklah kiranya saya berkongsi tips dalam memilih calon untuk dipangkah pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti buat pengundi sekalian terutamanya yang masih berada di atas pagar/pokok (yang masih berbelah bagi) itu. Jangan duduk atas pagar/pokok lama-lama sangat, silap-silap hari bulan anda terjatuh, tiada siapa yang sudi menolong anda disebabkan sikap anda yang pentingkan diri sendiri itu. Yang memang dah pasang niat tidak mahu mengundi kononnya tidak mahu ambil tahu hal politik, tak payahlah hendak bising-bising dan komplen bermacam-macam lepas ni. Duduk diam-diam sudah dan pergi main jauh-jauh.


1. Kenapa saya perlu mengundi?

Pertama, kita perlu perbetulkan perspektif kita berkaitan dengan politik. Politik dan Islam tidak boleh dipisahkan. Ini kerana, dalam politik barat, mereka mencari kuasa dan menjauhkan orang lain. Politik Islam pula bertujuan mentadbir dan mengurus dunia berdasarkan keadilan. Gunakan kuasa memilih yang kita miliki bagi menentukan pemimpin yang dapat menegakkan kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat. Pengundian boleh menentukan masa depan rakyat dan negara. Keputusan yang betul akan menyelamatkan masa depan umat dan negara. Sementara keputusan yang salah akan menjerumuskan negara ke lembah kebinasaan, atau penyelewengan. Maka pengundian ini ada nilai yang besar dalam agama ini.


2. Boleh tak kalau saya tak nak mengundi?

Sekiranya kita tidak mengundi, orang yang tidak sepatutnya memegang kuasa pemerintahan akan mendapat kuasa itu. Siapa tahu bahawa undiannya atau pemilihan terhadap calon tertentu itu boleh membawa kerosakan atau keburukan kepada negara dan umat tetapi dia tetap lakukan atas kepentingan diri, atau secara suka-suka maka dia menanggung dosa. Demikian sebaliknya, jika dia memilih calon yang berkelayakan, maka dia menunaikan arahan Allah tadi, ini bererti dia mendapat pahala.


3. Apakah ciri-ciri calon yang patut saya undi?

Secara umumnya mudah sahaja, mesti memiliki dua aspek iaitu yang pertama; al-Quwwah atau kuat, dari segi bahasa ialah kemampuan, kewibawaan, kemahiran dan yang menjadikan dia mampu memimpin. Kedua; al-Amanah, ada kesolehan peribadi yang akan memelihara dirinya daripada melakukan penyelewengan dan pelanggaran hukum. Jika kedua-dua ciri ini kelihatan pada penampilan seseorang calon itu, maka dia patut kita pilih.


4. Kalau kesemua calon tidak mempunyai ciri-ciri tersebut?

Perlu diakui, tiada manusia dan tiada kerajaan yang sempurna di dunia sekarang ini. Jika kesemua calon didapati tidak mempunyai ciri-ciri yang layak untuk memegang kerusi tersebut, maka seorang muslim hendaklah memilih calon yang paling kurang mudarat dan paling ringan bahayanya terhadap rakyat dan umat dibandingkan dengan yang lain. Ini berasaskan kaedah syarak yakni, "mudarat yang lebih besar dihilangkan dengan mudarat yang lebih ringan" atau "memilih bahaya yang paling ringan."


5. Bagaimanakah jika kita tidak kenal latar belakang calon itu?

Wajib kita kena kenal calon yang hendak kita undi itu. Seseorang muslim hendaklah mengundi dengan ilmu pengetahuan, bukan sekadar ikut-ikutan. Ertinya, keputusannya untuk memilih seseorang calon adalah dengan pengetahuan berkenaan dengan latar belakang calon tersebut. Seseorang pengundi muslim hendaklah mendengar dari pelbagai sumber dan memilih yang terbaik. Ini kerana pilihanraya menawarkan lebih daripada seorang calon, maka kita perlu membuat pemilihan antara mereka.


6. Nak mengundi berasaskan calon atau parti?

Sepatutnya, kita tidak boleh mengundi hanya berdasarkan jenama parti semata-mata. Islam menyuruh kita memberikan amanah kepada sesiapa yang layak. Yang akan memikul amanah adalah orang, bukan parti. Akan tetapi, dengan keadaan sistem di negara kita yang mana pemilihan parti akan mempengaruhi kuasa pentadbiran sesebuah negara, situasi menjadi terbalik. Jika memilih calon tersebut boleh menjejaskan mandat yang bakal diberikan kepada parti yang bakal memerintah, di sini kita perlu beri undi berasaskan parti. Selain perlu menilai rekod, matlamat, manifesto dan juga apa yang tersurat dan tersirat di sebalik parti tersebut.


7. Memilih antara calon muslim dan non-muslim

Larangan berkawan dan menyokong non-muslim adalah bagi yang menentang Islam. Dan tiada larangan bagi non-muslim yang tidak menentang Islam. Persoalannya siapa yang perlu kita pilih antara calon muslim yang secara terang-benderang menentang, mempersenda dan menolak Islam serta mempunyai imej buruk dari segi akhlak, rekod pentadbiran yang buruk dan penyelewengan berbanding calon non-muslim yang lebih bersih imej dan nilai integritinya serta rekod pentadbiran dan pengurusan yang lebih baik dan telus? Takkanlah kita ingin memberikan amanah kepada mereka-mereka yang akan merosakkan dan tidak membawa maslahah kepada negara? Sekiranya calon non-muslim tersebut mampu melaksanakan tugas dengan baik membawa kebaikan buat negara tetapi calon Muslim pula sebaliknya, kita perlu memberikan undi kepada yang boleh membawa kebaikan buat negara. Kesimpulannya, tiada dalil qat’ie yang melarang untuk mengundi calon non-muslim dalam PRU di Malaysia.


8. Saya tidak mahu libatkan diri dengan sistem demokrasi ciptaan kafir.

Jika musuh ada organisasi yang memonopoli sistem demokrasi, apakah pejuang Islam perlu pejam mata dan pekakkan telinga saja atas alasan demokrasi, parti politik dan pilihanraya adalah sistem ciptaan org kafir? Apakah patut pejuang Islam membiarkan saja kerusi eksekutif yang berkuasa mencipta undang-undang ke atas umat di dewan rakyat, parlimen, dewan undangan negeri dan lain-lain diduduki oleh puak yang benci kepada Islam secara zahir dan batin? Kuasa eksekutif itu adalah asasi untuk mempraktikkan Islam secara syumul di bumi Allah S.W.T ini. Zaman Nabi S.A.W, kuasa eksekutif itu didapati melalui hijrah dan jihad di medan, manakala zaman ini seperti di Malaysia khususnya, ia diperolehi melalui pilihanraya. Jika itu realiti dan hakikat posisi kuasa pada hari ini, kenapa pejuang Islam perlu mengasingkan diri dan lari daripada merebut peluang untuk melaksanakan Islam melalui kuasa?

Oleh kerana pilihanraya demokrasi itu hanya boleh disertai oleh parti politik berdaftar, maka menjadi kewajipan kepada pejuang Islam untuk mendaftarkan paling kurang sebuah parti politik yang khusus bagi menduduki kerusi eksekutif dan menguasai pemerintahan negara untuk menegakkan Islam. Kita perlu faham, Islam itu bukan sekadar iman dan amal seperti solat, puasa, zakat, haji, zikir atau baca al-quran sahaja. Kalau itulah sahaja Islam, Nabi S.A.W tak perlu berhijrah dan berjihad untuk meluaskan kuasa.


Rasanya setakat itu sahajalah tips yang saya dapat kongsikan dengan kalian tanpa menyebut langsung nama-nama parti yang terlibat. Saya kira pengundi atas pagar adalah pengundi yang bijak dalam membuat pilihan yang tepat. Kerana anda bukan macai yang mengamalkan dasar taksub pada sesebuah parti politik. Pengundi atas pagarlah yang akan membawa arus baru dalam sistem politik di Malaysia.


Di bawah adalah video mengenai amanat dan penjelasan yang jelas daripada Ustaz Azhar Idrus kepada semua pengundi khususnya bagi golongan atas pagar yang akan mengundi nanti:



Di bawah ini pula adalah video mengenai amanat daripada Dr Maza dalam menentukan 'freedom, justice, order, walfare & security' bagi sesebuah kerajaan hasil tanggungjawab kita semua:


Wallahua'lam. Kredit untuk blog Selamat Tinggal Dunia & Solihin Zubir

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger