Searching...

Kisah Zaman Nabi Ini Adalah Puncanya Kenapa Istidraj Tidak Boleh Dipandang Biasa

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Kisah kali ini hendak diceritakan mengenai kisah zaman nabi yang akan diketengahkan khususnya mengenai orang yang mendapat istidraj. Kisah ini tidak boleh dipandang biasa. Kalau kita cuma setakat dengar dan tidak mengambil pengajaran daripada cerita tersebut, maka silap-silap hari bulan kita terleka secara tidak sedari, tahu-tahu kita pula tergolong dalam orang-orang yang rugi. Sama ada mendapat istidraj atau seburuk daripada itu atau malah lebih buruk lagi. Masya-Allah, na'uzubillahiminzalik... Sebenarnya, ramai orang yang mendapat istidraj pada zaman nabi. Antaranya, Fir'aun, Raja Namrud, Qarun, Raja Kisra (Parsi), dan sebagainya yang boleh kita jadikannya sebagai ingatan sepanjang zaman tentang bahayanya istidraj telah Allah tunjukkan melalui zaman para nabi terdahulu. 

Kita lihat contoh yang mudah, iaitu Qarun. Adakah kita kenal siapakah Qarun? Dia seorang manusia yang kaya. Diceritakan bahawa kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Ini menunjukkan betapa kayanya Qarun. Dia hidup pada zaman Nabi Musa A.S.


Kisah Qarun terdapat dalam Al-Qur'an. Hartanya melimpah-ruah tak ternilai. Semua perniagaannya maju dan berjaya. Segala jenis pelaburannya berkembang begitu banyak sekali. Hartanya semakin hari semakin bertambah, sedangkan yang bertambah pada hari sebelumnya, sedikit pun tidak luak apabila digunakan. Semakin banyak hartanya, semakin tidak puas Qarun mengumpulnya. Kalau boleh harta satu dunia mahu dia memilikinya.

Apabila Nabi Musa cuba mengingatkan Qarun bahawa semua harta kekayaannya itu datang dari Allah S.W.T, maka Qarun dengan angkuhnya menjawab dengan ayat berikut sepertimana telah dinyatakan dalam Al-Qur'an dalam surah Al-Qasas ayat 78:

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ عِندِي أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِ مِنَ القُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعاً وَلَا يُسْأَلُ عَن ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ

Maksudnya: Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

Maka Allah S.W.T membalas kemurkaan-Nya terhadap Qarun itu dengan jawapan selepas daripada ayat yang Qarun nyatakan di atas tadi. Lihat apa yang diperkatakan oleh Qarun itu melalui ayat Al-Qur'an tadi dengan jelas menunjukkan betapa jauhnya dia dari Allah S.W.T. Semakin jauh dia terpesong akibat daripada keasyikan dalam kemewahan yang dialaminya itu sampai lupa akan Allah S.W.T yang telah memberi rezeki terhadap dia. Dia akui kekayaan yang dimilikinya itu atas hasil usaha dan kepandaian dia 100% seperti yang telah dinyatakan dalam entri sebelumnya yang bertajuk, Adakah Orang Yang Berjaya Itu Cukup Sekadar Mempunyai Dosa Yang Ringan Tanpa Melakukan Maksiat? 

Saban hari dan waktu Qarun mengecilkan hati para pengikut Nabi Musa yang terdiri daripada orang-orang miskin dan para hamba. Secara ringkas, Qarun memperlekehkan akan kekurangan orang lain kerana tidak setara dengan dia (tidak dapat bersaing dengan Qarun itu sendiri). Betapa terkutuknya sifat Qarun yang suka membanding-bandingkan kelebihan diri dia dengan orang lain. Tanpa disedari Allah sedang memerhatikan tingkah laku Qarun itu, namun begitu Qarun tidak menyedari betapa Allah S.W.T boleh melenyapkan diri Qarun itu pada bila-bila masa sepertimana yang telah berlaku pada umat-umat sebelumnya. 

Apakah pengakhiran hidup Qarun? Akhirnya, dia ditenggelamkan oleh Allah ke dalam perut bumi dengan seluruh hartanya yang melimpah-ruah tak ternilai itu. Kisah Qarun ditenggelami bumi juga terdapat dalam Al-Qur'an di mana Allah menyatakan dalam ayat 81 surah Al-Qasas seperti berikut:

فَخَسَفْنَا بِهِ وَبِدَارِهِ الْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُ مِن فِئَةٍ يَنصُرُونَهُ مِن دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ المُنتَصِرِينَ

Maksudnya: Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.

Lihatlah, adakah ini yang kita masih lagi berfikir bahawa istidraj itu biasa-biasa sahaja? Sekali lagi, janganlah kita pandang istidraj itu perkara biasa, kelak kita pula yang tergolong dalam golongan yang dimurkai Allah S.W.T. Na'uzubillahiminzalik... Bahkan sehingga kini orang-orang kita masih beranggapan sekiranya seseorang menjumpai harta dari dalam tanah, maka harta itu adalah harta karun! Wallahua'lam...

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger