Searching...

Bolehkah Kita Tidak Berhukum Dengan Hukum Allah? Adakah Jatuh Kepada Kafir?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Bolehkah kita tidak berhukum dengan hukum Allah? Adakah jatuh kepada kafir? Adakah seseorang yang berhukum dengan hukum Allah itu semestinya hukum yang patut dilaksanakannya adalah hukum hudud? Ataupun banyak lagi hukum? Maka adakah relevan bagi kita untuk mengatakan kepada sesiapa sahaja yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka dia kafir? Para fuqaha' dan mufassirin membincangkan akan hal seperti ini dalam ayat seperti berikut dalam surah Al-Ma'idah ayat 44: 

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللّهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
Maksudnya: "Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir."

Disebabkan firman Allah S.W.T di atas disalah tafsirkan oleh segelintir golongan, maka berlanjutan golongan yang mengkafirkan kerana ayat tersebut. Penting untung kita memahami maksud yang tersirat dalam hukum ayat berkenaan.

Allah Menyuruh Si Suami Itu Berlaku Adil Terhadap Anak Dan Isterinya

Seorang suami kalau berhukum dengan cara hukum Allah pun termasuk dalam hukum antara suami terhadap anak dan isterinya. Seringkali kita melihat seorang suami itu tidak adil terhadap anak dan isterinya, sebagaimana Allah menyuruh si suami itu berlaku adil terhadap anak dan isterinya. Kenalah adil kerana memang tanggungjawab suami itu dalam urusan rumahtangganya kerana itu adalah apa yang Allah suruh agar si suami itu dapat berlaku adil terhadap anak dan isterinya dengan memberikan kepada mereka berdua nafkah dan tempat tinggal. 

Selain itu, mengenai harta pusaka pula iaitu sekiranya seseorang itu mempunyai abang dan boleh bagi lebih banyak bahagian hartanya kepada abangnya tetapi bahagian adiknya pula, sudahlah dia itu tidak suka kepada adiknya, namun dia tetap tidak akan bagi sesen pun kepada adiknya. Harta pusaka Allah suruh bagi dengan cara hukum-Nya, tetapi dia tidak bagi dengan cara-Nya sebaliknya dia bagi dengan cara pilih kasih. Seseorang itu mempunyai dua isteri dan Allah menyuruh dia berlaku adil terhadap kedua-duanya. Tetapi dia tetap berlaku zalim, maka dia itu boleh menjadi kafir atau tidak?

Kufur Yang Tidak Menjadi Kafir

Ibnu Abbas telah menafsirkan ayat tersebut, maka golongan mufassirin telah banyak meriwayatkan ayat tersebut. Keadaan pertama, Ibnu Abbas menyebut, "Kufrun Dunya Kufrin" iaitu "kufur yang tidak menjadi kafir". Maksudnya macam perangai orang kafir kerana bukan semua kufur boleh keluar agama, cuma ia sekadar nama sahaja. Sabda Nabi S.A.W, "Maki orang mukmin pasik dan perangi mereka menjadi kafir". Tetapi berperang sesama orang Islam seperti antara Sayidina Ali dan Talhah, adakah mereka menjadi kafir? Tidak sama sekali! Ia melihat kepada keadaan maka bukan semestinya terus boleh menghukumkan seseorang itu kafir.

Menghukumkan seseorang itu fasiq dengan merujuk dalam ayat Al-Qur'an yang disebutkan tadi, bagi sebahagian mufassirin menafsirkannya dengan berkata, "Jika dia berhukum selain daripada hukum Allah". Tetapi mereka tidak kata, "Hukum selain daripada hukum Allah itu, hukum itu jauh lebih baik daripada hukum Allah". Kalau ada yang berkata sepertimana yang mufassirin tidak kata itu maka hukum bagi yang berkata itu adalah fasiq dan mungkin zalim. Tetapi bagi mereka yang berhukum dengan selain daripada hukum Allah, kemudian mereka berkata, "Hukum Allah tidak boleh pakai kerana hukum Allah tidak bagus". Maka mereka boleh dinatijahkan sebagai kekufuran. Tapi kita kena faham, apa itu hukum Allah?

Rukhsah Bagi Orang Yang Tidak Berkemampuan

Kita sangka satu sahaja hukum Allah, padahal mungkin ada dua hukum Allah. Seperti contoh sembahyang secara berdiri, itu adalah hukum Allah dan Rasul atau sememangnya bukan? Sudah tentu semestinya hukum Allah dan Rasul. Bagaimana pula kalau sembahyang secara duduk? Semestinya salah kerana menyanggahi hukum Allah dan Rasul yang sememangnya Allah fardhukan kepada umat Islam untuk bersembahyang secara berdiri bagi mereka yang berkemampuan. 

Cuma bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk berdiri seperti sakit kerana patah kaki yang mana begitu sukar hendak berdiri maka dibolehkan untuk bersembahyang secara duduk, maka itu adalah hukum Allah iaitu rukhsah bagi orang yang tidak berkemampuan untuk berdiri dalam menunaikan sembahyang. Puasa di bulan Ramadhan adalah hukum Allah. Sekiranya seseorang yang mampu berpuasa tetapi tidak berpuasa, maka dia menyanggahi hukum Allah. Kalau sekiranya dia bermusafir dan dia tidak berpuasa, maka Allah benarkan dia untuk tidak berpuasa.

Mereka Mencuri Kerana Untuk Meneruskan Hidup

Potong tangan adalah hukum Allah bagi seseorang yang mencuri kerana ia merupakan hukum hudud. Sekiranya tidak potong tangan bagi mereka yang mencuri kerana tidak cukup syarat maka dia tidak dihukumkan dengan hukuman potong tangan. Maka itu merupakan hukum Allah kerana ia tidak cukup syarat untuk potong tangan. Tidak cukup syarat di sini bermaksud, sewaktu keadaan negara sedang bergolak dalam keadaan tidak aman iaitu dilanda peperangan. 

Tidak dibolehkan menghukum orang yang mencuri dengan potong tangan kerana negara pada masa itu dalam keadaan darurat. Rakyat masing-masing mahu menyelamatkan dirinya dan mereka pula pada masa itu mempunyai keperluan harian yang tidak cukup. Mereka mencuri kerana untuk meneruskan hidup iaitu dengan mencukupi keperluan hariannya. Maka hukum Allah itu jangan berkira cuma potong tangan sahaja. Tidak potong tangan pun adalah hukum Allah juga!

Kewangannya Cuma Sekadar Cukup-cukup Makan Sahaja

Selain itu, tidak pergi haji kerana hendak menyara keluarga dengan memberi makan kepada anak dan isteri pun adalah hukum Allah. Jadi, tidak wajib ke atas golongan yang kurang berkemampuan dari segi kewangannya iaitu golongan sederhana pendapatannya, tetapi tidak mampu dari segi kewangannya untuk menunaikan haji. 

Kewangannya cuma sekadar cukup-cukup makan sahaja dan hanyalah mampu untuk menyara keluarganya sahaja. Jadi, menunaikan haji bagi diri mereka sebegitu adalah tidak wajib! Zakat adalah hukum Allah. Tidak keluarkan zakat disebabkan tidak cukup syarat untuk keluarkan zakat kerana pendapatannya cuma sekadar cukup-cukup makan untuk perbelanjaan hariannya pun turut tertakluk dalam hukum Allah S.W.T.

Tidak Ada Hukum Melainkan Hukum Allah

Maka kena faham maksud hukum Allah sebelum kita hendak merumuskan sama ada orang itu kafir, fasiq atau zalim. Maka seseorang itu kena faham apa itu hukum Allah kerana kita telah melalui satu zaman yang mana ada satu puak yang bernama khawarij. Puak khawarij memerangi Sayidina Ali Bin Abi Talib dan Mu'awiyah Bin Abi Sufyan. Puak Khawarij menyatakan kedua-dua pihak tersebut kafir dan juga mengkafirkan Sayidina Othman Bin 'Affan. Syiar yang diangkat oleh Khawarij pada ketika itu yang berbunyi, "Tidak ada hukum melainkan hukum Allah" hanyalah sekadar apa yang puak Khawarij itu faham secara membuta-tuli. 

Ramai yang mati disebabkan oleh puak Khawarij yang membunuh orang yang tidak sependapat dengan mereka. Maka Sayidina Ali memerangi Khawarij habis-habisan. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi S.A.W bersabda, "Yang memerangi Khawarij adalah puak yang paling dekat dengan kebenaran". Ramai ulama' berpendapat bahawa puak Sayidina Ali yang memerangi Khawarij, tetapi bukan puak Mu'awiyah yang memerangi puak Khawarij tersebut.

Puak ISIS Menyangka Hudud Sahaja Adalah Hukum Allah

Kita tengok zaman sekarang ada pula puak DAESH (yang paling baru), ISIL, IS dan ISIS (yang paling lama). Kita tidak tahu yang mana puak-puak semikian adalah Amerika punya drama atau sebaliknya. Tetapi yang pentingnya, mereka pun sama juga kerana tidak berhukum dengan hukum Allah. Mereka buat hukum Allah 'sendiri', iaitu orang dalam negeri sedang dalam situasi peperangan dan bekalan makanan pula tiada pada ketika itu. Puak-puak DAESH, ISIL, IS dan ISIS telah menjumpai orang yang mencuri dalam peperangan tersebut, lalu diambil tangan orang yang mencuri itu dan diletakkan di atas meja kemudian tangan tersebut dipotong bagi putus begitu sahaja. Satu dunia melihat akan perbuatannya. 

Puak ISIS menyangka hudud sahaja adalah hukum Allah. Sedangkan Nabi S.A.W bersabda, "Jangan kamu potong tangan pencuri ketika di dalam peperangan". Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi. Tidak boleh potong tangan semasa dalam peperangan kerana bimbang nanti orang yang kena potong itu akan lari meninggalkan agamanya. Kalau kita buat undang-undang Islam sehinggakan orang bersepakat untuk lari meninggalkan agamanya kerana salah faham konteksnya, maka kita dilarang sama sekali melakukan sedemikian sebagaimana Nabi S.A.W melarang dalam hadis tadi.

Wallahua'lam. Sumber daripada ceramah yang diyakini (sila klik).

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger