Searching...

Sikap Rasulullah S.A.W yang Paling Banyak Memberi Adalah Punca Kita Suka Memberi?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Islam ialah agama yang sangat sinonim dengan amalan memberi. Ini dapat dicontohkan dengan amalan kita sebagai umat Islam yang digalakkan bersedekah yang dianggap suatu amal jariah. Rasulullah S.A.W diutuskan dalam kalangan umat Islam adalah untuk memberi rahmat kepada sekalian alam. Sejarah hidup Rasulullah S.A.W memaparkan bagaimana Baginda menyumbangkan tenaga, harta malah jiwanya untuk umat manusia agar mendapat hidayah Islam demi menegakkan agama Allah S.W.T. di atas muka bumi ini.

Bahkan salah satu daripada sifat yang wajib bagi Rasulullah S.A.W ialah tabligh yang bererti menyampaikan. Bukankah sifat itu sangat rapat dengan sikap memberi? Apa yang Baginda terima sebagai wahyu dari Allah S.W.T akan terus disampaikannya (diberikannya) kepada umat manusia tanpa disembunyikan hatta satu ayat pun. Begitu tulus dan telus sikap Baginda dalam memberi.

Sejarah kehidupan Rasulullah S.A.W dirakamkan dalam Sirah Nabawiyyah yakni Baginda memberi bukan setakat sewaktu Baginda senang, bahkan semasa susah pun Baginda turut memberi. Sewaktu susah, Rasulullah S.A.W memberi dengan penuh kesabaran. Sewaktu senang pula, Baginda memberi dengan penuh kesyukuran. Orang Arab Badwi yang menerima kambing pemberiannya, ada pernah berkata: "Baginda memberi tanpa takut kepada kekurangan yang dimilikinya." 

Sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya: "Tidak berlalu hari-hari yang tatkala manusia berpagi-pagi melainkan turun dua malaikat, dan satu malaikat berdoa: Ya Allah, berilah ganti kepada orang yang membelanjakan (iaitu menderma atau menyedekahkan) hartanya. Kemudian malaikat yang kedua berdoa: Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil." (Riwayat al-Bukhari, al-Jami' al-Sahih, Maktabah Salafiah, 1400H, no. 1442).

Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan, sifat memberi Baginda lebih terserlah daripada kebiasaan pada bulan-bulan lain. Sehingga disifatkan umpama 'angin kencang', yakni tersangatlah laju dalam memberi sedekah dan hibah. Daripada Ibnu Abbas r.a, beliau berkata:

Maksudnya: "Adalah Rasulullah S.A.W orang yang paling pemurah dan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan tatkala Baginda bertemu Jibrail. Jibrail akan memenuhi malam Ramadhan dengan bertadarus al-Qur'an, sedangkan Rasulullah S.A.W apabila bertemu Jibrail, Baginda lebih pemurah menyumbang kebajikan malah lebih kencang daripada angin kencang." (Riwayat al-Bukhari, al-Jami' al-Sahih, Maktabah Salafiah, 1400H, no. 6, 1902, 4997, 3554 dan 5840).

Semasa peristiwa Fathul Makkah (pembukaan kota Makkah) yang bersejarah itu, Baginda telah memberi kemaafan kepada pemimpin kafir Quraisy. Padahal mereka pernah menzalimi Baginda, malah mereka pernah berusaha untuk membunuh Baginda, namun dilupakan oleh Baginda begitu sahaja.

Pernah juga Baginda tidak dapat tidur kerana memikirkan kalau-kalau masih ada wang berbaki yang belum disedekahkan. Dan pada saat-saat kritikal menjelang kewafatannya pun, Baginda masih sempat memberi peringatan kepada umatnya mengenai kepentingan solat, walaupun dengan nada yang tersekat-sekat seperti, "ummati, ummati" dan "assolah, assolah." Baginda masih lagi memberi peringatan kepada umatnya!

Sikap memberi yang ada pada Rasulullah S.A.W ini (menyampaikan risalah Islam) telah diteruskan oleh para sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in dan umumnya para salafussoleh. Generasi yang hidup 300 tahun selepas Rasulullah S.A.W ini terus menyumbangkan masa, tenaga dan jiwa mereka untuk menyebarkan dakwah dengan menyampaikan ilmu dan memberi bimbingan kepada seluruh umat manusia hingga dengan itu, Islam telah tersebar meluas di serata dunia.

"Bayangkan apa yang akan terjadi kepada manusia dan dunia jika sikap memberi itu terberhenti selepas kewafatan Rasulullah S.A.W?"

Tentu sahaja dunia akan gelap dan manusia akan kufur. Sejarah mencatatkan 2/3 daripada para sahabat Rasulullah S.A.W mati di luar Tanah Arab, yakni dalam memikul tugas menyampaikan dakwah Islam. Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger