Searching...

Tanda-tanda Orang yang Mendapat Hidayah Taufik Yakni Hidayah Tertinggi Di Sisi Allah S.W.T

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Seseorang itu dikira mendapat hidayah taufik apabila terjadi semacam permuafakatan atau persetujuan antara apa yang Allah S.W.T tetapkan dengan kelakuannya. Bermaksud, kelakuan anda amat sepadan mengikut rentak acuan apa yang Allah mahukan untuk seseorang hamba-Nya melaksanakan kehendak-Nya. Bukan bermaksud kalau kita mengerjakan apa yang Allah suruh, maka ibadah kita diterima Allah. Bukan! Sebaliknya, kita perlu tengok pada [tiga elemen ini] yakni hati, akal dan nafsu kita ini, sejauh mana [tiga elemen ini] memberi sumbangan dalam mencari keredhaan-Nya? 

Hidayah ini adalah peringkat hidayah yang tertinggi di sisi Allah S.W.T berbanding dalam entri lepas yang di [sini] dengan yang di [sini]. Seseorang yang mendapatkan hidayah taufik ini akan memiliki keupayaan untuk memahami ilmu, melakukan ketaatan, membenci dosa, kemanisan dalam beramal dan diberi pertolongan oleh Allah S.W.T. Berikut akan saya ulaskan dengan lebih terperinci mengenai keupayaan seseorang itu setelah mendapat hidayah taufik agar kita boleh menjadikan ianya contoh untuk kita semua memperbaiki [tiga elemen ini]:


1. Memahami Ilmu.

Ilmu mestilah difahami melalui akal bukannya untuk diketahui. Kefahaman dalam Islam sangat penting untuk melahirkan amalan yang tepat. Ilmu adalah imam, manakala amal adalah makmumnya. Ada orang yang boleh menghafal ilmu tetapi tidak dapat memahaminya. Contohnya burung kakak tua yang hanya mampu bertutur tetapi tidak faham mengenai apa yang dituturkannya itu. Oleh sebab itu, binatang mempunyai otak tetapi tidak mempunyai akal. Ia cuma boleh dilatih dengan buat berkali-kali agar boleh diingati (dihafal), tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu yang dilatih itu. 

Daripada Mu'awiyah Bin Abu Sufiyan, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Sesiapa yang Allah mengkehendaki kebaikan terhadapnya, maka Allah akan memberikan kefahaman dalam agama." [HR Al-Bukhari, Al-Jami' Al-Sahih Al-Mukhtasar, Dar ibn Katsir, Beirut, 1987, jil. 3, hal. 1134, no. 2948].


2. Melakukan Ketaatan.

Ilmu tidak cukup sekadar difahami, tetapi wajib diamalkan. Manfaat ilmu hanya dapat dirasai apabila diamalkan. Orang yang mempunyai ilmu, tetapi tidak mengamalkannya umpama pokok yang tidak berbuah. Dalam matan Zubat ditulis:

"Orang yang berilmu tetapi tidak beramal akan diseksa terlebih dahulu sebelum si penyembah berhala."

Melaksanakan ketaatan amatlah berat kerana ianya sesuatu yang tidak disukai oleh hawa nafsu. Namun, orang yang diberi hidayah taufik akan berasa ringan dalam melaksanakan ketaatannya terhadap Allah S.W.T.


3. Membenci Dosa.

Bukan mudah untuk membenci dosa kerana dosa sangat disenangi oleh hawa nafsu. Contohnya, memandang wanita cantik bukan mahram yang mendedahkan aurat. Sangat sedikit orang yang mampu menunduk atau memalingkan pandangannya. Namun begitu, bagi orang yang telah dikurniakan hidayah taufik akan terasa jijik melihatnya. Bukan mulut yang berkata, tetapi hati yang secara automatik 'terkata' perasaan jijik tersebut. Bahkan dia terasa berdosa apabila 'terlihat' wanita tersebut.

Daripada Abdullah bin Mas'ud bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Sesungguhnya orang yang beriman itu melihat dosanya seakan-akan dia duduk di bawah sebuah gunung yang hendak menghempapnya. Tetapi, bagi orang yang melakukan dosa, melihat dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya." [HR Al-Bukhari, Al-Jami' AlSahih Al-Mukhtasar, Dar Ibn Katsir, Beirut, 1987, jil. 5, hal. 2324, no. 5949].


4. Kemanisan Dalam Beramal.

Orang yang mendapat hidayah taufik bukan sahaja mudah melakukan ketaatan, bahkan mendapat kemanisan hasil daripada ketaatannya itu. Solat dirasakan manis dan asyik. Terasa bagai kekasih bergurau/berhibur dengan kekasih. Tidak terasa masa itu berlalu. Jiwa rasa tenang, lapang dan tenteram.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ada orang soleh yang bersolat hingga beratus-ratus rakaat sehari semalam. Mereka telah mendapatkan kemanisan dalam solatnya. Kekuatan hati hasil kemanisan iman mengalahkan rasa malas, letih dan berat untuk beramal. Rasulullah S.A.W bersabda:

"Perkara yang aku sukai tentang dunia adalah wanita dan wangian, dan dijadikan penyejuk mata bagiku ketika solat." [HR An-Nasa'i, Ahmad Bin Shuaib, Sunan An-Nasa'i Al-Kubra, Dar Al-Kitab Al-Ilmiyah, Beirut, 1991, jil. 5, hal. 280, no. 8888].


5. Diberi Pertolongan Dan Bantuan Oleh Allah S.W.T.

Orang yang mendapat hidayah taufik akan mendapat bantuan Allah dalam apa jua perkara yang diusahakannya. Mereka tidak akan dapat dikalahkan oleh musuh yang ramai. Mereka akan dapat mengatasi tipu daya musuh dengan bijak. Mereka inilah yang disebut dalam hadis, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda:

"Sentiasalah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunat sehinggalah Aku begitu mencintainya. Apabila Aku sangat mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya (dia mendengar apa yang Aku redhai). Dan jadilah aku penglihatannya (dia melihat apa yang aku yang Aku redhai)." [HR Al-Bukhari, Al-Jami' Al-Sahih Al-Mukhtasar, Dar Ibn Katsir, Beirut, 1987, jil. 5, hal. 2384, no. 6137].

Inilah bantuan yang telah diberikan kepada tentera Badar pimpinan Rasulullah S.A.W, tentera pimpinan [Muhammad Al-Fateh] dan tentera pimpinan Salehuddin Al-Ayubi dan lain-lain lagi.

Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger