Searching...

Inilah Jawapan Sesuai Untuk Remaja yang Sedang Bercinta dan Ingin Berkahwin Awal

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Kahwin sinonim dengan sesuatu yang menyeronokkan terutamanya bagi orang-orang muda yang baru pertama kali hendak mendirikan rumahtangga dan kini sedang berdarah panas. Apatah lagi apabila teringin memiliki gambar-gambar kenangan perkahwinan yang indah, maka diri ini terasa seperti berada di awang-awangan. Mereka terus memasang angan-angan, terus mengejar cita-cita sedemikian dan moga-moga ianya menjadi realiti dalam kehidupan mereka. Tetapi tahap pemikiran mereka hanyalah sekadar hangat-hangat tahi ayam. Kenapa patut dikatakan sedemikian?

Kadangkala impian ini membuatkan ramai di antara para remaja tergesa-gesa mahu mendapatkannya. Mereka ingin cepat kahwin. Maka dalil-dalil nikah awal diangkat dengan penuh garang. Bajet-bajet perkahwinan rendah dipromosikan secara meluas, dan ibu bapa mereka menjadi mangsa serangan mereka. Kebanyakan jawapan yang diterima daripada ibu bapa mereka membuatkan mereka berasa tidak puas hati disebabkan faktor dari segi umur mereka yang masih lagi mentah dan belum cukup bersedia dari segi mental, fizikal, dan kewangan. Lantaran itu, mereka menyatakan bahawa ibu bapa tidak memahami, mahu menghalang perkara yang baik, tidak mahu membantu, tidak sederhana, dan sebagainya. Itulah dikategorikan sebagai remaja yang sedang bercinta.


Darah muda remaja pada tahap tersebut adalah meluap-luap. Panas. Fikiran mereka kebiasaannya tidak panjang (cuma sekadar hangat-hangat tahi ayam) walaupun terasa bahawa dirinya seakan-akan matang. Masih banyak lagi masalah yang akan dihadapinya setelah mereka melangsungkan hubungan pernikahan sama ada dari segi mental mahupun fizikal. Banyak perkara yang perlu mereka fikirkan. Diri mereka, tanggungjawab, ilmu, kesefahaman dan bermacam-macam lagi. Perlu dipanjangkan lagi dek akal itu ketika mereka hendak berfikir dan jangan berhenti sekerat jalan berfikir kelak takut mengundang pelbagai masalah di antaranya yang paling popular iaitu boleh membawa kepada kes perceraian setelah beberapa hari/minggu/bulan melangsungkan pernikahan.


Ini hanyalah persoalan remaja yang mahu bernikah awal sekitar umur belasan tahun yang masih mentah lagi. Jangan ada yang terasa jika dikaitkan dengan perkataan remaja kalau anda telah pun menjangkau umur 20 tahun ke atas. Dan ini juga adalah persoalan mengenai percintaan remaja. Mengapa mudah sangat mereka membiarkan 'cinta' menusuk ke dalam hati?

Itulah persoalan yang hendak dirungkaikan mengenai permasalahan remaja yang mahu bernikah terlalu awal. Dalam keadaan diri tidak mempunyai kemampuan, dan saat kematangan sendiri belum tumbuh sudah menyibukkan diri hendak berkahwin. Alasannya, sudah terlalu lama bercinta semenjak dari tingkatan tiga contohnya kerana ingin mengelakkan perzinaan.

Alasan yang kukuh hanyalah untuk elak zina. Tetapi tidak menyedari bahawa disebalik alasan itu, wujudnya kecacatan. Jika remaja yang mahu kahwin awal bagi alasan seperti di atas, maka eloklah kita lontarkan balik kepada mereka jawapan balas yang berupa soalan seperti berikut:

"Mengapa mudah sangat membiarkan cinta menusuk masuk ke dalam hati kamu? Mengapa mudah sangat membiarkan cinta menguasai nafsu kamu semata-mata? Umur kamu masih muda, sudah main suka-suka. Umur masih mentah seperti buah rambutan hijau, sudah sibuk pula bermain cinta asmara."

Alasan mengelakkan zina itu sepatutnya dibalas dengan satu soalan sindiran yang begitu pedas:

"Kamu bercinta yang macam mana sampai ada rasa hendak elak zina ini? Kamu bercinta sampai rasa hendak berzinakah?"

Ya. Pelik benar remaja yang bercinta sekarang ini. Entah bagaimana caranya bercinta hingga muncul alasan sedemikian rupa. Entah mengapa dibiarkan cinta yang menusuk di dalam hati semasa usianya masih terlalu muda dan diri masih belum punya apa-apa lagi. Aset dan keperluan untuk dirinya pun ibu bapa yang tanggung. Sudah ada hati ingin tanggung anak orang khusus bagi remaja lelaki. Kemudian menjajakan pernikahan awal dan bajet yang rendah sebagai kononnya hendak mengikuti sunnah. Oleh itu, percintaan apakah itu, tanpa persediaan diri, tanpa kematangan minda, dan tanpa disiplin hati itu adalah sunnah? Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger