Searching...

Baca Sampai Habis Pasal Apa Hidayah Islam Masih Belum Cukup Untuk Manusia Bertakwa?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Sepertimana yang saya telah terangkan mengenai 3 jenis hidayah dalam entri lepas yang bertajuk, [Ada Jalan Mudah Untuk Mendapatkan Hidayah Antaranya Anda Perlu Tahu 3 Jenis Hidayah Ini...]. Akal yakni hidayah yang ketiga, sekalipun sesungguhnya sangat terbatas akan kemampuannya. Sering kali akal menjadi buntu apabila menjawab beberapa persoalan secara mendalam mengenai manusia. Kerana keterbatasan akal, ramai manusia yang bertuhankan selain Allah yakni berhala, pokok, gunung, lautan, matahari, ataupun roh-roh nenek moyang yang diyakini dapat menguasai dan mengatur alam semesta ini. Na'uzubillah. Maka dengan itu, Allah menurunkan agama-Nya sebagai hidayah muktamad. Aturannya tertulis rapi dalam lembaran mushaf Al-Qur'an dan hadis Rasulullah S.A.W. Oleh itu, pangkal bagi semua perjalanan haruslah bermula dengan Tuhan. Inilah yang ditegaskan oleh Sayyidina Ali r.a:

"Awal agama ialah mengenal Allah."

Agama adalah pangkal bagi segala kebaikan dalam kehidupan kita. Tegasnya, akal manusia perlukan kepimpinan. Dan kepimpinan ini datang daripada wahyu atau agama (Islam). Hamka (seorang pujangga dan ulama' Nusantara) pernah berkata: 

"Hujung akal pangkal agama."

Saintis tersohor dunia yang merupakan pengasas formula pembuatan bom atom (E = mc2) yang bernama Albert Einstein pernah menegaskan bahawa keperluan agama dengan kata-katanya seperti berikut: 

"Agama tanpa sains boleh jadi lumpuh, sains tanpa agama boleh jadi gila."

Akal yang pantas berfikir umpama kipas yang sedang ligat berpusing. Jika kipas tidak benar-benar dilekatkan pada pasaknya (ke dinding atau ke syiling), maka kipas yang berpusing itu akan tertanggal kerana kelajuannya ketika berpusing. Jadi, begitulah perumpamaannya bagi akal manusia yang berfikir.


Jika akal tidak diikat sungguh-sungguh pada pasaknya yakni agama, maka ia akan menjahanamkan kehidupan kita. Sebab itulah istilah akal diumpamakan seperti sejenis kain penutup kepala Pak Arab, manakala istilah agama pula diumpamakan seperti 'igal' yakni sejenis alat yang digunakan untuk mengikat kain penutup kepala Pak Arab. Kalau tiada 'igal', maka kain penutup kepala Pak Arab akan diterbangkan oleh angin padang pasir. Fungsi 'igal' ialah sebagai pengikat. Begitu juga akal, kalau akal tidak diikat dengan agama, maka fikiran akan terbang melayang-layang dengan angan-angan yang tiada penghujungnya. Tak pun, fikiran akan hanyut diterbangkan oleh arus duniawi tanpa kita sedari.

Justeru, asas ajaran agama yang utama ialah akidah. Akidah juga bermaksud ikatan. Oleh itu, secara ringkasannya boleh disimpulkan bahawa akal itu perlukan ikatan dan ikatannya adalah akidah (agama). Dengan adanya hidayah Islam, maka akal akan mendapat pasangannya yang sejati.

Apakah itu Islam? Secara mudah kita simpulkan bahawa Islam itu adalah cara hidup yang datang daripada Allah merangkumi soal akidah, syariah dan akhlak. Ia adalah nikmat yang paling utama di antara nikmat-nikmat yang diberikan oleh Allah buat sekalian manusia.

"Kita harus bersyukur dengan nikmat Islam kerana bukan semua orang terpilih untuk menerima Islam walaupun mereka sudah menerima hidayah tabi'i, hidayah khawas dan hidayah akal."

Cuba bayangkan, hampir 7 bilion manusia di dunia ini cuma 1.57 bilion sahaja yang beragama Islam, yakni kira-kira 23% sahaja. Kadang-kadang orang yang paling rapat dengan Islam pun tidak dapat memeluk Islam. Ertinya, hidayah Islam ini dikurniakan atas pilihan Allah jua berdasarkan firman Allah S.W.T:


لَّيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَـكِنَّ اللّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ

Maksudnya: "Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya)." [Surah Al-Baqarah ayat 272].

Contohnya Abu Talib merupakan bapa saudara Rasulullah S.A.W yang selalu mempertahankan Rasulullah S.A.W dalam menyampaikan dakwah Islamiah. Dia sangat sayang dan akrab dengan Rasulullah S.A.W. Malangnya, Abu Talib tidak mahu memeluk Islam walaupun dipujuk berulang-ulang kali oleh baginda S.A.W. Malah hingga pada saat menjelang ajalnya pun, Rasulullah S.A.W berdoa supaya Abu Talib memeluk Islam. Tetapi, Abu Talib tetap enggan dan akhirnya mati dalam kekufuran.

"Sungguhpun begitu, hidayah Islam sahaja tidak menjamin keselamatan dan kejayaan seseorang itu di dunia dan diakhirat."

Lihat sahaja nasib umat Islam pada hari ini. Walaupun mereka mengaku beragama Islam, tetapi mereka masih melakukan maksiat dan kemungkaran. Bahkan, lebih memalukan lagi kadang-kala sikap umat Islam ada yang lebih buruk berbanding bukan Islam.

Di Malaysia, umat Islam mencatatkan kadar yang tertinggi dalam penyalahgunaan dadah, kegiatan sumbang mahram, kes juvana dan sebagainya. Umat Islam juga semakin tidak mengamalkan nilai-nilai yang terdapat dalam ajaran Islam itu sendiri seperti disiplin, kebersihan, kerja keras dan menepati masa. Malah, 'amal' kebaikan itu lebih dipraktikkan oleh orang bukan Islam. Umat Islam menjadi mulia apabila mengamalkan cara hidup Islam dan akan menjadi hina apabila meninggalkannya.

Umar Al-Khattab pernah berkata:

"Sesungguhnya kami dahulu adalah kaum yang hina. lalu Allah memuliakan kami dengan Islam. Sekiranya kami mencari kemuliaan selain daripada apa yang dimuliakan Allah, nescaya Allah akan menghina kami." [Riwayat Al-Hakim, Al-Mustadrak 'Ala Al-Sahihain, jil. 1, hal. 130, no. 207].

Orang Islam gagal mempraktikkan ajaran Islam sehingga Islam mendapat tohmahan dan fitnah. Malah ada perumpamaan yang menyamakan keadaan umat Islam masa kini seperti orang yang duduk di muka pintu seperti berikut: 

"Hendak dikatakan masuk sepenuhnya tidak, hendak dikatakan keluar sepenuhnya pun tidak juga." 

Jika hanya bertahan di muka pintu, kita sebenarnya menjadi penghalang untuk orang bukan Islam masuk Islam. kini, umat Islam tidak masuk ke dalam agama Islam secar keseluruhannya. Islam hanya diamalkan dalam bidang-bidang tertentu. Sesungguhnya, keadaan ini akan mengundang kemurkaan Allah di dunia dan di akhirat. Firman Allah S.W.T:


أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

Maksudnya: "Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?" [Surah Al-Baqarah ayat 85].

"Kita boleh saksikan beribu-ribu umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan, Syria, Mesir dan lain-lain tempat dibunuh, dirogol, ditindas dan dihina dengan begitu sekali walaupun mereka bertauhidkan Allah S.W.T. Mengapa belum ada bantuan daripada Allah?"

Oleh itu, sekadar hidayah Islam sahaja masih belum cukup untuk membuat seseorang itu berjaya dalam hidupnya sama ada di dunia mahupun di akhirat. Allah tidak menjamin adanya pembelaan terhadap orang Islam. Pembelaan hanya kepada mereka yang bertakwa kepada-Nya. Untuk itu, manusia perlukan satu lagi hidayah yakni hidayah taufik.

Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger