Searching...

Bagaimana Cara Untuk Menahan Marah Dan Mengenalpasti Dendam Dalam Kemarahan Kita?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Pernahkah terlintas di fikiran kita perasaan geram untuk mengeluarkan kata-kata kesat dan keras di mulut kita yang membuatkan hati sanubari kita merasa tidak tenang? Jika pernah, maka apakah sebenarnya perasaan kita pada waktu itu? Marah? Benci? Sedih? Kalau rasa marah, bagaimana cara untuk menahan marah? Jika pada waktu itu tidak pernah, maka bersyukurlah kerana jiwa kita pada waktu itu sedang merdeka daripada perasaan dendam yang tersimpan di dalam lubuk hati dan sanubari kita itu.

Bagaimana Cara Untuk Menahan Marah?


Perasaan marah dan dendam membuatkan kita berasa tidak senang hati untuk duduk dengan diam dan tenang. Mendengar sesuatu yang membuatkan jiwa kita merasuk dengan perasaan dendam sahaja, sudah membuatkan hati dan jiwa kita merasa kacau, resah, gundah, gelisah dan berkecamuk. Namun begitu, ada caranya yang paling sesuai untuk menahan marah. Teruskan membaca di bawah...


Bagaimana Cara Kita Mengenalpasti Dendam Dalam Kemarahan Kita?


Pastinya terdapat berbagai-bagai perasaan yang bercampur-baur dapat kita rasakan pada waktu itu yang mana hanya kita seorang sahaja yang boleh merasa betapa negatifnya fikiran dan energi yang kita telah menyerap masuk ke dalam jiwa kita pada waktu tersebut. Dendam yang kita pendam itu semakin lama semakin parah dengan memakan jiwa kita, malah merosakkan rasa perikemanusiaan kita pada waktu itu lalu menanamkan pula rasa iri hati yang menyesakkan diri.

Seseorang yang mempunyai dendam yang telah lama, sudah pasti berada dalam keadaan tidak tenteram hatinya. Mereka merasakan kesemuanya serba tidak kena, tidak adil dan memerlukan tindakan susulan bagi menuntut bela terhadap dirinya.

Sementara itu, kata-kata yang keluar dari mulutnya itu terus menyebutkan kata-kata kesat yang tidak sedap untuk didengar begitu juga dari bisikan hatinya itu. Sifat dendam sangat berkait rapat dengan perasaan marah. Sebagai seorang manusia biasa sememangnya kita dikurniakan dengan pelbagai perasaan semulajadi untuk diri kita. Antaranya rasa gembira, sedih, kecewa, lega, suka, teruja, marah, dan banyak lagi. Perasaan ini sering berubah-rubah mengikut keadaan 'mood' diri manusia pada waktu itu. Namun, perasaan ini perlu ada bimbingan dari hati dan jiwa kita itu sendiri untuk mencorakkan kehidupan kita.

Dari Abu Hurairah r.a berkata: "Sesungguhnya seseorang bertanya kepada Rasulullah S.A.W: Ya Rasulullah nasihatilah saya. Beliau bersabda: Jangan kamu marah. Dia menanyakan itu berulang-ulang kali. Maka baginda bersabda, Jangan engkau marah".

Seseorang yang berada dalam keadaan marah, maka emosinya turut terganggu, fikirannya pun turut bercelaru dan hilang pertimbangannya. Ketika itulah segala percakapannya dan perbuatannya mendahului segala apa yang difikirkan oleh akalnya yang waras. Bermakna, akalnya yang kurang waras berserta dengan tingkah lakunya pada ketika itu mendahului dirinya yang sebenar. Setelah perkara itu terjadi, pada waktu fikirannya tenang (berfikiran waras) dan muncul dirinya yang sebenar, maka pada masa itulah dia merasa sungguh menyesal atas kelakuannya yang melampau itu tadi.

Ibarat melepaskan lelah yang berpanjangan setelah kepenatan ber-'jogging' dengan tanpa memikirkan semua kata-kata yang dilontarkan terhadap individu yang dimarahinya itu tadi yang begitu menyakitkan.

Imam Ghazali pernah bertanyakan kepada anak-anak muridnya: "Apakah yang paling tajam sekali di dunia ini?" Anak-anak muridnya itu menjawab: "Pedang". Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa yang paling tajam sekali di dunia ini adalah lidah manusia. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya itu sendiri.

Benarlah sabda Nabi Muhammad S.A.W: "Amal yang paling dicintai Allah S.W.T adalah dengan menjaga lisan" (Hadis riwayat Baihaqi)


Maha Kuasa dan Maha Sempurna Allah S.W.T dalam menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan-Nya. Antara kekuasaan Allah dapat dilihat dalam penciptaan anggota badan manusia. Ciptaan Allah itu tidak sia-sia kerana Allah menciptakan manusia dengan dua telinga dan satu mulut supaya kita lebih banyak mendengar daripada berbicara.


Bagaimanakah Cara Kita Menahan Marah?


Petua menahan marah yang disyorkan dalam Islam


Rasulullah S.A.W bersabda: "Apabila salah seorang dari kamu marah, dan ketika itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.(Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah S.A.W juga bersabda: "Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api. Maka apabila kamu marah hendaklah kamu berwudhuk." (Hadis riwayat Abu Daud).

Apabila kita hendak marah, bersegeralah kita beristighfar dengan sebanyak mungkin yang kita mampu sehingga hilang perasaan marah itu tadi. Apabila kita diam seketika, bermakna kita sedang bersabar. Kemudian, fikirkan dengan akal yang waras (diri kita yang sebenar) mengenai perkara tadi dan lontarkan balik satu persoalan terhadap diri kita sendiri yang berbunyi, "Adakah berbaloinya untuk aku lontarkan kemarahan terhadap perkara yang aku sendiri tidak tahu dan belum cukup yakin secara keseluruhannya (secara seratus peratus)?"

Jika terlanjur melepaskan kemarahan kita pada waktu itu, maka bersegeralah dengan beristighfar. Segera beringat bahawa syaitan pun turut sama suka dan menari-nari apabila seseorang anak Adam melepaskan kemarahannya pada ketika itu. Mohonlah keampunan terhadap Allah S.W.T dan juga berdoalah agar diberikan kekuatan untuk menghadapi situasi genting tersebut walaupun perit untuk dihadapinya itu tadi.


Menahan marah adalah salah satu jalan untuk mendapatkan ketenangan hati dan jiwa



Sabda Rasulullah S.A.W: "Mahukah kamu aku beritahukan perkara yang dengannya Allah memuliakan seseorang hamba-Nya dan mengangkat darjat ketinggian seseorang itu? Mereka menjawab, 'Bahkan yaa Rasulullah'. Maka Rasulullah S.A.W pun bersabda, 'Berlemah-lembutlah terhadap orang yang mengetahui tentang kamu, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, berikanlah kepada orang yang tidak pernah memberi kepada kamu dan hubungkanlah silaturrahim terhadap orang yang memutuskan silaturrahim dengan kamu.'" (Hadis riwayat At-Tabrani dan Al-Bazzar).

Seseorang yang memaafkan kesalahan orang lain, sebenarnya dia sedang membantu dirinya untuk memperbaiki tingkah lakunya agar menjadi lebih baik. Dengan baiknya tingkah lakunya itu tadi, maka amalan soleh yang akan dia kerjakan nanti akan menjadi tenang dan lebih khusyuk kerana Allah S.W.T. Dua ganjaran pahala yang berganda akan dia dapat pada waktu itu iaitu dengan menahan marah (bertindak secara positif) dan mengerjakan amalan soleh yang ikhlas kerana Allah. Malah dia turut akan dihormati dan disayangi oleh orang yang berada disekelilingnya itu tadi. 

Ingatlah bahawa sifat dendam dan marah itu jika dibiarkan bersarang di dalam dirinya itu nanti, pasti akan menghitamkan hatinya itu. Kalau sekiranya berlaku, maka bersihkanlah sifat marah itu dengan kata-kata maaf dengan sebab telah terkasar, kemudian diam untuk meredakan keadaan dan memohon ampun kepada Allah S.W.T kerana terikut telunjuk syaitanBuangkanlah sifat pemarah dan dendam ini dalam diri kita jauh-jauh agar hidup kita sentiasa tenang dalam rahmat Allah S.W.T.

Marah itu nafsu, menahan marah bermakna kita menahan nafsu maka raihlah ganjaran dengan menahan marah


Sesungguhnya orang yang dapat menahan marahnya itu adalah individu yang hebat kerana dia dapat menahan nafsu amarahnya daripada berterusan terjerumus ke dalam lembah kesesatan sementara disebabkan kurangnya waras dalam situasi sedemikian itu tadi dan akan dikurniakan ganjaran yang lumayan daripada Allah S.W.T.

Rasulullah S.A.W bersabda, "Bukanlah orang yang kuat itu yang dapat membanting lawannya, kekuatan seseorang itu bukan diukur dengan kekuatan tetapi yang disebut orang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya pada waktu ia marah.(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah S.A.W juga bersabda, "Barangsiapa yang menahan marah, padahal ia mampu untuk melampiaskannya, maka Allah akan menyerunya di hadapan seluruh makhluk pada hari kiamat, hingga ia dipersilakan oleh Allah Ta'ala untuk memilih bidadari yang ia sukai.(Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi).

Kita akan menjadi manusia yang cukup kuat apabila kita dapat memaafkan kesalahan orang lain dengan kemampuan diri sendiri yang sebenar-benarnya. Belajarlah untuk mendidik diri sendiri agar menjadi diri yang sebenar-benarnya (jati diri) untuk mengawal kemarahan tersebut.

Jangan wujudkan perasaan dendam dalam diri kita terhadap orang lain sekalipun walau sedikit. Dengan memaafkan kesalahan dan kesilapan orang lain yang kita tidak tahu sejauh manakah kawalan diri kita untuk menghukum kesalahan orang tersebut bererti kita benar-benar cukup kuat untuk memahami fakta bahawa manusia sememangnya tidak sempurna dan bila-bila masa sahaja ia boleh melakukan kesalahan secara ia tidak sedar.

Sudahkah kita bersedia untuk memperbaiki diri kita sendiri agar menjadi diri kita yang sebenar-benarnya? Jom jadilah manusia yang pemaaf. Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger