Searching...

Penyakit Hati Adalah Paling Berbahaya Dan Cara Merawatnya Yang Perlu Kita Ketahui

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Penyakit hati adalah paling berbahaya bagi setiap manusia kerana dari situlah, timbulnya bermacam-macam perangai manusia yang tidak dapat dijangka. Ada yang jenis sombong, hasad (dengki), riak (suka menunjuk-nunjuk perbuatan baik semata-mata mahu disanjung/dipuji), bakhil (kedekut), dan ujub (kagum akan diri sendiri). Ibarat seperti penyakit hati yang dari segi fizikal/saintifik, seperti contoh hepatitis B, iaitu penyakit yang sangat kronik sekiranya tidak dirawat dalam rangka yang betul, boleh membuatkan nyawa seseorang manusia itu melayang. Begitu juga penyakit hati dari segi rohani, adalah sangat berbahaya kalau tidak dirawat dengan cara yang betul kerana boleh menyebabkan hati mati. Apabila hati kita telah mati, hati kita tidak akan sensitif lagi terhadap dosa.

Penyakit Hati Adalah Paling Berbahaya



Hati yang mati juga tidak akan tahan akan ujian yang menimpa dalam satu-satu masa tertentu. Hidup sentiasa dalam kegelisahan dan ketakutan. Apa dia contoh penyakit hati? Iaitu liat mengerjakan solat merupakan salah satu penyakit hati. Ini kerana semuanya berpunca daripada nafsu yang telah berjaya menguasai hati berbanding akal fikiran kita. Boleh rujuk entri sebelumnya yang bertajuk, "Penyakit hati kebiasaannya berlaku pada setiap orang...".

Nafsu yang mengarahi dan menunggangi kita umpama raja dan diri kita pula melalui hati kita ini telah menjadi hamba suruhan nafsu. Semakin banyak kena perintah oleh si raja itu, semakin penat hamba ini melakukan kerja-kerja berat yang disuruh oleh raja itu. Maka akhirnya hamba tersebut menjadi semakin tidak larat untuk membuat kerja-kerja yang disuruh oleh raja tersebut dan akhirnya mati dengan tanpa dihiraukan sedikit pun oleh raja tersebut dan keadaan sekeliling. Tidak hairanlah sekiranya terdapat manusia yang berperangai seperti telah dikuasai oleh nafsu yang sangat banyak berbanding akal fikirannya kerana hatinya pada masa itu telah pun mati. Tiada lagi rasa takutnya untuk melakukan dosa-dosa besar.


Bagaimana Hendak Pulihkan Manusia Yang Hatinya Mati?




Bagaimana hendak pulihkan manusia yang hatinya mati? Memang agak susah, semuanya atas diri masing-masing nak membuatkan dirinya itu sedar akan kelalaiannya itu. Bergantung kepada doa ahli-ahli keluarga dan sahabat-sahabat terdekat dan juga orang-orang yang rapat dengannya. Selalunya apabila orang yang hatinya mati, Allah S.W.T menyedarkan dia dengan sesuatu perkara yang tidak dapat dijangka sehingga dia benar-benar insaf atas kesilapan dan kelalaiannya yang lalu. Seperti contoh ahli keluarganya meninggal dunia secara tiba-tiba, ataupun segala apa yang dibuatnya semua serba tak menjadi atau serba tak kena sehinggalah dia benar-benar sedar dan insaf betapa selama ini Allah S.W.T masih lagi memberi perhatian terhadapnya.

Ada yang bertanya, apakah itu nafsu? Nafsu itu adalah tempat berkumpulnya kekuatan amarah dengan mengajak kepada perbuatan jahat dan syahwat iaitu keinginan yang bathil dalam diri manusia. Di sinilah terkumpulnya sifat-sifat tercela yakni buruk, kotor, jijik dan segala rupa amalan yang membawa kepada kemaksiatan dan dosa. Daripada nafsu inilah, timbulnya sifat-sifat mazmumah seperti buruk sangka, hasad dengki, takbur, pemarah, gila pujian, cintakan dunia dan sifat malas.

Sifat-sifat mazmumah seperti di atas haruslah kita kikis dan buang agar kita dapat dipermudahkan jalan kita untuk menjadi hamba Allah S.W.T yang sejati. Oleh yang demikian, kita haruslah menguasai diri kita 100%, kalau tidak dapat sebanyak itu, dalam 80% hingga 99% pun boleh juga agar kita dapat mendidik diri sendiri melalui hati kita dengan melebihi akal fikiran dan mengurangi nafsuOleh itu, sebelum penyakit hati ini bertambah teruk marilah kita merawatnya dengan secepat mungkin.

Perkara Paling Asas Cara Merawat Penyakit Hati



Dibawah ini adalah perkara paling asas cara merawat penyakit hati yang terdapat dalam diri kita sendiri untuk kita semua rasai:

1. Tidak Banyak Bercakap.

Terlalu banyak kita bercakap, maka boleh membuatkan hati kita menjadi keras. Sekiranya hati kita keras, maka susahlah kita hendak mempelajari ilmu-ilmu baru. Ilmu-ilmu lama masih lagi boleh dipelajari sebab mempunyai asas-asas tersendiri. Tetapi ilmu baru? Memang lambat hendak dihadam dalam fikiran kita ini sekiranya mempunyai hati yang keras. Oleh itu, bercakaplah perkara-perkara yang tidak penting secara minimum, secukupnya dan hindari menjadi orang yang bercakap besar, suka bergosip dan lain-lain lagi.

2. Jaga Emosi Kerana Dalamnya Terdapat Nafsu.

Emosi dapat membuatkan hidup kita merasa tidak tenang kerana di dalamnya terkandung dorongan nafsu untuk melakukan sesuatu yang tidak berlandaskan akal fikiran. Sebab itu orang yang beremosi, kita hendaklah berikan dia ruang masa, sama ada sekejap ataupun lama agar dia boleh berfikiran waras dengan tenang seperti sediakala. Oleh sebab itulah sebaik-baiknya kita hendaklah menjaga emosi diri kita agar diri kita tidak menjurus kepada penyakit hati.
  • Seperti contoh nafsu yang mesti ditundukkan iaitu nafsu seks, nafsu harta, nafsu makan, nafsu marah, nafsu pangkat, dan sebagainya.
  • Salah satu cara untuk melatih emosi kita daripada menurut perintah nafsu adalah dengan melakukan ibadah puasa, baik puasa sunat mahupun puasa Ramadhan. Sekiranya tidak mampu hendak mengerjakan puasa sunat, maka hendaklah ianya bermuhasabah diri, pasal apa puasa wajib mampu buat, tetapi puasa sunat tidak mampu buat...

3. Selalu Mengingati Allah S.W.T.

Rajin-rajinlah menunaikan solat, baik solat sunat mahupun solat lima waktu itu sudah tentu fardhu. Manakala solat sunat seperti solat tahajud untuk sepertiga malam hendaklah kita memohon kepada Allah agar sentiasa mendapat keredhaan Allah S.W.T. Untuk solat dhuha disyorkan pula agar sentiasa dilimpahi rezeki yang halal hasil usaha diri sendiri. Selain itu zikir dan membaca al-Qur'an juga dapat menghindarkan diri kita daripada penyakit hati. Tidak lupa memohon doa kepada Allah S.W.T agar iman kita sentiasa terpelihara daripada segala ujian hidup di dunia ini.

4. Jangan Bergaul Dengan Orang yang Mempunyai Penyakit Hati

Janganlah kita bergaul dan berkawan dengan orang-orang yang penuh dengan penyakit hati kerana penyakit hati ini boleh menjangkiti pada kita sekiranya kita mengiya-iyakan kata-kata orang yang berpenyakit hati tersebut. Semakin kita melayani tingkah mereka, semakin dalamlah kita menggali minat mereka sehinggalah kita tidak sedar yang kita semakin jauh dari Allah S.W.T.

Oleh yang demikian, kita disuruh untuk bernaung pada hati kita yang tulus kerana di situ boleh terbinanya keikhlasan dalam diri kita 100% tanpa kita sedari akan ia. Maka dengan itulah diri kita bebas daripada segala macam jenis penyakit hati seperti riak dan ujub. Hatilah tempat ketundukan, kepatuhan dan ketaatan. Dan hatilah tempat di mana taqwa kita kepada Allah S.W.T bertapak lalu terbina dengan jayanya. Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger