Searching...

Panduan Menjauhi Buruk Sangka yang Manusia Sering Kali Lupa Akan Kelakuannya Itu

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Manusia mempunyai dua sifat yakni baik sangka dan buruk sangka. Buruk sangka dikenali sebagai prasangka atau prejudis dan merupakan sifat-sifat mazmumah yang perlu dijauhi. Sifat buruk sangka antaranya bangga diri, ujub dan sombong berlaku tanpa kita sedari telah bertapak dalam hati kita dan sukar untuk dihapuskan. Mereka yang tebal dengan sikap ini, hatinya dianggap berpenyakit dan boleh merosakkan tahap keimanan seseorang terhadap Allah S.W.T.

Jadi, di sini saya hendak menyatakan panduan menjauhi buruk sangka. Ramai dalam kalangan manusia yang sering kali lupa akan kelakuannya itu. Dalam kelakuannya, terselit sifat ujub, riak dan sombong yakni antara sifat-sifat dalam buruk sangka terhadap orang lain tanpa disedarinya. Oleh itu, langkah-langkah untuk menjadikan manusia setanding dengan sifat muslim sejati akan didedahkan untuk pencerahan sesama kita. Berikut adalah catatan saya (tazkirah) mengenai muslim sejati yang saya hendak manusia biasa seperti kita mencontohi akan sifatnya:

Sifat muslim sejati ialah dia tidak berburuk sangka terhadap orang lain atau tidak membenarkan dirinya berkhayal dengan menuduh orang yang tidak bersalah. 

Hal ini sesuai dengan firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيراً مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa." [Al-Hujurat ayat 12].

Rasulullah S.A.W memperingatkan kepada kita agar tidak berburuk sangka dan membuat spekulasi yang tidak berasas sama sekali. Baginda S.A.W bersabda:

"Hati-hatilah dengan buruk sangka, kerana buruk sangka itu adalah ucapan bohong." [HR Bukhari dan Muslim].

Rasulullah S.A.W menganggap buruk sangka itu sebagai ucapan bohong atau kata-kata dusta semata-mata. Muslim sejati pasti tidak akan membenarkan kalimah berbaur pembohongan seperti itu terucap di lidahnya, jadi bagaimana dia hendak membiarkan dirinya masuk ke dalam perangkap buruk sangka seperti itu? Sudah tentulah tidak.

Apabila Rasulullah S.A.W memperingatkan kaum muslimin terhadap perbuatan buruk sangka dan menganggapnya sebagai ucapan bohong, maka baginda mengarahkan kaum muslimin agar menghormati orang lain, dan menjauhkan diri daripada membuat spekulasi ke atas diri mereka atau meragui mereka.

Namun demikian, bukanlah sikap seorang muslim untuk berprasangka kepada orang lain, bukan pula urusannya untuk membuka rahsia orang, mendedahkan urusan peribadi atau memfitnah mereka. Hanya Allah yang mengetahui hati hamba-hamba-Nya, dan hanya Dialah yang berhak membuka atau membalasnya kerana hanya Dia yang tahu segala rahsia mereka yang tersembunyi. Sebaliknya, manusia tidak mengetahui apa-apa tentang saudaranya melainkan apa yang dilihat oleh mata kasarnya sahaja. Inilah pendekatan yang diambil oleh para sahabat yang menerima hidayah dari Rasulullah S.A.W. 

Abdul Razak meriwayatkan dari Abdullah Bin Utbah Bin Mas'ud, katanya: Aku mendengar Umar bin Al-Khattab r.a berkata:

"Orang-orang yang selalu mendengar wahyu diturunkan di zaman Nabi, tetapi kini wahyu telah berhenti. Maka sekarang kami memandang manusia menurut pandangan mata kasar. Jika seseorang itu berbuat baik kepada kami, maka kami mempercayainya dan membuat hubungan yang rapat dengannya atas dasar apa yang telah kami lihat daripada amal perbuatannya. Kami tidak tahu apa yang ada di dalam hati mereka, dan hanya Allah yang layak menghukumnya. Tetapi jika seseorang berbuat buruk kepada kami, maka kami tidak mempercayainya meskipun dalam hati mereka ada kebaikan." [Hayatus Sahabah, 2/151].

Justeru, muslim sejati harus berhati-hati dengan perkataan yang hendak diucapkannya dan penilaian yang hendak dilakukannya terhadap orang lain. 

Dia tidak pernah lupa dengan firman Allah S.W.T:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً

Maksudnya: "Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." [Surah Al-Isra' ayat 36].

Muslim sejati juga hendaklah berjaga-jaga dengan larangan di atas. Dia tidak bercakap kecuali dengan ilmu dan dia tidak menilai sesuatu melainkan telah pasti. Dia takut terlibat dengan dosa memfitnah dan bersangka buruk kerana malaikat penjaga di sisinya setia memerhatikannya dan menghitung semua ucapan atau kata-kata yang keluar dari mulutnya. 

Firman Allah S.W.T:

مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: "Tidak ada sebarang perkataan mahupun ucapan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa setia (sedia menerima dan menulisnya)." [Surah Qaaf ayat 18].

Muslim yang betul-betul faham dengan ajaran ini sudah pastinya takut akan akibat yang bakal ditanggung sekiranya ucapan yang terkeluar dari mulutnya adalah ucapan yang tidak diketahui akan kesahihan fakta mahupun kebenaran yang ditujukan terhadap saudaranya itu. Oleh itu, dia sentiasa menjaga perkataan, berfikir dahulu sebelum bercakap, kerana dia tahu bahawa dengan ucapannya itu boleh menjerumuskan dirinya sama ada mendapat keredhaan Allah ataupun menyebabkan kemurkaan Allah. 

Rasulullah S.A.W bersabda:

"Seseorang mungkin mengucapkan perkataan yang diredhai Allah dan dia tidak sedar akan akibatnya, kerana boleh jadi Allah meredhainya akan hal itu sehingga pada hari dia bertemu dengan-Nya. Begitu juga, seseorang mungkin mengucapkan perkataan yang dimurkai Allah, dan tidak sedar akan akibatnya, kerana boleh jadi Allah memurkainya akan hal itu sehingga hari kiamat." [HR Imam Malik dalam kitab Al-Muwatta'].

Demikianlah besarnya tanggungjawab kita terhadap perkataan yang kita ucapkan itu! Begitu seriusnya penegasan ini akibat daripada ucapan lidah kita yang lalai ini.

Muslim sejati yang suci hatinya tidak akan mendengar ucapan atau kata-kata kosong daripada perbualan orang lain, atau memerhatikan khabar angin (gosip) dan spekulasi yang tersebar di tengah masyarakat kini. Dia tidak pernah membenarkan atau menerima khabar angin itu tanpa perlu menyiasat atau mencari punca khabar angin dan memastikan kebenarannya terlebih dahulu. Dia yakin bahawa percaya bulat-bulat akan khabar angin dan spekulasi itu sangat dilarang oleh Rasulullah S.A.W.

Berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W:

"Bohonglah orang yang suka mengulangi apa yang telah didengarnya." [HR Muslim].

Maksud kata-kata Rasulullah S.A.W dalam hadis di atas ialah orang yang percaya bulat-bulat akan khabar angin, mereka mendengar dari mulut orang yang berkata-kata dusta tanpa membuktikan kesahihannya akan khabar angin itu, kemudian mereka menyebarkan kata-kata bohong itu tadi kepada orang lain dengan cara mengulangi perbuatan orang yang pertama menyebarkan khabar angin itu tadi.

Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger