Searching...

Pembinaan Keimanan Pada Zaman Rasulullah S.A.W yang Masih Ramai Lagi Tak Tahu (Bhgn I)

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Kita perhatikan pada zaman Rasulullah S.A.W. Bagaimana Allah S.W.T dengan teratur dan cantiknya menyusun jalan tarbiah untuk pengikut baginda S.A.W lalui, dengan memupuk keimanan dalam jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W. Dakwah Rasulullah S.A.W adalah sepanjang 23 tahun. Sekiranya kita teliti, 13 tahun adalah fasa dakwah baginda S.A.W di Makkah, dan 10 tahun pula adalah fasa dakwah ketika di Madinah. Pada masa fasa dakwah di Makkah inilah berlakunya pemupukan iman yang betul-betul menebal.

Sekiranya kita kaji sirah dalam fasa 13 tahun itu, maka ayat-ayat yang turun di Makkah adalah ayat yang fokus pada keimanan, keyakinan, dan kepercayaan manusia kepada Allah S.W.T. Turunnya pula ayat-ayat seperti kisah teladan para rasul bersama umat-umat mereka yang terdahulu sebagai pengajaran dan iktibar yang mendorong mereka menguatkan lagi semangat untuk menebalkan keimanan yang telah sedia ada. Selain itu, banyak pula ayat-ayat yang menceritakan perihal azab neraka dan keindahan nikmat di dalam syurga Allah S.W.T. Ada pula ayat-ayat penenang dengan penuh kesabaran dalam menghadapi dugaan ketika hidup menyebarkan dakwah di kota Makkah dan juga janji-janji Allah akan kemenangan Islam yang akan dirasai nanti.

Keimanan ini dididik dengan berbagai-bagai ujian dan cubaan. Dalam fasa Makkah, para sahabat diseksa dengan sebegitu dahsyat sekali sehingga ada yang terbunuh. Dalam fasa ini jugalah Rasulullah S.A.W bersama para sahabat serta penyokong baginda S.A.W dipulaukan oleh penduduk-penduduk Makkah selama tiga tahun tiga bulan hingga mereka terpaksa menahan lapar berpanjangan dengan berbekalkan keimanan yang sedia ada dan beranggapan bahawa Allah sahaja yang boleh mengubah nasib mereka.

Pada akhir fasa tersebut, Allah S.W.T Mengadakan Israk Mikraj terhadap Rasulullah S.A.W. Satu perkara yang diluar logik akal manusia bagi mendidik para Muslimin bahawa Allah S.W.T itu mampu melakukan apa-apa sahaja mengikut kehendak-Nya. Israk Mikraj sekiranya kita lihat dengan lebih mendalam, juga adalah tapisan daripada Allah S.W.T kepada mereka yang benar-benar mengikuti perjuangan Rasulullah S.A.W yakni mereka yang mempercayai kata-kata baginda S.A.W pada masa penduduk Makkah yang berada di sekelilingnya tidak mengakui pengakuan baginda S.A.W menuju ke Masjidil Aqsa dan naik ke langit bertemu Allah dalam masa semalaman yang begitu singkat. Keimanan mereka yang benar-benar kukuh dalam mempercayai kata-kata Rasulullah S.A.W juga akan kekal dalam perjuangan ini.

Selepas itu, barulah keluar pula arahan untuk mereka berhijrah. Orang yang berhijrah adalah orang yang benar-benar imannya tidak goyah (mapan) dalam mengikuti perjuangan Rasulullah S.A.W. Sehinggakan Abdur Rahman Bin Auf mampu berhijrah tanpa sesen pun daripada hartanya untuk dibawa bersama. Sehinggakan pula Saidina Abu Bakar berasa tenang melindungi Rasulullah S.A.W tanpa menghiraukan dirinya dalam bahaya ketika mereka berdua berada di dalam Gua Thur bersama. Allah S.W.T ada menyatakan dalam surah Al-Ankabut, ayat 2 hingga 3:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: "Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: 'Kami telah beriman', sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." [Surah Al-Ankabut ayat 2-3].

Wallahua'lam. Bersambung ke bhgn II...

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger