Searching...

[RENUNGAN] Tuhan Memberi Tanpa Dibalas, Tanpa Diminta, dan Secara Berterusan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Di Atas segala-galanya, Allah S.W.T adalah Pemberi yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Nama-nama Allah S.W.T seperti Ar-Rahman, Ar-Rahim, Ar-Razzaq, Al-Afuu, Al-Ghaffar, Al-Tawwab adalah sangat berkait dengan sifat memberi. Malah salah satu daripada nama-nama Allah S.W.T yang berkait secara langsung dengan sifat memberi ialah Al-Wahhab (Maha Pemberi).

Kita diwajibkan mengenali sifat Al-Wahhab (Maha Pemberi) ini. Bukan sahaja wajib belajar, memahami dan menghayati Al-Wahhab, malah kita dituntut untuk meniru dan meneladani sifat mulia dan baik itu dalam kehidupan seharian. Mari kita renungkan beberapa kriteria sifat Al-Wahhab agar kita menyedari betapa hebat dan agungnya sifat memberi milik Allah S.W.T. Di bawah adalah sifat-sifat Al-Wahhab.


Allah S.W.T Memberi Tanpa Perlu Kita Balas.

Berbeza dengan sifat manusia yang sering memberi untuk mendapatkan balasan seperti balasan pahala dan yang sinonim dengannya, tetapi Allah S.W.T pula sebaliknya kerana Dia Maha Kaya lagi Maha Perkasa dan suci daripada sifat kekurangan dan kelemahan yang ada pada-Nya. Allah S.W.T tidak memerlukan makhluk, sebaliknya makhluk yang memerlukan-Nya. Allah S.W.T mengurniakan begitu banyak, rahmat dan kurnia-Nya kepada setiap manusia, dan pemberian itu tidak mungkin dapat dibalas.

Allah S.W.T Maha Mengetahui tentang hakikat itu, namun Allah S.W.T terus memberi walaupun tidak dibalas oleh hamba-hamba-Nya yang kufur dan dibalas secara tidak setimpal oleh hamba-hamba-Nya yang taat.

Usahkan untuk membalas, mengiranya sahaja manusia tidak mampu. Kita meminjam terlalu banyak daripada Allah S.W.T. Ironinya, walaupun pinjaman itu masih tertunggak, namun Allah S.W.T tidak menarik semula nikmat pinjaman yang diberikan kepada kita. Sekiranya Allah S.W.T menghentikan pemberian itu, maka akan terhentilah perjalanan dunia dan seluruh kehidupan ini.

"Tetapi hakikatnya tidak begitu. Walaupun begitu, banyak 'hutang' manusia terhadap Allah yang tidak dilangsaikan, namun Allah tetap memberi kerana Allah memberi tanpa minta dibalas."


Allah S.W.T Memberi Tanpa Perlu Kita Minta.

Kebanyakan manusia, hatta yang pemurah sekalipun, akan memberi setelah kita minta. Allah pula sebaliknya, memberi sebelum diminta oleh makhluk-Nya. Manusia bersifat pelupa. Sering kali kita lupa meminta apa yang kita sendiri perlukan dalam hidup. Namun, Allah Maha Penyayang, Dia memberikan juga kepada kita rezeki, perlindungan, kesihatan dan pimpinan walaupun kita sering lupa untuk memintanya.

Bayangkan apa yang akan terjadi kepada kita jika Allah memberi hanya apabila kita memintanya? Boleh bernafaskah kita saat ini sedangkan pagi tadi kita terlupa hendak memohon bekalan udara (oksigen) untuk kita sedut? Adakah kita masih lagi beragama Islam pada hal kita sering terlupa untuk meminta kepada Allah agar Allah kekalkan hidayah ke dalam diri kita? Dengan sifat alpa yang ada dalam diri kita ini, kita merasakan bahawa kita tidak akan sesat sampai bila-bila! Astaghfirullahal'azim! 

Mujur dan syukur, sifat Al-Wahhab milik Allah S.W.T terus proaktif! Allah S.W.T selamanya memberi, walaupun manusia sering lupa meminta kepada-Nya. Jangan jadi seperti  pernyataan dalam gambar di bawah:



Allah S.W.T Memberi Berulang-ulang Kali dan Secara Berterusan.

Sejak di alam rahim lagi, manusia telah mengecapi nikmat Allah S.W.T yang tidak henti-henti dan sentiasa berulang kali. Dalam tubuh manusia terjadi pelbagai proses yang unik dan kompleks. Proses pernafasan, penghadaman, perkumuhan, pembiakan dan lain-lain sentiasa berjalan secara konsisten. Jantung terus mengepam darah, buah pinggang terus menyaring bahan toksin, hati terus menapis racun, neuron dalam akal terus berfungsi sejak bermulanya kehidupan kita.

Bukan itu sahaja, malah ada berjuta-juta lagi proses yang sentiasa berjalan dalam setiap kehidupan makhluk Allah, baik daripada haiwan, tumbuh-tumbuhan, bumi, bulan, matahari, bintang-bintang, dan sehinggalah ke [semesta kejadian] ini. Sentiasa ada kuasa yang mengatur, menyusun, menetapkan, menghidupkan, mematikan, menjalankan dan memberhentikan.

Alam ini disusun secara sistematik dan proses pengaturan serta pelaksanaannya berjalan secara berterusan dan berulang kali. untuk siapa? Ya, untuk manusia sebagai khalifah (tanggungjawab mentadbir) di muka bumi ini.

Semua itu dalam kekuasaan Allah S.W.T yang tidak lupa, tidak letih, tidak mengantuk, tidak tidur, tidak lemah dan lain-lain lagi sifat mustahil bagi Allah S.W.T untuk memberi berulang kali dan berterusan. Firman Allah S.W.T:

اللّهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ

 عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلاَ يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلاَّ بِمَا شَاء وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ

 وَالأَرْضَ وَلاَ يَؤُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Maksudnya: "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)." (Surah Al-Baqarah ayat 255).

Kasih sayang Allah S.W.T tidak bertepi, sehingga Dia mahu memberi kepada makhluk-Nya secara berulang kali. Kekuasaan Allah S.W.T Maha Hebat, sehingga Dia mampu memberi kepada makhluk-Nya secara berterusan. Sebaliknya, kasih-sayang dan kekuasaan kesemua makhluk ada batasnya.

Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger