Searching...

Melihat Kehidupan Kita Dari Kaca Mata Sang Pencipta

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Saya ingin menegaskan kepada anda semua bahawa kehidupan kita mesti dilihat mengikut ketetapan Sang Pencipta (Allah S.W.T). Hanya dengan itu, kejayaan dan kebahagiaan yang abadi akan dapat kita miliki. Bak kata pepatah inggeris, "What you get is what you see" bermaksud apa yang anda dapat, bergantung kepada apa yang anda lihat.

Melihat sesuatu dengan mengikut ketetapan Allah S.W.T inilah yang dikatakan celik mata hati yakni melihat dengan penuh kesedaran tentang arah, tujuan, jalan, bekalan, dorongan, halangan dan pengakhiran hidup. Ini dikatakan sama seperti mana yang ditentukan oleh Sang Pencipta (Allah S.W.T). Inilah pandangan hidup yang paling tepat.

[Skrip kehidupan] ini jika dilalui dengan penuh iltizam dan istiqamah (konsisten), maka akan menghasilkan kemenangan yang bersepadu antara [diri dan organisasi], antara [individu dan masyarakat], antara [material dan spiritual], juga antara [dunia dan ahirat]. Kita akan mendapat apa yang sepatutnya dan sewajarnya kita dapat.

Sebaliknya, jika apa yang kita nampak tersalah ataupun tersasar, maka apa yang kita dapat juga akan tersasar. Kita akan menyesal di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. Kita akan dapat apa yang sepatutnya kita tidak dapat. Terasa benar hidup di dunia ini penuh dengan sia-sia. Inilah yang dapat kita gambarkan melalui firman Allah S.W.T:

إِنَّا أَنذَرْنَاكُمْ عَذَاباً قَرِيباً يَوْمَ يَنظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنتُ تُرَاباً

Maksudnya: "Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)." [Surah An-Naba' ayat 40].


Hanya apabila kita berada di dalam kubur, barulah kita akan tersentak (tersedar) dalam memahami apa sebenarnya hakikat hidup ini. Pada waktu itu, barulah kita faham dan akur tentang apa tujuan hidup kita di dunia dahulu. Dan di sana jugalah nanti baru kita tersedar apa yang paling bernilai dan apa yang tidak bernilai dalam kehidupan kita. Apakah penghalang, apakah pendorong dan apakah bekalan yang perlu disediakan? Pendek kata, pada masa itulah pandangan kita akan benar-benar jelas setepat-tepatnya. Namun sayang sekali, di sana segala-gala yang tepat dan jelas itu sudah tidak berguna lagi.

Kata Sayyidina Ali: "Beramallah ketika di tempat yang tidak ada ganjaran, tetapi hanya ada amalan (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran, tetapi sudah tidak ada amal (akhirat)."

Oleh itu adalah lebih baik kita terlebih dahulu sedar ketika hidup di dunia (kerana kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan kesilapan kita), daripada kita tersedar ketika berada di alam kubur, yang mana pada ketika itu segala-galanya sudah tidak berguna lagi. Demikianlah apa yang dimaksudkan dengan celik mata hati atau kesedaran.

[Mata hati] inilah yang dinyatakan oleh Allah S.W.T dalam Al-Qur'an:

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَى 

الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

Maksudnya: "Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut, mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada." [Surah Al-Hajj ayat 46].

Tegasnya, [mata hati] akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Sang Pencipta (Allah S.W.T). Inilah pandangan hidup yang jelas dan tepat. Bermula dengan pandangan yang tepat inilah kita boleh menjalani kehidupan dengan sebaik-baiknya. Jika tidak, maka terjadilah apa yang ditegaskan oleh Allah S.W.T menerusi firman-Nya:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ 

يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." [Surah Al-A'raf ayat 179].

Untuk itu, marilah kita mulakan langkah kita untuk mencapai kesedaran dengan mengikuti langkah-langkah yang akan saya kongsikan pada entri akan datang secara tertib. Jika langkah-langkah yang akan saya kongsikan itu nanti dapat difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan kita ini, nescaya celiklah mata hati kita dan akan terpimpinlah kehidupan kita dengan baik demi kebahagiaan kita di dunia dan di akhirat. Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger