Searching...

Cara Menuntut Ilmu Yang Baik Dalam Islam Tak Semua Orang Boleh Ikut

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Menuntut ilmu yang baik dalam Islam adalah merupakan suatu kewajipan. Cuma ada beberapa perkara. Seperti yang kita sedia maklum, ilmu ini ramai orang menuntut, tetapi tidak semua orang mampu menuntut sesuatu ilmu. Kadang-kadang ada orang yang datang menuntut ilmu, dengar daripada guru, dan malaikat pula meliputi dalam majlis ilmu. Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusannya untuk menuntut ilmu. Jadi, kita pun berdoa kepada Allah S.W.T supaya kita duduk dalam suatu majlis ilmu tersebut, Allah S.W.T turunkan rahmat buat diri kita. Mungkin kita tidak dapat banyak input mengenai sesuatu ilmu itu, namun begitu tidak mengapa kerana kita boleh duduk dalam rahmat Allah S.W.T. Doa kita mustajab kerana pada ketika itu, ada malaikat yang turut bersama kita dalam majlis ilmu. Mudah-mudahan insya-Allah. 

Cara Menuntut Ilmu Yang Baik Dengan Menerima Input?

Ilmu ini, ramai orang pergi menuntut ilmu di suatu tempat. Tetapi tidak sama apabila mereka membawa balik sesuatu ilmu tersebut. Kalau tidak, orang yang menuntut ilmu di Mesir, di Jordan dan di tempat lain apabila balik ke Malaysia, adakah sama cara pemikiran mereka? Semestinya tidak sama. Tahap pemikiran setiap orang biasa pun sudah berbeza-beza. Inikan pula cara pemikiran orang yang menuntut ilmu dari luar negara. Walaupun sudah mereka melalui cara mereka menuntut ilmu yang baik dengan menerima input yang berbagai-bagai, maka cara mereka menerima input sesuatu ilmu tersebut dan juga cara mereka berfikir pun turut mengalami kepelbagaian variasi. Kalau input daripada guru yang sama, maka ilmu itu masih tetap sama. Cuma bawaan ilmu mereka itu dengan kepelbagaian cara agar mereka iaitu si penerima input dapat mengaitkan ilmu-ilmu yang dipelajarinya itu menjadi sebuah rangkaian. Mungkin si penerima input tersebut boleh menghuraikan lebih banyak input daripada guru-guru mereka yang mereka tuntut iaitu dengan cara mengembangkan lagi fahaman mereka sama ada mereka menuntut ilmu-ilmu yang berkaitan tersebut di tempat lain pula ataupun dengan memperbanyakkan membaca bahan-bahan bacaan ilmiah daripada luar.

Cara Menuntut Ilmu Dengan Betul

Allah S.W.T memberikan rezeki kepada sebahagian orang, dan kadang-kadang Dia tidak memberikan rezeki kepada sebahagian orang yang lain. Begitu banyak cara kita menuntut ilmu dengan betul. Antaranya, di samping kita kena pergi menuntut ilmu, kita tidak boleh asyik menggenggam kismis lalu memakannya supaya boleh menjadi cerdik ataupun meminum air jampi supaya boleh menjadi pandai tanpa usaha ke arah menuntut ilmu. Itu semua yang menyebabkan ramai orang membuat dakwaan yang bermacam-macam kononnya makan dan minum sekian-sekian boleh menyebabkan seseorang itu cemerlang dalam peperiksaannya. Itu sama sekali tidak mungkin berlaku!

Para sahabat RadhiAllahuanhum ajama'in, Tabi' Tabi'in dan para ulama' didapati mengembara ke serata dunia semata-mata mereka ingin menuntut ilmu. Tetapi, cara kita yang terbaik untuk mendapatkan ilmu adalah melalui doa. Allah S.W.T berfirman dalam surah Thaahaa ayat 114:

 وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْماً
Maksudnya: "Wahai Tuhan, tambahkanlah untukku ilmu".

Bagaimana Cara Agar Kita Tidak Mudah Lupa?

Apabila kita hendak keluar pergi menuntut ilmu di pusat-pusat pengajian, atau di sekolah dan madrasah atau seumpamanya maka kita meminta kepada Allah S.W.T untuk tambahkan ilmu. Ramai orang yang membaca kitab, cuma sekadar membaca. Selepas itu sudah tidak ingat balik. Tetapi bukan semua orang yang mengalami perkara sebegitu. Ada orang bertanya tentang bagaimana cara agar kita tidak mudah lupa? Caranya kita berdoa kepada Allah S.W.T. Tidak mudah lupa dengan cara mudah adalah kita tidak usah baca bahan bacaan apa-apa pun. Maka tidak ada gunalah kalau kita mudah lupa dengan begitu sahaja. Ada orang kata siapa yang baca banyak akan lupa banyak, siapa yang baca sedikit akan lupa sedikit, dan siapa tidak baca langsung tidak akan lupa langsung. Tidak perlu serius, itu cuma pepatah rekaan sahaja.

Semestinya ada cara yang betul-betul berkesan untuk kita sentiasa ingat apa yang kita baca itu. Caranya kita kena faham seratus peratus. Kalau kita faham sedikit-sedikit sahaja, jawabnya memang kita akan lupa balik. Kalau kita faham seratus peratus dalam suatu peringkat ilmu yang kita pelajari itu, maka kita rasa seolah-olahnya ilmu yang kita baca itu adalah hak milik kita selama-lamanya. Dari situ kita mempunyai rasa suka, sayang dan cinta terhadap suatu ilmu tersebut kerana dengan adanya ilmu itu telah memberikan kita suatu idea yang lain macam rasanya seperti ilham untuk mengembangkannya ke next level iaitu peringkat seterusnya kerana dengan adanya ilmu tersebut kita akan rasa betul-betul faham dan boleh ingat sampai bila-bila. Maka dengan itu, kita tidak akan mudah lupa terhadap suatu ilmu yang kita baca ataupun kita pelajari.


Bagaimana Cara Anak Dengar Kata Ibu Bapa?

Oleh yang demikian, Nabi S.A.W telah mengajar mengenai doa kepada Ibnu Abbas supaya memperoleh ilmu. Selepas itu, kita pun hendaklah berdoa untuk anak-anak kita, kemudian pegang mereka dengan berkata, "Allahumma Faqihhu Fiddeen. Allahumma 'Alimul Kitab". Maksudnya, "Ya Allah 'alimkan dia dengan kitab dan faqihkan dia dengan agama-Mu". Maka kita pun berdoa. Kadang-kadang kita ini jenuh tunggu hendak mencari tok-tok alim agama minta doakan untuk anak-anak kita, padahal kita antaranya adalah ibu bapa kepada anak-anak kita tersebut. Jadi, doa kita secara umumnya bagus untuk anak-anak kita dan lebih cenderung untuk dimustajabkan.

Selain itu, adakalanya segelintir daripada ibu bapa iaitu sudahlah jenis tidak suka berdoa untuk anak-anaknya dengan doa yang baik-baik. Selepas itu jenis suka menyebut perkataan yang tidak elok kepada anak-anaknya seperti berikut, "Kamu ni nak jadi apa entah esok besar nanti?" Tak habis-habis yang itu sahaja wirid ibu bapa tersebut. Ada yang lagi teruk dengan mencarut dan memaki hamun anak-anak mereka sendiri dengan kata-kata yang kesat dilontarkan hari-hari sudah menjadi darah daging amalan harian mereka mewirid untuk anak-anaknya dengan kata-kata yang tidak elok. Malaikat yang ada di sekelilingnya pun turut meng-aminkan wirid ibu bapa berkenaan. Memang tidak patut. Tidak kasihankah ibu bapa terhadap anak-anak tersebut? Jadi, kita hendaklah mengucapkan kata-kata yang elok-elok seolah-olah ianya doa untuk menegur anak-anak dengan kata-kata yang elok-elok dan sedap untuk didengar agar anak-anak kita begitu mudah hendak mendengar kata dan menuruti perintah ibu bapa tersebut.


Belajar Ilmu Agama Tidak Semestinya Masuk Program Pencetus Ummah

Kalau kita belajar ilmu agama, maka kita akan faham dan kita akan nampak maksud agama di situ. Sudah tentu itu merupakan salah satu tanda Allah S.W.T mahukan daripada kita suatu kebaikan. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim seperti berikut, "Man yuridillahu bihi khairan yufaqqihhu fiddin". Bermaksud, "Siapa yang Allah kehendaki daripada dia kebaikan, maka Allah bagi dia faqih dalam agama". Jadi berdoalah kepada Allah dengan doa seperti berikut, "Allahumma faqihhu fiddeen" yang bermaksud, "Ya Allah, faqihkanlah aku dalam agama-Mu". Oleh disebabkan kita tidak faham akan ilmu agama atau tidak faham dalam sesuatu ilmu, bahkan orang mengajar kita sebanyak mana sekalipun, jikalau kita tetap tidak boleh nak faham berkenaan dengan ilmu agama. Maka itu bermakna bukan kerana Allah benci terhadap kita, tetapi ada perkara yang Allah tidak berapa mahukan kebaikan daripada kita. Jangan berputus asa untuk sentiasa berdoa kepada-Nya dan memeriksa diri kita.

Kadang-kala kita lihat orang itu bagi ceramah memang pandai. Tetapi, bukan tanda bahawa dia cerdik dalam beragama. Apabila kita dengar dia berceramah dan kita dapat mengesan bahawa terdapat isi kandungan ceramahnya yang tidak berapa betul. Jadi, kita kenalah faqih dalam beragama mudah-mudahan Allah S.W.T beri ilmu kepada kita adalah suatu ilmu yang diberkati oleh-Nya dan kita boleh mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Tidak semestinya masuk program Pencetus Ummah untuk menjadi ajen dakwah. Bahkan tinggal di kampung pun tidak mengapa selagi boleh berdakwah kepada semua orang kampung dalam lapisan masyarakat. Yang pentingnya kita hendaklah faqih, sentiasa belajar, dan minta kepada Allah S.W.T melalui doa.


Menuntut Ilmu Tanpa Guru, Adakah Syaitan Gurunya?

Sesetengah orang menyebarkan fahaman salah kepada orang ramai dengan mengatakan bahawa sesiapa yang belajar kitab yakni menuntut ilmu tanpa guru, maka syaitanlah gurunya. Jadi, janganlah sesekali kita terikut-ikut dengan fahaman yang merapu ini kerana fahaman tersebut boleh membuatkan orang yang menuntut ilmu itu, menjadi patah semangat. Ya betul, sememangnya merupakan cara untuk bagi orang patah semangat! Oleh sebab itu, fahaman tersebut merupakan jahil dan mahu menjahilkan orang lain yang belum menuntut ilmu lagi.

Jadi, kita tidak perlu mempedulikan dengan fahaman sebegitu kerana Allah menyuruh kita semua membaca kitab. Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-'Alaq ayat pertama
:

 اقْرَأْ
Maksudnya: "Bacalah".

Cuma apabila ada sesuatu perkara yang kita tidak tahu, maka kita hendaklah bertanya kepada ahli zikr iaitu orang yang berpengetahuan.

Ramai Orang Menuntut Ilmu Bukan Kerana Allah

Nabi S.A.W mengingatkan kita mengenai suatu perkara yang mustahak. Oleh disebabkan kita mahu mengaji dan menuntut ilmu, maka kita hendaklah pergi menuntut ilmu sampai Allah S.W.T redha akan kita dan sememangnya ia merupakan jalan menuju ke syurga. Namun begitu, sememangnya tidak mudah kerana begitu ramai orang menuntut ilmu tetapi bukan kerana Allah S.W.T. Adakah semua orang yang mengaji ilmu agama boleh masuk ke syurga? Tidak sama sekali kerana semakin tinggi ilmu seseorang itu, semakin besar godaan syaitan terhadap dirinya. Godaan apakah itu? Iaitu godaan yang merasakan dirinya cukup segala ilmu pengetahuan yang dipelajari olehnya itu. Jadi, kita hendaklah sentiasa meminta perlindungan kepada Allah S.W.T daripada godaan syaitan laknatullah.

Apa Tujuan Mempelajari Ilmu Agama?

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam At-Tirmizi, Nabi S.A.W menyebut bahawasanya, "Siapa yang menuntut ilmu serupa dengan ilmu yang sepatutnya dipelajari untuk mencari redha Allah, tetapi dia tidak mengaji ilmu tersebut melainkan dia mahukan habuan dunia untuk dia berdebat dengan ulama' ataupun supaya orang pandang akan kedudukannya, maka Allah memasukkan dia ke dalam neraka". Ilmu yang dinyatakan di atas adalah ilmu-ilmu agama seperti ilmu feqah, ilmu hadis, ilmu hukum-hakam, ilmu Al-Qur'an, ilmu tauhid, ilmu tafsir, dan seumpama denganya. Apa tujuan mempelajari ilmu agama? Tujuan mempelajari ilmu-ilmu agama tersebut adalah untuk mencari keredhaan Allah S.W.T. Jaga-jaga soal ini kerana ada orang yang berkepentingan diri sendiri dan dia pun mempelajari ilmu-ilmu tersebut untuk membuktikan diri dia pandai, 'alim dari segi luaran dan inginkan sesuatu jawatan yang sedap untuk didudukinya itu.

Ada sebahagian orang yang minat terhadap sunnah pun turut menyalahgunakan amalan Nabi S.A.W untuk menghalalkan perbuatannya berdebat dengan orang yang jahil agama. Contohnya, apabila seseorang itu baru sahaja mendapat ilmu agama yang sedikit, maka dia pun membuat keputusan untuk berdebat dengan orang yang jahil akan apa yang dipelajari olehnya itu untuk menunjukkan diri si pendebat itu adalah jauh lebih baik daripada orang jahil tersebut. Sepatutnya sesuatu ilmu yang baru sahaja dipelajarinya itu, hendaklah diamalkan untuk dirinya sendiri terlebih dahulu sehingga dirinya betul-betul mantap dalam penguasaan sesuatu ilmu tersebut, maka hendaklah dia menyebarkan kepada orang yang jahil dengan cara tarbiah.


Tujuan Ibu Bapa Hantar Anak-anak Belajar Ilmu Agama

Sebab itu ada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka belajar ilmu agama. Tetapi tidaklah majoriti daripada mereka yang berfikiran seperti berikut ini. Harap-haraplah jangan berfikir seperti ini iaitu belajar agama dengan tujuan untuk hidup senang, mahu menyertai program-program tv yang memerlukan ustaz dan ustazah selebriti, menjadi ustaz dan ustazah yang suka tukar kereta baru bersilih ganti dan ada yang paling teruk iaitu air mineral yang sepatutnya dijual dengan harga RM1 sebotol, apabila ustaz dan ustazah menjampi air mineral tersebut terus menjadikannya harga naik kepada RM10. Air mineral pun boleh jadi lebih mahal daripada harga minyak. Pasal harga minyak naik pun, kerajaan terpaksa juga hendak kawal harga minyak dalam pasaran di malaysia, itu pun masih tetap juga naik cuma sedikit demi sedikit supaya tidak banyak rugi walau hakikatnya harga minyak di pasaran dunia telah jatuh.

Dakwaan Pelik Dan Jelik Berkenaan Dengan Mimpi

Selain itu, ada yang membuat dakwaan pelik dan jelik dalam laman sosial iaitu bermimpi bertemu dengan Nabi dan seumpamanya yang konon-konon terbaik buat dirinya. Padahal orang-orang yang terdahulu sangatlah risau akan halnya sekiranya mereka ada termimpi yang pelik-pelik dan begitu takut hendak memberitahukan kepada orang ramai atas alasan faktor keselamatan dirinya itu. Apa tujuan mereka yang suka membuat dakwaan pelik-pelik tersebut? Supaya orang ramai beri perhatian lebih terhadap dirinya? Ini memang bahaya. Semua rahsia berkenaan dengan diri kita hendaklah kita perlu jaga bahkan aib diri kita sendiri hendaklah kita sembunyikan agar di akhirat kelak, Allah S.W.T menyembunyikan aib kita. Semua rahsia diri kita sangat sukar untuk terlepas. Bagaimana hebatnya sesebuah rahsia itu, adalah sangat sukar untuk dilepaskan.

Bagaimana Hendak Ikhlaskan Hati Untuk Mempelajari Ilmu Agama?

Al-Imamu Zahabi Rahimahullahu Ta'ala telah menyebut bahawasanya, dahulu semasa beliau baru sahaja hendak belajar menuntut ilmu, beliau tidak berapa ikhlas. Terpaksa beliau melawan dirinya sendiri dan akhirnya beliau ikhlas untuk belajar ilmu agama. Maka dengan itu, ianya merupakan salah satu cara bagaimana kita hendak ikhlaskan hati mempelajari ilmu agama. Sebab itu, Muhammad Bin Munqadir ada menyebut seperti berikut, "Aku melawan nafsuku sendiri selama 40 tahun sehingga aku tenang dan tunduk". Jadi, semua di antara kita ini bahkan sesiapa sahaja selagi kita hidup di atas muka bumi ini, kita hendaklah melawan nafsu diri kita sendiri. Orang lain bukannya tahu pasal diri kita bahkan si isteri pun tidak tahu akan hal suaminya, apalagi anak-anak lagilah tidak pernah tahu akan hal bapanya itu. Kita yang sebenarnya tahu apa yang ada dalam diri kita sendiri. Mungkin ada orang iaitu kawan rapat kita telah melihat dan memuji betapa ikhlasnya tok syeikh dia itu, tetapi hanya Allah S.W.T sahaja Yang Maha Tahu sejauh mana keikhlasan tok syeikhnya itu.

Ada jenis ceramah yang boleh kita pelajari tentang bagaimana hendak menyampaikan ceramah agar orang ramai yang mendengarkan ceramah tersebut akan turut menangis. Tidak salah lagi, itu merupakan market untuk mengumpulkan pengikut setia di laman sosial, maka sesiapa yang mempunyai ramai pengikutnya maka semakin lebat wang yang boleh diperolehinya itu. Kita tidak perlulah memuji sesiapa pun secara berlebih-lebihan kerana Allah S.W.T Maha Mengetahui akan keikhlasan seseorang itu dalam menyampaikan dakwah di dalam ceramahnya itu.

Wallahua'lam. Sebahagian besar sumber berasal dari sini (sila klik). Selebihnya adalah olahan diri sendiri yang serba kekurangan dengan penuh berhati-hati.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger