Searching...

Tiadalah Islam Sekiranya Sekuler Diambil Bersama. Tiada Istilah Islam Sekular... Tiada...

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Sekularisme dan Islam sebenarnya adalah dua jalan hidup yang berbeza. Sekularisme tidak lain dan tidak bukan adalah bermaksud memisahkan agama dari kehidupan seharian dan membataskan kuasa Tuhan hanya di bahagian-bahagian tertentu sahaja. Dengan kata lain, bagi kaum sekular, Tuhan hanya berkuasa di sebahagian hidup manusia seperti di masjid-masjid, kementerian agama, sekolah-sekolah pondok dan tempat-tempat agama yang lain. Sementara pada bahagian hidup yang lain pula, manusia merasa lebih berkuasa daripada Tuhan dengan membuat aturan hidup untuk mengatur manusia lain. Maka akhirnya timbullah satu kenyataan yang ada mengatakan manusia menghambakan diri untuk manusia yang lain. 

Firman Allah S.W.T:

إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: "Jika kamu mendapat luka (dalam peperangan Uhud), kaum (yang memerangi kamu) itu juga telah mendapat luka yang serupa (dalam peperangan Badar). Demikianlah Kami (Allah) pergilirkan hari-hari itu antara manusia, dan kerana Allah hendak menyatakan mereka yang beriman, dan menjadikan di kalangan kamu syuhada (orang yang mati syahid atau yang menjadi saksi). Dan Allah tidak menyukai orang yang zalim." [Surah Ali Imran ayat 140]. 

Sekularisme bermula dari tanah besar Eropah, ketika masyarakat Eropah menganggap kuasa gereja tak selaras dengan perkembangan pada zaman itu. Ketika itu, Eropah sedang mengalami zaman yang disebut "Dark Age" iaitu zaman kegelapan. Beberapa pihak berpendapat bahawa pihak berkuasa gereja-lah yang membuatkan mereka terkongkong pada zaman itu. Terbukti, gereja pada zaman itu hampir menguasai keseluruhan seisi kehidupan masyarakat Eropah dan tidak boleh ada satu pemahaman pun yang bertentangan dengan dogma Gereja. Beberapa saintis yang mengemukakan pendapatnya tetapi bertentangan dengan Gereja dihukum seperti Coppernicus, Galileo Galilei dan Granado padahal pada kemudian hari, akhirnya pendapat merekalah yang diketahui kebenarannya. Akhirnya masyarakat Eropah sedar bahawa jika Eropah ingin memajukan masyarakat mereka, maka mereka hendaklah melepaskan diri mereka daripada kongkongan gereja. Akhirnya sebahagian masyarakat Eropah melakukan revolusi pada hampir kesemua bidang termasuklah pemikiran memberontak terhadap pihak berkuasa gereja untuk menuju kehidupan sekular. Revolusi mereka membawa kesan yang nyata, yakni Eropah bangkit dari zaman kegelapan menuju abad pencerahan atau yang dikenal dengan zaman Renaissance. Maka muncullah para pemikir terkenal seperti Charles Darwin, Karl Marx, Adam Smith, Max Weber dan lain-lain lagi. 


Seterusnya dalam perkembangannya, kemajuan Eropah juga telah membawa mereka keluar dari kesempitan benua Eropah dan melakukan pelayaran ke seluruh dunia melalui misi kolonialisme dan imperialisme termasuk menjajah negeri-negeri penduduk muslim. Perkembangan misi pelayaran Kekhilafahan Islam yang pesat pada masa itu telah mendorong bangsa-bangsa Eropah melakukan misi kolonialisme mengharungi samudera. Kesan Kolonialisme bukan sekadar penjajahan dalam bentuk fizikal malah ianya membawa suatu perkara yang lebih berbahaya iaitu kehilangan jati diri Islam dengan keracunan pemikiran fahaman mereka seperti sekulerime, demokrasi, kebebasan dan lain-lain lagi. Sehinggakan secara beransur-ansurnya kaum yang beragama Islam terlupa akan jati dirinya dan mengikuti budaya dan pemikiran bangsa-bangsa Barat. 

Kaum yang beragama Islam telah lupa, ketika masyarakat Eropah sedang mengalami zaman kegelapan, pada sisi yang lain, Islam sedang berkembang menjadi rumah api dunia dengan jati dirinya sendiri iaitu dengan pemikiran dan budaya Islam. Sejarah telah terbukti bahawa kejayaan orang-orang Islam di Andalusia, Sepanyol yang menjadi obor menerangi ditengah-tengah kegelapan peradaban Eropah. Tidak cukup pada bahagian Eropah Barat, di Eropah Timur pula, Islam telah menguasai Konstantinopel yang merupakan jajahan sangat terkenal pada abad pertengahan itu. Di Asia pula, Baghdad bersinar terang menjadi tumpuan para penuntut ilmu dari seluruh dunia. Dan di Mesir pula, Universiti pertama dan tertua di dunia iaitu Universiti Al-Azhar dibangunkan di Cairo. Justeru umat Islam mengalami kemunduran setelah mereka mengikuti tamadun barat. Mereka juga tertipu dengan kegemerlapan dan kemajuan tamadun Barat lalu mereka pun meninggalkan jalan hidup yang agung iaitu Islam termasuk bergerak menuju kehidupan sekular. 


Begitulah sejarah singkat fahaman sekularisme sehinggakan ianya sampai memasuki pola pemikiran dan kehidupan umat Islam. Namun, ada yang lebih penting daripada analisis sejarah tersebut. Sekularisme dan agen-agennya termasuk demokrasi telah mengeluarkan kita tanpa kita sedari iaitu kita telah keluar dari penghambaan kita terhadap Allah S.W.T. Dan prinsipnya jelas bertentangan dengan ajaran Islam iaitu membanding-bandingkan ciptaan mereka dengan Sang Pencipta yang mencipta diri mereka itu dan mewujudkan persoalan mengenai kuasa paling tertinggi seolah-olah mereka mahu mencabar kuasa Tuhan. Sekularisme mengajarkan bahawa Allah bukanlah satu-satunya pemilik kekuasaan tertinggi atas diri manusia melainkan ada yang lain. Na'uzubillahiminzalik. Padahal Allah telah berfirman: 

يَاأَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ {21} الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَآءَ بِنَآءًوَأَنزَلَ مِنَ السَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ فَلاَ تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَندَادًا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ {22

Maksudnya: "Hai sekalian manusia, sembahlah Rabb-mu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertaqwa. (21). Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui. (22)." [Surah Al-Baqarah ayat 21-22].

Bagi kita selaku umat Islam yang mempercayai bahawa adanya Allah yang Maha Pengasih selaku pencipta alam semesta ini hendaklah kita menyedari bahawa tiada manusia diciptakan tanpa maksud tertentu. Allah-lah yang telah memberi petunjuk melalui para utusan-Nya iaitu manusia-manusia pilihan (para Rasul) untuk menunjukkan kepada kita jalan hidup yang agung iaitu Islam. Islam bererti penyerahan diri (submission/surrender) dan tunduknya manusia terhadap penggubal undang-undang yang digubal oleh Sang Pencipta (Allah S.W.T). Allah telah memberitahu kepada kita hanya ada satu kebenaran mutlak yakni kebenaran yang dengan itu manusia dilahirkan dengan watak dasarnya/fitrah (Lihat QS 30: 30). 

Kebenaran yang dengan itu para Rasul diutus untuk mengembalikan manusia yang telah keluar dari fitrah asalnya. Kebenaran yang dengan itu juga alam semesta dan seisinya berjalan mengikut aturan-Nya. Manusia termasuk dalam sebahagian daripada alam semesta namun ianya mempunyai keistimewaan berupa kebebasan berkehendak. Manusia juga boleh memilih adakah ingin berjalan bersama alam semesta (termasuk fitrahnya) yang tunduk berserah diri kepada pencipta-Nya atau memberontak terhadap-Nya dengan melawan kehidupan. Setiap pilihan mempunyai kesan yang berbeza berupa ganjaran kemuliaan atau hukuman kehinaan pada hari pengadilan kelak. Allah berfirman: 

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

Maksudnya: "Maka apakah mereka mencari agama yang lain selain dari agama Allah, padahal kepada-Nya-lah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah-lah mereka dikembalikan." [Surah Ali Imran ayat 83]. 

Hari ini kita hidup di alam dunia yang sementara. Namun begitu, lembaran-lembaran di dunia adalah ujian bagi manusia yang mesti kita jalani sebagai seorang muslim. Banyak cabaran yang mendorong kita untuk keluar dari fitrah asalnya iaitu Islam. Kemudian membawa kita ke jurang kehancuran dan juga lembah kehinaan. Kita tidak perlu tertipu dengan kejayaan tamadun Barat yang sebenarnya adalah kemajuan sementara yang sentiasa tertipu. Kaum para Rasul yang terdahulu seperti kaum Aad, Tsamud, Sadum, Rasib yang terbukti tamadun mereka dihancurkan oleh Allah disebabkan perbuatan mereka. Kejayaan hanyalah sementara. Sebenarnya kita telah diberi kebanggaan berupa Islam yang merupakan nilai kemanusiaan tertinggi kerana dengannya manusia dilahirkan. Sekularisme ala barat telah membuatkan manusia keluar dari fitrahnya sebagai Hamba Tuhan yang ingkar. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk mengharungi ujian ini dan tidak tertipu oleh gemerlapan bagi kemajuan sementara mereka. Amin. Status dan harga diri seorang Muslim akan tinggi dan mulia jika ianya kembali kepada fitrah yakni Islam. 

Firman Allah S.W.T:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Maksudnya: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia (kerana kamu) menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah ......" [Surah Ali Imran ayat 110].

Jadi, Islam tidak mengenal istilah sekular kerana makna Islam itu sendiri adalah manusia yang tunduk berserah diri, sedangkan sekular adalah pembebasan/pemberontakan untuk menjadi manusia yang ingkar. Tidak ada istilah Islam sekular dalam kehidupan umat Islam. Tetapi cuma pilih salah satu daripadanya, iaitu menjadi seorang yang berfahaman Islam ataupun sekular? 

Sebagai penutup, seorang cendikiawan barat bernama M Thonnon pernah berkata: 

"Tuan orang timur (Islam) sangat gemar meniru kami orang barat, tetapi yang tuan tiru ialah perkara-perkara yang amat rendah nilainya, kerosakan-kerosakan dan perkara yang sama sekali tidak berguna, bahkan tuan sangat gemar meniru kami yang terbukti orang barat sendiri menganggapnya sebagai penyakit yang merosakkan tubuh. Malah, orang-orang bijak pandai Eropah sendiri memeranginya. Jikalau Tuan mahu kemajuan yang sebenar-benarnya dan berdiri sama tinggi dengan kami, maka pertama sekali berpegang teguhlah pada agamamu, sebab aku mendapati bahawa Al-Qur'an itu mengandungi pengajaran luhur yang cukup untuk menetapkan fitrah asal sikapmu."

Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger