Searching...

Gambaran Bagi Kriteria Seorang Pekerja yang Kita Idamkan dan yang Tidak Diingini.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Untuk menggambarkan siapakah pekerja cemerlang yang menjadi idaman setiap insan, saya ingin kongsikan satu kisah dari seorang wartawan yang menemuramah tiga pekerja di sebuah tapak pembinaan. Tiga orang pekerja itu membuat kerja yang sama iaitu menyimen dinding bangunan. Mereka bertiga telah ditanyakan dengan satu soalan yang sama. Berikut adalah soalan dan jawapan bagi temu ramah itu:


Temuramah pekerja A:

Wartawan: "Awak sedang buat apa itu?"

Pekerja A: "Apa awak buta ke? Tak nampak ke saya sedang simen bangunan inilah!" (Riak wajahnya kelihatan masam).


Temuramah pekerja B:

Wartawan: "Awak sedang buat apa itu?"

Pekerja B: "Saya sedang menandatangani cek gaji saya." (Riak wajahnya kelihatan selamba).


Temuramah pekerja C:

Wartawan: "Awak sedang buat apa itu?"

Pekerja C: "Saya sedang membina rumah untuk orang yang tidak punya rumah. Saya dapat bayangkan sebuah keluarga akan tinggal di rumah yang saya sedang bina ini." (Riak wajahnya kelihatan tersenyum ceria).

"Anda tentu setuju kalau saya katakan pekerja C itu ialah pekerja cemerlang yang diidamkan oleh setiap insan lebih-lebih lagi majikan."

Walaupun ketiga-tiga pekerja itu membuat kerja yang sama, di tempat yang sama, tetapi pandangan mereka terhadap kerja yang dibuat oleh mereka adalah tidak sama. Ada yang masam, selamba dan ceria. Bak kata pepatah, "rambut sama hitam, hati lain-lain." Ini menunjukkan bahawa faktor pekerjaan bukan menentukan keceriaan atau kemuraman kita, tetapi itu semua ditentukan oleh tanggapan kita terhadap pekerjaan tersebut.

"Ketiga-tiga pekerja tersebut mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap pekerjaan mereka dan ini menentukan tahap keceriaan mereka sewaktu melakukan kerja tersebut. Apakah tanggapan itu? Mari kita lihat dengan lebih dekat."


Pekerja A bekerja kerana terpaksa.

Pekerja A bekerja secara terseksa dan benci akan kerjanya. Dia bekerja secara terpaksa. Apabila bekerja kerana terpaksa, usahkan diharap pada prestasi kualitinya, prestasi kuantitinya pun tidak juga memberangsangkan. Pasti sungguh mengecewakan. Kita tidak ingin menjadi seperti apa yang dirasai pada pekerja A. Jika kita tidak menyukai kerja kita, jangan tunggu lama-lama. Kita hanya ada dua pilihan:
  • Pertama, tukar kerja.
  • Kedua, tukar sikap kita terhadap kerja.

Jadi, yang mana pilihan kita terhadap kerja? Dalam banyak-banyak keadaan, pilihan kedua adalah pilihan yang terbaik. Ya, tukarlah sikap kita terhadap kerja. Kata orang tua-tua:

"Jika kita tidak dapat apa yang kita suka, kita perlu suka apa yang kita dapat."

Jangan biarkan diri kita terseksa dengan membuat kerja yang tidak kita sukai. Sebaiknya, ambillah langkah pembetulan yakni tukar sikap kita terhadap kerja.

Jika kita masih enggan menukar sikap kita seumpama di atas, dan terus melakukan pekerjaan atau tugasan dengan rasa benci, maka bukan sahaja kualiti pekerjaan terus merosot, malah kualiti kehidupan kita juga akan turut merosot.

Kita bukan sahaja menyeksa majikan dengan tahap produktiviti yang rendah, tetapi kita juga menyeksa diri sendiri dengan tahap keceriaan dalam hidup yang rendah.


Pekerja B bekerja kerana menerima.

Pekerja B lebih bermotivasi daripada pekerja A. Dia bekerja atas dorongan hendak menerima. Pekerja ini digerakkan oleh dorongan untuk mendapat keuntungan. Ada kerja, maka ada gaji. Tiada gaji, maka jangan harap hendak bekerja. Pekerja ini akan bekerja pada tahap biasa-biasa sahaja. Bahkan dia akan menjadi terlalu berkira dengan masa. Dia beranggapan, "buat apa kerja lebih-lebih, bukan dapat gaji lebih!" Itu prinsip dia.

Walaupun begitu, pekerja B adalah lebih baik daripada pekerja A. Namun begitu, dia masih tidak boleh dikatakan sebagai seorang pekerja yang cemerlang. Dia tidak ada ownership (kepunyaannya) dalam pekerjaannya. Batas atau tahap produktiviti dan kualiti kerjanya hanya sebatas gaji, bonus dan lain-lain imbuhan material.

"Mana mungkin dia bekerja sepenuh tenaga dan sepenuh hati kalau masih merasakan kerja itu bukan kepunyaannya!"


Pekerja C bekerja kerana memberi.

Pekerja C paling ceria kerana dia memikirkan bagaimana untuk memberi. Menerusi kerjanya itu, dia bukan sahaja berfikir untuk 'menerima' sepertimana yang diharapkan oleh pekerja B itu tadi, malah dia berfikir lebih daripada itu. Dia berfikir bagaimana hendak memberi menerusi kerjanya. Melalui pekerjaannya, dia merasa telah memberi khidmat, kebaikan, jasa dan bakti kepada orang lain.

Pekerja C bekerja bukan kerana terpaksa (seperti pekerja A) atau bukan sahaja untuk menerima (seperti pekerja B), tetapi dia bekerja untuk memberi. Dialah seorang pekerja contoh yang cemerlang dan menjadi idaman setiap insan. Tanggapannya terhadap kerja jauh lebih tinggi daripada yang lain. Dia bekerja untuk memberi! Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger