Searching...

Keimanan Untuk Hari Ini, Kita Telah Lupakan... Ini Buktinya...

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Hari ini, kita lupakan keimanan yang sangat penting buat diri kita. Diri kita tidak dididik dengan sebenar-benarnya keimanan yang telus. Kita tidak pernah terfikir pekerjaan harian yang kita selalu buat, adakah ianya berasaskan keimanan? Kita tidak mendidik anak kita memahami keimanan. Kita biarkan anak kita mengenali dunia dengan pengaruh luar tanpa pimpinan dan bimbingan daripada kita. Kita lupa memupuk keimanan dalam jiwa dan peribadi kita. Kita juga lupa menanam keimanan dalam pembinaan masyarakat kita.

Sebab itulah, akhirnya manusia pada zaman ini tidak bergerak ke mana-mana melainkan kehancuran semata-mata. Tiada pengawasan 24 jam dalam sehari. Semuanya pakat-pakat buat sambil lewa dan semberono dalam menguruskan kehidupan seharian. Justeru, kita mengharapkan pengawasan daripada Allah S.W.T agar Dia-lah yang sentiasa membimbing, mengawasi dan memerhatikan kita agar kita tidak terpesong dari landasan keimanan. Tiada yang mengetahui isi hati diri kita yang sebenar-benarnya melainkan Allah S.W.T. Tiada juga yang membalas atau memberikan hukuman sebenar-benarnya melainkan Allah S.W.T.

Sekiranya hubungan kita dengan Allah S.W.T tidak dibina dan dikukuhkan, maka sudah pasti kita akan sering melakukan keingkaran demi keingkaran di belakang mata manusia. Perkara ini berterusan sehingga hati kita menjadi gelap dan rosak, maka kita sudah tidak segan-segan lagi mengisytiharkan dosa-dosa kita di depan khalayak ramai. Pada masa itulah, kita sudah merasakan tiada lagi perasaan malu untuk terus melakukan dosa-dosa besar. Na'uzubillah... Kehilangan iman menyebabkan ketakutan kita kepada Allah S.W.T luput langsung dari dalam jiwa kita. Dan berlakulah kerosakan demi kerosakan yang ada di muka bumi hari ini. Firman Allah S.W.T:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ 

الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُون

Maksudnya: "Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)." [Surah Ar-Rum ayat 41].


 قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلُ 

كَانَ أَكْثَرُهُم مُّشْرِكِين

Maksudnya: "Katakanlah: 'Adakanlah perjalanan di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu. kebanyakan dari mereka itu adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah).'" [Surah Ar-Rum ayat 42].

Pada ayat 41 surah Ar-Rum, terdapat kata-kata penegasan daripada Allah S.W.T dengan menyatakan bahawa pelbagai kerosakan yang berlaku di daratan dan di lautan adalah kesan daripada perbuatan manusia. Hal tersebut hendaklah disedari oleh umat manusia agar manusia dapat menghentikan dengan segera perbuatan-perbuatan yang menyebabkan timbulnya kerosakan di daratan dan di lautan dengan jelas dan menggantikannya dengan perbuatan baik dan bermanfaat untuk kelestarian alam. (Syamsuri, 2004: 116).

Perkataan 'zhahara' pada mulanya bermaksud 'terjadinya sesuatu di permukaan bumi secara zahir'. Disebabkan ianya berlaku di permukaan bumi, maka ianya nampak kelihatan dengan begitu terang serta diketahui dengan begitu jelas. Sedangkan perkataan 'al-fasad' menurut Al-Ashfahani adalah 'keluarnya sesuatu daripada keseimbangan, baik sedikit mahupun banyak'. Perkataan ini digunakan dengan menggambarkan apa-apa saja, baik dari segi jasmani, jiwa, mahupun hal-hal yang lain. (Quraish Shihab, 2005: 76).

Sedangkan pada ayat 42 surah Ar-Rum pula, menerangkan tentang perintah untuk mempelajari sejarah umat-umat yang terdahulu. Pelbagai bentuk bencana telah menimpa umat-umat terdahulu adalah disebabkan perbuatan-perbuatan mereka yang melampaui batas serta menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Mereka tidak mahu menghambakan diri kepada Allah S.W.T, sebaliknya mereka menghambakan diri mereka kepada selain Allah dan hawa nafsu mereka. (Syamsuri, 2004: 116). 


Tidak perlu saya senaraikan di sini apa kerosakan yang sedang berlaku terhadap diri dan masyarakat kita. Semuanya terzahir di hadapan mata kita, juga media massa kita, karya-karya novel dan cerpen kita, dalam filem dan drama-drama kita. Kita boleh melihat sendiri dan menilainya dengan mata hati kita. Sebab itulah Rasulullah S.A.W ada menyatakan bahawa:

"Tidak akan berzina seorang penzina, sekiranya ketika dia hendak berzina itu, dia beriman."

Kelemahan iman juga adalah punca kepada kemungkaran yang tersebar secara meluas. Rasulullah S.A.W bersabda:

"Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka cegahlah dengan tangan. Sekiranya dia tidak mampu, maka cegahlah dengan lidah. Sekiranya dia tidak mampu juga, maka cegahlah (membenci) dengan hati. Demikianlah itu (mencegah dengan hati) adalah selemah-lemah iman."

Bagaimana pula bagi mereka yang meredhai akan perbuatannya yang mungkar itu? Jawapannya, cuba kita lihat bagaimana mereka merasakan kebencian terhadap kemungkaran dan jahiliah itu, ada kaitannya dengan perasaan bergetarnya keimanan mereka. 

Kehilangan keimanan ini juga membuatkan mereka yang mengaji agama, memutarbelitkan agama dalam soal hukum yang mereka pelajari untuk kepentingan duniawi mereka. Bayangkan, ada yang mempelajari agama dan memahami Islam, tetapi sanggup mengatakan peraturan Islam dalam soal hukum-hakam agama yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul itu sudah ketinggalan zaman? Mereka ini adalah yang tidak terbina keimanannya. Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger