Searching...

Allah Sangat Sayang Kepada Hamba-Nya yang Menjadi Penghibur Sesama Manusia

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Kita hendaklah berkhidmat sebagai hamba-Nya selaras dengan tujuan Allah mengutuskan manusia ke dunia ini. Selain beribadah untuk Allah S.W.T, kita perlu berkhidmat kepada manusia di sekeliling kita lebih kurang seperti hamba-hamba yang bekerja di Istana Raja. Raja itu mereka kena hormati dan memuliakannya. Sudah tentu berbeza layanan seorang hamba terhadap si raja di istana dan juga terhadap rakyat jelata. Dengan raja, si hamba ini perlu hormat dan membesarkannya. Dengan rakyat pula, si hamba ini perlu melayannya dengan baik. Hamba-hamba ini ditugaskan untuk menghiburkan para tetamu raja ataupun rakyat yang datang berkunjung ke Istana Raja kerana itulah yang raja inginkan daripada hamba-hambanya. Jadi di sini barulah kita faham, hamba terhadap raja adalah membesarkan raja, dan dari sudut lain pula hamba menghiburkan raja.

Allah S.W.T mengutus kita sebagai hamba-Nya. Kalau begitu, Allah itu perlu dibesarkan kerana Dia Maha Besar. Allah perlu diagungkan kerana Dia Maha Agung. Allah perlu disucikan kerana Dia Maha Suci dari segala ciptaan-Nya. Dan Allah juga perlu dihiburkan kerana Dia Maha Penghibur.

Hamba itu dijadikan untuk menjadi penghibur. Jadi, sebagai hamba Allah kita perlu mencari jalan untuk menghiburkan orang di sekeliling kita. Hiburan itu bukan nasyid sahaja. Malah, Kalau kita memandu kereta di jalan raya, berilah laluan kepada pejalan kaki yang terkandas di seberang jalan walaupun itu laluan kita. Orang yang bersalah terhadap kita, cepat-cepatlah kita maafkan dia. Maka itu lebih mahal ganjarannya daripada memberi makan kepada fakir miskin. Kerana, orang yang bersalah itu berasa takut sekiranya kita berdendam terhadap dia. Dan dia juga berasa takut untuk meminta maaf selagi dendam kita belum langsai. Kalau kita maafkan dia, bukankah itu satu hiburan buat dia? 

Kalau kita belanja makan 1-2 orang setakat mana yang kita mampu, sudah tentu terhiburnya hati orang itu. Jumpa orang susah, kita beri duit paling kurang RM5 seorang, maka mereka akan terhibur. Kalau kita bersalah terhadap seseorang, kita pergi meminta maaf pada dia dan ambil hati dia, sudah tentu akan menghiburkan orang yang kita bersalah terhadapnya.

Kadang-kadang kita salah faham mengenai istilah hamba Allah. Kalau kita faham apa yang hamba raja itu buat, maka kita perlu tiru dan kiaskan sahaja. Kita rujuk ayat Al-Qur'an yang bermaksud, "Tidak Aku jadikan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku". Tetapi kita tidak faham peranan hamba. Sebab itulah apabila dikatakan hamba, maka peranannya terbahagi kepada dua iaitu "HabluminAllah" dan "Habluminannas". "HabluminAllah" kita semua tahu dan faham, tetapi "Hablumminannas" kita semua tahu dan faham samar-samar.

Sepatutnya sesama makhluk tidak kira binatang sekalipun, kita hendaklah menjadi penghiburnya. Itulah peranan hamba Allah. Tetapi adakah kita sudah menjadi penghibur sesama makhluk? Kebanyakan kita masih menyusahkan orang lain. Malah, kita menyakiti hati orang lain, maka orang lain pula membalas perbuatan kita. Kita mengacau jiwa dan perasaan orang lain, maka orang lain akan buat pada kita perkara yang sama. Begitulah keadaan dunia pada hari ini. Manusia tidak berperanan sebagai penghibur. Sehingga terdapat di sesetengah tempat itu, kita hendak bergaul dengan orang lain jadi serba tidak kena, tidak bergaul pun tidak kena juga. Tidak mungkin kita hendak hidup seorang diri. Bila kita bergaul semuanya jadi menyusahkan kita.

Sesetengah orang sombong, ada yang tidak mempedulikan orang lain. Sehinggakan kita hendak berjumpa dengan manusia jenis begini pun kita jadi takut. Orang yang hendak berjumpa dengan kita pula jadi takut. Sedangkan kita tidak boleh hidup seorang diri kerana keperluan hidup kita, orang lain siapkan. Mana mungkin kita mampu jadi petani, kemudian jadi nelayan dan buruh kasar pula. Sebenarnya kita memerlukan orang lain dan orang lain pula memerlukan kita. Hidup kita saling bergantungan antara satu sama lain. Tetapi apa yang berlaku adalah dalam kita hendak keperluan hidup kita dipenuhi, banyak hati yang terasa sakit hingga sakitnya jiwa seseorang itu dibuatnya. Jadi, orang yang sakit jiwanya tidak mampu hendak menghiburkan kita, maka kita perlu bertanggungjawab untuk mengubati jiwa orang yang sedang sakit dengan menghiburkannya.

Nampaknya peranan manusia sebagai hamba Allah itu telah bertukar. Cuba lihat bagaimana Rasulullah S.A.W menghiburkan orang. Baginda menghiburkan orang yang memusuhinya. Sangat mencuit hati dan perasaan. Rasulullah S.A.W adalah bapa penghibur, hingga musuh sendiri dihiburkan oleh Baginda. Sebaliknya, kita telah bertukar peranan diri kita daripada menjadi penghibur kepada menyusahkan orang lain. Tafsiran ayat mengenai peranan sebagai hamba Allah sudah tidak tepat lagi.

Jadi mulai dari sekarang, kita perlu fikirkan bagaimana untuk menjadi penghibur? Sama ada orang itu hendak hiburkan kita ataupun tidak, itu tanggungjawab mereka. Kalau mereka tidak menunaikan tanggungjawab mereka, itu hal mereka. Tetapi kalau kita tidak menghiburkan orang lain, itu merupakan satu kesalahan buat diri kita.

Hakikat manusia sebagai hamba Allah itu sudah cukup jelas di sini. Kita sudah dilatih dengan fahaman sekular sehingga kita dibentuk untuk menjadi tuan di muka bumi ini, tetapi bukan untuk menjadi hamba Allah. Perasaan kita sekarang ini adalah perasaan tuan iaitu perasaan nafsi-nafsi (kau kau, aku aku). Adakah kita mampu menukar watak dan sikap kita sehingga mampu menjadi hamba Allah yang menghiburkan? Jom, berubahlah dari sekarang!

P/S: Jadilah penghibur kepada manusia di sekeliling anda agar jiwa mereka kuat bersama-sama dengan anda. Apabila orang yang anda hiburkan memberi respon positif terhadap jiwanya, maka anda turut akan tumpang gembira dengan nada yang lega. Dengan semangat-semangat daripada anda disumbangkan untuk membangunkan jiwa seseorang itu. Bagi sesiapa yang menjadi penghibur kepada manusia, maka Allah S.W.T akan menghiburkan mereka di dalam syurga. Dengan syarat Iman menjadi asas, dan syari'at menjadi perjalanan hidupnya. Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger