Searching...

Ramai Dalam Kalangan Manusia Suka Memutarbelitkan Istilah Sabar Dan Syukur

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Ramai dalam kalangan manusia suka memutarbelitkan istilah sabar dan syukur seolah-olah perjuangan hidup mereka hanyalah terbantut setakat itu sahaja tanpa meneruskan cabaran hidup yang lain. Seringkali istilah tersebut dijadikan kebenaran kepada sikap menerima sesuatu tanpa usaha untuk melakukan kreativiti, inovasi, penambahbaikan atau meneruskan tindakan meningkatkan kualiti diri. Sabar ketika miskin bukan bererti kita mempertahankan kemiskinan itu sendiri tanpa sebarang usaha untuk keluar dari kepompong kemiskinan yang menghimpit diri kita. Sabar ketika bodoh bukan bermakna kita tidak belajar, tidak mengaji, tidak menghadiri kursus/latihan atau tidak melakukan usaha-usaha pembelajaran lain yang intinya berperanan bagi meningkatkan kebijaksanaan berfikir, bertindak secara positif dan berjaya mengawal emosi.


Ramai Dalam Kalangan Manusia Suka Memutarbelitkan Istilah Sabar Dan Syukur


Syukur ketika kaya dan cerdas juga bukan bererti kita menghentikan usaha mengembangkan kekayaan dan kecerdasan yang kita miliki. Seringkali seseorang berkata, "Cukuplah, bersyukurlah dengan apa yang kita ada." jika itu memberi makna syukur selepas kita berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti penat, itu sudah tentu betul. Tetapi jika syukur ditafsirkan sebagai menghentikan usaha yang maksimum dalam mengatur kecerdasan dan kekayaan, maka ini adalah satu kesalahan.

Sikap seperti ini menyebabkan seseorang itu terjebak dalam kehidupan yang statik, tenggelam dalam jurang kejumudan dan ada yang lebih parah lagi, kita tidak mahu lagi berinovasi dalam meningkatkan kualiti diri. Mensyukuri sesuatu yang sudah ada bukan bererti kita menghentikan usaha mencari lebih banyak lagi anugerah-Nya atau meninggalkan usaha meningkatkan kualiti diri.

Mensyukuri nikmat kesihatan bukan bererti kita membiarkan diri kita sakit atau tidak menjaga kesihatan diri dengan sebaik-baiknya. Syukur atas harta yang kita miliki, bukan bererti kita menghentikan usaha untuk menambahkan bilangannya.


Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran



Ketika sabar dan syukur itu disama-ertikan dengan usaha yang semahu-mahunya tanpa disertai target dan juga tanpa kesungguhan yang maksimum, maka apabila tiba masanya pasti kita akan berasa jemu dan akhirnya kita berhenti melakukan apa yang kita telah lakukan. Akibatnya, kita akan terus mundur. Ekonomi dan kewangan kita akan semakin ke belakang dan kita akan menuju kepada kehancuran. Untuk menaikkan semangat kita semua, maksud kesungguhan maksimum di sini, kita tidak boleh melakukan secara berlebih-lebihan, yakni 'over'. Lakukanlah kesungguhan secara termampu tetapi sudah mencapai tahap maksimum yang kita rasai. Jangan paksakan diri untuk melakukan pada tingkat (level) yang tidak mampu iaitu jangan 'over-confident', akibatnya nanti kita juga yang akan merana diibaratkan seperti, "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran."


Meletakkan Sabar Dan Syukur Tanpa Disertai Dengan Usaha Yang Bersungguh-sungguh


Meletakkan sabar dan syukur tanpa disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh sama ertinya kita mencemarkan maksud syukur dan sabar itu sendiri kerana berdasarkan sepotong ayat Al-Qur'an seperti berikut dari surah As-Saba' ayat 13:

اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْراً وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

Maksudnya: "Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.

Ayat di atas sangat ketara maksudnya bagai matahari pada siang hari. Jelas sekali bahawa beramal, bertindak, melakukan aktiviti, dan berkreatif sememangnya menunjukkan perbuatan yang bersungguh-sungguh adalah bentuk kesyukuran yang membawa kepada kebaikan.

Abu Hazim pernah ditanya, apakah itu kesyukuran mata? Ia bermaksud jika engkau melihat suatu kebaikan, maka tolong sebarkan ia. Jika engkau melihat suatu keburukan, maka rahsiakan ia. Apa pula kesyukuran telinga? Maksudnya, jika engkau mendengar tentang suatu kebaikan, maka dengarlah dengan baik-baik. Jika engkau mendengar tentang sesuatu keburukan pula, maka diamkan ia (pekakkan telinga). Lalu apa yang dimaksudkan dengan kesyukuran tangan? maknanya jangan engkau ambil sesuatu yang bukan hakmu dan janganlah engkau cegah hak Allah yang ada padanya. Abu Hazim ditanya lagi, apakah dia kesyukuran kedua-dua belah kaki? Bermakna jika engkau melihat suatu kebaikan yang membuatkan engkau berasa bahagia, maka manfaatkan ia. Jika engkau melihat suatu keburukan yang menyebabkan engkau derita, maka hentikan ia.


Seolah-olah Kita Menyalahgunakan Sifat Sabar Dan Syukur


Tindakan yang sewenang-wenangnya atas nama sifat sabar dan syukur seolah-olah kita menyalahgunakan sifat sabar dan syukur itu sendiri. Kita seolah-olah melakukan sesuatu dengan sesuka hati kita atas berlandaskan kehendak nafsu kita sendiri. Kita menjadi orang yang malas, tidak bersungguh-sungguh dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan secara tidak dinamik dan inovatif. Padahal Rasulullah S.A.W sendiri meminta kepada Allah S.W.T agar dapat disingkirkan sifat malas sejauh-jauhnya daripada diri Baginda itu sendiri. Doa yang sering baginda panjatkan seperti berikut dalam hadis riwayat Al-Bukhari:

اللهم إني أعوذ بك من العجز والكسل

Maksudnya: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas."

Doa inilah menjadi hujah bahawa Rasulullah S.A.W mengisytiharkan 'perang' terhadap kemalasan dan tindakan-tindakan yang mencerminkan kelemahan. Oleh itu, sabar dan syukur tidak layak dijadikan sebagai 'perisai' untuk setiap kemalasan kita. Orang kita (melayu) terkenal dengan sikap malas yang begitu sukar nak dibendung. Sehinggakan tidur pun ada rasa malas seperti contoh, "Malaslah nak tidur malam ni sebab nak siapkan kerja yang tergendala, tambahan pula tak mengantuk lagi dan susah pula nak tidur." Baguslah kalau ada sikap rajin terhadap kerja, tapi kena ingat juga, perlulah cukupkan tidur agar kesihatan diri sentiasa terjamin.

Sepatutnya istilah itu kita jadikan sebagai asas untuk kita menghadapi rintangan setelah kita berusaha untuk memajukan diri. Sekarang kita sedang diuji, maka hadapilah dengan penuh keberanian agar tiada lagi yang akan mencemuh diri kita nanti seperti ayat berikut, "Ah, dari dulu dia ni cuma macam tu jer, tak pernah nak berubah! Tak ade perubahan langsung!" Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger