Searching...

Istilah Syukur Disalahgunakan Kerana Cuma Bersyukur Ikut Lidah Sahaja

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Istilah syukur disalahgunakan kerana cuma bersyukur ikut lidah sahaja, tetapi anggota badan lain tidak ikut sekali. Sebelum pergi dengan lebih jauh, kita hendaklah menghayati makna takrifan bagi sesuatu amal soleh dan ilmu. Amal soleh dan ilmu yang bermanfaat dimaksudkan seperti kekuatan dalam melakukan ibadah kepada Allah S.W.T bersandarkan dengan kecermatan dan keteraturan bagi seseorang hamba dalam melakukan suruhan dan perbuatan yang Allah suka. Itu adalah sinonim bagi maksud sebenar ulil aidi dan ulil absar. Jelasnya, para nabi digelar ulil aidi dan ulil absar kerana hebatnya ketaatan mereka kepada Allah S.W.T berserta dalamnya ilmu pengetahuan yang mereka miliki untuk beramal secara diri sendiri dan kemudian menyampaikannya kepada yang lain agar umatnya ikut memperoleh hidayah bersama-sama dengannya. Begitulah Allah menyifatkan para nabi menerusi sepotong ayat Al-Qur'an surah As-Shod ayat 45:

وَاذْكُرْ عِبَادَنَا إبْرَاهِيمَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ أُوْلِي الْأَيْدِي وَالْأَبْصَارِ

Maksudnya: "Dan ingatlah peristiwa hamba-hamba Kami iaitu Ibrahim, Ishaq dan Ya'kob, yang mempunyai kekuatan yang dahsyat dalam ketaatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam (memahami agamanya)."

Ketika mentafsirkan ayat Al-Qur'an di atas, Mujahid berkata bahawa Aidi yang dimaksudkannya itu adalah kekuatan untuk melaksanakan ketaatan pada perintah Allah S.W.T, manakala absar pula bermaksud dalamnya ilmu pengetahuan demi untuk menegakkan kebenaran agama Allah S.W.T. 

Istilah Syukur Disalahgunakan Kerana Cuma Bersyukur Ikut Lidah Sahaja


Ibnu Katsir dalam kitabnya juz 7/76 bab 45 ada menyebut tentang ulil aidi dan ulil absar yang membawa maksud amal soleh dan ilmu yang bermanfaat. Keterangannya ada disebutkan iaitu dalam bentuk kekuatan luar biasa para nabi itu beribadah kepada Allah yang tidak dapat dilakukan oleh orang-orang biasa dan para nabi tersebut mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi secara luar biasa yang dapat membezakan antara yang haq dan yang bathil dengan lebih adil demi untuk memberi petunjuk kepada umat-umatnya untuk kembali bertuhankan Allah yang Maha Esa. Jelasnya, para nabi digelar ulil aidi dan ulil absar kerana hebatnya ketaatan mereka serta dalamnya ilmu yang mereka miliki.

Aku Mahu Menjadi Hamba Yang Bersyukur



Ketaatan para nabi yang luar biasa itu pernah digambarkan oleh Aisyah r.a:

'Rasulullah S.A.W solat malam hingga kakinya pecah-pecah, maka aku (Aisyah r.a) bertanya, "Mengapa engkau melakukan perbuatan seperti ini, padahal Allah telah mengampuni dosamu yang dahulu mahupun yang akan datang?" Rasulullah S.A.W menjawab, "Aku mahu menjadi hamba yang bersyukur".'

Ketika ditanya mengenai aktiviti solat malam Rasulullah S.A.W yang sedemikian rupa hingga pecah-pecah dan bengkak kakinya, maka baginda bersabda, "Ia sebagai manifestasi kepada rasa syukur."


Syukur Bukan Hanya Terbatas Pada Lafaz Sahaja


Penjelasan Rasulullah S.A.W itu memberikan pengertian bahawa syukur bukan hanya terbatas pada lafaz sahaja kerana kesyukuran yang hakiki harus disertai dengan perbuatan menggerakkan anggota tubuh badan untuk beribadah. Pendek kata, makna syukur membuatkan anggota tubuh berfungsi dengan sebaik-baiknya selepas kita menjaga anggota tubuh tersebut selama ini agar dapat berfungsi dengan begitu baik.


Sebagai contoh, akal merujuk kepada otak yang berfungsi untuk berfikir, merenung dan memanfaatkan segala-galanya demi kemaslahatan manusia. Kaki pula digunakan untuk berjalan, telinga untuk mendengar dan menghayati, mata untuk melihat dan meneliti, tangan untuk memegang dan memeriksa. Kesemuanya boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti diri sama ada dalam beribadah, bermuamalah, dan juga tidak kira sama ada ia dilakukan secara bersendirian mahupun dilakukan secara berjemaah. 

Kita Lebih Cenderung Untuk Goyang Kaki Dengan Merehatkan Anggota 


Ketika kita lebih cenderung untuk goyang kaki dengan merehatkan anggota badan yang seharusnya bekerja, ini bermakna kesyukuran kita yang kita lafazkan hanyalah sebatas di bibir sahaja. Ia cuma berlegar di lidah kita sahaja. Ketika kita berasa malas mahu beribadah, bermakna indeks kesyukuran kita sedang menurun. Saat kita berasa malas bekerja, bermaksud graf kesyukuran kita sedang jatuh merosot. Sewaktu kita enggan membaca bahan bacaan, enggan mencerminkan diri sendiri dan juga enggan meneliti tahap kualiti diri kita, bermakna kita telah mengalami kemelesetan pada tahap kesyukuran atau sedang dalam krisis untuk menjadi manusia yang bersyukur.



Memperbaiki indeks kesyukuran ini penting, bukan hanya sekadar mengucapkan kalimah alhamdulillah. Melafazkan kalimah tersebut memang sebahagian daripada petanda kesyukuran, namun ia bukan menandakan kesyukuran itu sendiri secara keseluruhan. Kita yang seringkali datang lambat ke tempat kerja tanpa alasan yang munasabah, tidak serius dalam melakukan pekerjaan, lebih sukakan hiburan daripada membuat penelitian serta tidak serius dalam melaksanakan sesuatu yang berguna untuk diri sendiri, maka adakah itu tanda kita bersyukur kepada Allah S.W.T?

Jika untuk hal-hal yang remeh-temeh, kita mempunyai masa untuk kita luangkan seperti... (faham-faham laa), tetapi kenapa kita tidak luangkan untuk beribadah? Apakah itu tandanya kita sedang bersyukur? Jangan-jangan kita sedang menyalahgunakan istilah syukur itu sendiri! Wallahu'alam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger