Searching...

Mengapa Allah Ciptakan Syurga Dan Neraka? Mengapa Perlu Ada Neraka?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Mengapa Allah ciptakan Syurga dan Neraka? Jika Allah Maha Adil, mengapa Dia menciptakan syurga dan neraka? Mengapa Allah tidak menciptakan syurga sahaja untuk semua orang yang ada dalam dunia ini masuk ke dalam syurga-Nya? Mengapa perlu ada neraka? Biarlah semua manusia menikmati syurga-Nya yang penuh dengan kenikmatan kerana sifat Maha Pemurah Allah Ta'ala itu sendiri. Tapi Allah tidak berbuat demikian kerana apa? Kerana terdapat sifat-sifat Allah yang lain mengikut senarai 99 nama Allah iaitu Asma'ul Husna yang mesti kita ketahui maksud nama-nama Allah tersebut agar iman kita sentiasa terpelihara dalam naungan Allah S.W.T.

Mengapa Allah Ciptakan Syurga Dan Neraka?


Allah menjadikan syurga dan neraka adalah bertujuan sebagai ujian untuk manusia melayakkan dirinya sama ada menjadi status hamba-hamba-Nya atau menjadi ingkar terhadap-Nya. Syurga dan neraka adalah satu tempat bagi memilih sesiapa yang terbaik dan layak menjadi penghuninya kerana terdapat tingkat-tingkatnya. Allah memberi peluang yang sama kepada semua orang iaitu dengan menganugerahkan kita akal untuk berfikir dan bebas memilih jalan kebaikan atau kesesatan. Sesiapa yang memilih kebaikan, maka dia akan mendapatkan syurga dan bagi mereka yang memilih kejahatan pula, maka dia akan mendapatkan neraka.


Tujuan Allah Menciptakan Manusia Adalah Semata-mata Mahu Menghukum? Adakah Tuhan Benar-benar Sadis? 


Mengapa Allah menciptakan manusia dan mewujudkan syurga dan neraka kerana pada akhirnya Dia sudah Tahu kerana Dia Maha Mengetahui apa nasib setiap manusia yang hidup di alam dunia ini sama ada kesudahannya Islam ataupun kafir untuk menentukan layaknya seseorang manusia itu masuk ke dalam syurga ataupun neraka? Kenapa begitu sadisnya Tuhan dengan bersikap demikian? Maka dengan begitu, video yang hendak diketengahkan adalah merupakan jawapan bagi persoalan ini:


Contoh Dan Andaian Yang Hendak Diketengahkan


Institut Pengajian Tinggi mengadakan peperiksaan akhir sem (final exam) setiap 4-5 bulan sekali. Mengapa wujudnya peperiksaan? Pensyarah sudah mengenali pelajar yang rajin, malas, cerdik dan bodoh melalui pengumpulan pemarkahan (carry marks) sepanjang pengajarannya di dalam kelas. Tujuan peperiksaan dijalankan adalah bagi melihat siapa di antara pelajar yang terbaik yang dapat menguruskan masanya dengan baik untuk belajar secara keseluruhannya bagi setiap modul-modul subjek dengan jayanya serta belajar untuk hubungkaitkan dalam kehidupan sebenar jika berada dalam situasi-situasi tertentu. 

Pelajar yang rajin walaupun dia dalam kategori bodoh pada sebelumnya, akan mendapat keputusan yang terbaik kerana dia telah belajar erti kejujuran dan serius dalam pembelajaran. Manakala pelajar yang malas walaupun cerdik pada sebelumnya, akan mendapat keputusan yang setimpal dengannya iaitu sama ada biasa-biasa ataupun merosot berbanding dengan prestasi yang sebelumnya kerana dia cerdik pada zaman yang lepas, kali ini dia pula yang jadi bodoh.

Pelajar yang cemerlang mendapat anugerah dekan dari Institusi Pengajian Tinggi masing-masing. Justeru, tanpa ada peperiksaan maka tidak dapat diketahui siapakah pelajar yang terbaik. Oleh sebab itu, Allah S.W.T menciptakan syurga dan neraka supaya manusia beramal untuk mendapatkan status terbaik masing-masing.


Selain itu, Allah menjadikan manusia bukan seperti robot yang hanya mengikut arahan semata-mata. Allah menciptakan manusia dilengkapi dengan akal supaya manusia dapat memilih sama ada cara hidupnya itu baik atau sebaliknya. Oleh itu, manusia mampu membuat pilihan walaupun pelbagai dugaan melanda, namun tetap sahaja mempunyai kebebasan untuk memilih sama ada sesuatu yang dipilihnya itu baik atau buruk.

Syaitan hanya diberi peluang untuk menghasut manusia bukan bermakna menyuruh manusia melakukan apa yang disuruhnya itu, sedangkan keputusan sama ada hendak atau tidak mahu buat itu ditentukan 100% oleh manusia itu sendiri. Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 22 seperti berikut:

وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الأَمْرُ إِنَّ اللّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدتُّكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُم مِّن سُلْطَانٍ إِلاَّ أَن دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي فَلاَ تَلُومُونِي وَلُومُواْ أَنفُسَكُم مَّا أَنَاْ بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنتُمْ بِمُصْرِخِيَّ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِن قَبْلُ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya". Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.


Setiap Tindakan Manusia Terletak Pada Manusia Itu Sendiri


Ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa keputusan bagi setiap tindakan manusia terletak pada manusia itu sendiri, bukannya syaitan. Syaitan hanya diberi peluang untuk menghasut sahaja, sedangkan keputusan itu dibuat di atas tangan manusia itu sendiri.

Allah S.W.T tidak pernah menzalimi menusia. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh manusia sama ada baik atau jahat akan mendapat balasan yang setimpal. Allah ada menyatakan dalam Al-Qur'an dalam surah An-Nisaa' ayat 40 seperti berikut:

إِنَّ اللّهَ لاَ يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْراً عَظِيماً

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi-Nya, pahala yang amat besar.

Ayat di atas menunjukkan betapa Allah Maha Adil terhadap manusia, dan setiap kebaikan atau keburukan akan dihisab di akhirat kelak. Wallahua'lam.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger