Searching...

Kaedah Terbaik Ini Jarang Diguna Pakai Oleh Sebahagian Muslim Dalam Membesarkan Anak-anaknya

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Ibu bapa muslim yang sejati sama ada ibu atau bapa hendaklah faham akan psikologi anak-anaknya dan tahu bagaimana hendak menguruskannya dengan menggunakan kaedah terbaik dan paling berkesan ketika mendidik dan membesarkan mereka. Justeru, ibu bapa hendaklah mencintai anak-anaknya dengan sepenuh hati, mendekati jiwa anak-anaknya sesuai dengan peringkat umur mereka, bermain-main, memuji dan bergurau senda dengan mereka serta memberitahu mereka dengan perkataan-perkataan kasih sayang dan cinta sehingga membuat hati mereka gembira.

Kemudian mereka (anak-anak) itu akan mencintai ibu bapa mereka dan menerima arahan ibu bapa mereka juga dengan sepenuh hati. Bila mereka mentaati ibu bapa mereka, maka itu datangnya dari dalam hati mereka kerana sesungguhnya ada perbezaan besar antara yang pertama yakni patuh yang berdasarkan kasih sayang, hormat dan percaya dengan yang kedua yakni patuh yang disebabkan rasa takut dan terpaksa. Patuh yang pertama tadi akan berpanjangan, manakala patuh yang kedua pula akan hilang sedikit demi sedikit apabila rasa takut dan terpaksa itu semakin mendalam dalam jiwa anak-anak tersebut.

Sebahagian orang menyangka bahawa jika ibu bapa bersikap kebudak-budakan dan rapat dengan anak-anaknya, ini akan mengurangkan kedudukannya sebagai ibu bapa di mata anak-anaknya itu, malah melemahkan usahanya dalam mendidik anak-anaknya itu. Persepsi sebahagian orang yang negatif inilah yang boleh menyebabkan runtuhnya institusi kekeluargaan disebabkan oleh terpedaya dengan hasutan kawan rapatnya ataupun gosip-gosip luar, padahal diri mereka sendiri tidak mengalaminya dan tidak tahu menahu hal sedemikian. Sesungguhnya ibu bapa yang bersikap kebudak-budakan sebeginilah yang sebenarnya merupakan kaedah paling berkesan dalam mendidik dan membesarkan anak-anaknya dengan betul, dan hal ini telah pun diakui oleh pakar-pakar psikologi moden. 

Hal ini juga merupakan kaedah yang dipromosikan oleh Rasulullah S.A.W yang dinyatakan dengan jelas melalui ucapan dan perbuatan baginda. Rujuk entri sebelumnya bertajuk, [Rasulullah S.A.W Tidak Pernah Menyinggung Perasaan Anak-anak Kecil Malah Menghiburkan Mereka] dan [Lagi Perbuatan Rasulullah S.A.W Menghiburkan Anak Kecil Dan Cucu-cucu Baginda]. Rasulullah S.A.W pernah membariskan Abdullah, Ubaidillah dan Kuthayyir, anak-anak lelaki Al-Abbas r.a, lalu bersabda:

"Sesiapa yang sampai kepadaku dulu, maka aku akan memberinya ini dan ini." Maka kanak-kanak itu berlumba lari menuju ke arah baginda lalu melompat di belakang dan dada baginda, kemudian mencium baginda. [HR Ahmad, Al-Hafiz berkata dalam At-Thahdzib (8/142) bahawa sanadnya mursal jayyid].

Imam Bukhari dalam kitab Al-Adab Al-Mufrad dan At-Thabrani meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W mengambil tangan Al-Hassan r.a dan Al-Hussein r.a, kemudian meletakkan kakinya di atas kaki baginda kemudian berkata, "Naiklah." Tidak ada petunjuk yang lebih jelas selain daripada petunjuk Nabi S.A.W semasa baginda mendukung Al-Hassan r.a dan Al-Hussein r.a serta melayani mereka dengan penuh kasih sayang, yang menjadi asas contoh kepada ibu bapa dan datuk nenek di mana saja berada, tidak kira bagaimana besarnya kedudukan dan pengaruh mereka untuk melayani anak-anak kecil ini dengan cara yang lemah-lembut dan kasih sayang. Ini boleh dilihat dalam hadis riwayat Ahmad dan Nasa'i daripada Shaddad:

"Rasulullah S.A.W keluar mendukung Al-Hassan atau Al-Hussein, dan bila baginda ke hadapan untuk mengimami solat, baginda meletakkan kanak-kanak itu ke bawah dan memulakan solat. Baginda sujud dan sangat lama dalam keadaan demikian. Aku mengangkat kepalaku dan mendapati kanak-kanak itu berada di atas belakangnya, maka aku kembali sujud. Setelah selesai solat, orang ramai berkata, "Ya Rasulullah, engkau sujud sangat lama." Baginda berkata, "Cucuku sedang duduk di belakangku, maka aku tidak suka mengganggunya sehingga dia telah merasa cukup puas."" [HR Ahmad dan Nasa'i dengan sanad Shahih].

Ibu bapa muslim itu seharusnya memiliki tabiat selalu ada bersama dengan anak-anaknya, melayani mereka dengan kasih sayang, berbuat baik dan bergurau senda dengan mereka, selagi dia mampu dan berpeluang melakukannya, sehingga hati anak-anaknya itu betul-betul berasa gembira.

Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger