Searching...

Di Mana Allah Berada? Bagaimana Kita Hendak Tentukan?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Di mana Allah berada? Bagaimana kita hendak tentukan? Kalau kita hendak menyatakan Allah berada di mana-mana, sudah tentu bukan zat-Nya. Tetapi hanyalah ilmu Allah itu sendiri yang berada di mana-mana. Allah S.W.T bersama dengan kita di mana sahaja kita berada, maka itu merupakan ilmu Allah dengan merujuk firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Hadiid ayat 4:

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ
Maksudnya: "Dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada".

Maka kita tidak boleh menyatakan bahawa Allah ada di mana-mana. Kita masuk ke dalam tandas, takkan kita hendak berkata sebegitu? Memang patut tidak! Begitu juga dengan tempat-tempat kecil seperti dalam kocek atau seumpamanya. Di mana-mana bermaksud kita nyatakan sama ada tempat baik ataupun tempat buruk. Untuk yang tempat buruk itu seperti di dalam tandas ataupun di kelab malam, memang na'uzubillahiminzalik. Maka tidak betul sekiranya kita menyatakan bahawa Allah S.W.T berada di mana-mana.

Allah S.W.T berfirman dalam surah Thaahaa ayat 5:

 الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى
Maksudnya: "Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas 'Arasy".

Di Mana Allah Berada? Tidak Akan Pernah Tahu

Dalam Al-Qur'an tersebut seperti ayat di atas ada menyebut berkenaan dengan Ar-Rahman yakni Allah beristiwa' di atas 'Arasy. Allah S.W.T cuma beritahu kepada kita melalui Al-Qur'an. Itu sahaja. Tetapi cara-Nya bagaimana untuk kita tahu di mana Allah berada? Sama sekali kita sebagai manusia yakni makhluk, tidak akan pernah tahu Allah itu berada di mana. Hanya Allah sahaja yang tahu dengan merujuk firman-Nya dalam surah Asy-Syuura ayat 11:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ
Maksudnya: "Tiada sesuatu (makhluk) pun yang sebanding dengan-Nya (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya)".

Allah S.W.T menciptakan langit dan bumi yang merupakan suatu tempat, tetapi Dia tidak pernah terikat dengan tempat tersebut kerana keberadaan-Nya tidak memerlukan tempat. Begitu juga Allah S.W.T menciptakan masa dan Dia juga tidak terikat dengan masa kerana keberadaan-Nya tidak memerlukan masa. Kita sering bertanya berkenaan dengan bila dan kenapa Allah S.W.T menurunkan Al-Qur'an? Allah menurunkan Al-Qur'an di dalam bulan Ramadhan. Bagaimana kita boleh menyatakan Allah S.W.T itu terikat dengan bulan Ramadhan? Padahal Dia tidak terikat pun dengan masa. Demikianlah Allah S.W.T hanya memberitahu kepada kita melalui Al-Qur'an berkenaan dengan bagaimana Dia telah mengikat sesuatu hal dan keadaan itu dengan masa yang dicipta oleh-Nya dengan segala kebesaran-Nya padahal Allah S.W.T itu sendiri tidak memerlukan masa tersebut.

Berfikir Mengenai Apa Yang Dinyatakan Dalam Al-Qur'an

Kita hanya boleh mengakui kebenaran bahawa Allah S.W.T tidak berada pada tempat yang dicipta oleh-Nya sama ada di bumi ataupun di langit. Cuma Allah S.W.T Maha Melihat akan apa yang sedang ataupun telah terjadi terhadap diri kita, dan Allah S.W.T jua Maha Mengetahui akan apa yang bakal terjadi terhadap diri kita. Kita sebagai manusia tidak terlepas daripada pemerhatian dan pengetahuan Allah S.W.T terhadap tingkah laku kita di bumi lagi. Bahkan di langit pun sentiasa dalam pengawasan-Nya. Hanya Allah S.W.T Maha Mengetahui "tempat-Nya" Dia berada kerana Dia Maha Besar daripada segala isi-isi alam semesta yang dicipta oleh-Nya.

Oleh sebab itu, kita tidak larat hendak berfikir sejauh mana mengenai Allah S.W.T melalui zat-Nya. Maka dengan itu, kita hendaklah berfikir mengenai apa yang dinyatakan dalam Al-Qur'an dan juga berfikir akan kebesaran Allah S.W.T. Allah S.W.T menciptakan Nabi Adam A.S sebelum terciptanya Nabi Nuh A.S. Padahal Allah S.W.T sedikit pun tidak terikat dengan sebelum dan selepas Nabi Allah tersebut diciptakan kerana Dialah yang mencipta masa. 

Allah S.W.T Menjadikan Manusia Yang Kembali Kepada Fitrah

Allah S.W.T menjadikan diri kita sebagai manusia yang kembali kepada fitrah. Kita berdoa kepada-Nya dengan mengangkat tangan dan juga menadah tangan tanda kita berharap kepada-Nya dengan penuh kesungguhan. Itulah fitrah diri kita sebagai manusia yang mengharapkan belas kasihan dan ihsan daripada Allah S.W.T dengan memuji-muji akan Allah S.W.T dengan pujian, "Yang Maha Tinggi" tatkala kita bersujud menyembah-Nya. Apabila manusia mencari Tuhan, maka manusia tersebut mendongak ke langit sambil menadah tangan memuji kebesaran Allah S.W.T dengan menyebut "Yang Maha Tinggi". 

Kita tidak akan pernah mengikat Tuhan dengan pemikiran manusia yang terbatas ini. Demikianlah Tuhan menceritakan kepada kita melalui Al-Qur'an dan kita cuma menyebut balik apa yang Allah S.W.T nyatakan dalam Al-Qur'an tersebut. Jika kita hendak tahu bagaimana tentang hal dan keadaan Allah S.W.T, semestinya kita tidak akan tahu kerana Dia tidak memerlukan tempat di mana Dia berada. Demikianlah Dia tidak memerlukan masa di mana Dia menjalankan aturan-Nya. Tempat dan masa tidak datang dahulu dan juga tidak berakhir kemudian kerana Allah S.W.T yang paling awal dan juga paling akhir berdasarkan firman-Nya dalam surah Al-Hadiid ayat 3:

هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ
Maksudnya: "Dialah Yang Awal dan Yang Akhir".

Kesimpulannya, apabila suatu orang mengisbatkan Allah di langit, bukan bermakna orang tersebut menempatkan Allah di langit. Tetapi, orang tersebut cuma menyebut sebagaimana dalam Al-Qur'an yang sudah dinyatakan. Orang itu cuma berkata sepertimana Tuhan telah kata! Jadi, tujuan kita belajar ilmu aqidah Tauhid adalah semata-mata kita hendak beriman kepada Allah S.W.T yakni pemilik tempat dan masa. Jangan sesekali kita menyamakan Allah dengan makhluk kerana Allah S.W.T tidak bersifat dengan sifat makhluk.

Wallahua'lam. Sumber.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger