Searching...

Hukum Tukar Mazhab Lain, Dibolehkan Atau Dilarang? Sejauh Mana Kita Tahu?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Talfiq adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada asasnya iaitu orang yang bertukar-tukar mazhab. Daripada satu mazhab seseorang itu amalkan, selepas itu tukar kepada mazhab lain. Hukum tukar mazhab lain, para ulama' telah membincang akan hal ini. Tujuan mereka membincangkan hal ini kerana ada beberapa sebab iaitu ada kemungkinan orang-orang tertentu mengamalkan satu pandangan agama atas dasar bukan kerana dalil tetapi kerana orang-orang tersebut merasakan mudah untuk mengamalkan sesuatu mazhab. Jikalau orang-orang tertentu itu merasakan begitu sukar untuk mengamalkan sesuatu mazhab, maka orang-orang tersebut layak berpindah kepada mazhab lain yang lebih mudah untuk diamalkan. Sebagai contoh, jika ada seseorang itu percaya terhadap satu amalan dalam mazhab yang diamalkan, tetapi satu amalan tersebut bercanggah terhadap apa yang dipercayainya dalam mazhab tersebut, maka seseorang itu boleh pergi kepada mazhab lain yang tiada percanggahan terhadap apa yang dipercayainya itu.

Bagaimana Kita Hendak Mengukur Kebenaran Melalui Talfiq?

Ini menimbulkan perbincangan dalam kalangan para fuqaha'. Yang pertama dalam amalan agama, kita disuruh untuk mengikut apa yang kita rasa yakin dan benar. Allah S.W.T menyuruh kita mengikut apa yang kita percaya terhadap sesuatu itu adalah benar berdasarkan kepada dalil Al-Qur'an dan Hadis. Kebenaran yang hakiki hanyalah Allah S.W.T sahaja yang tahu. Tetapi, bagaimana kita hendak mengukur kebenaran? Mestilah ada dalil iaitu Al-Qur'an dan As-Sunnah. Asalnya kita wajib mengikut Al-Qur'an dan As-Sunnah, tetapi kemungkinan kita tidak cukup untuk memahami maksud ayat dan latar ayat kerana bukan semua orang terpelajar. Dan kalau pun ada yang terpelajar, bukan semua orang boleh tercapai pada suatu tahap ilmu yang mana suatu tahap yang boleh seseorang itu membuat kesimpulan pada hukum khususnya dalam membabitkan hukum-hakam Fiqh dalam semua perkara. Maka Al-Qur'an ada menyebut dalam Surah Al-Nahl ayat 43:


فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: "Hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikr iaitu orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak tahu".

Oleh itu, berdasarkan ayat Al-Qur'an di atas sememangnya Talfiq merupakan asas untuk kita bertanya kepada orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi iaitu orang yang lebih arif terhadap sesuatu ilmu dan kefahaman. Apabila Nabi S.A.W tiada masa untuk menyampaikan ilmu, maka para sahabat RadiAllahuanhum ajma'in telah bertanya kepada mereka khususnya mereka yang dianggap mempunyai ilmu pengetahuan termasuklah Khulafa' Ar-Rasyidin dan beberapa orang yang bernama 'Abdullah' antaranya Abdullah Bin Abbas, Abdullah Bin Mas'ud dan Abdullah Bin Umar yang terkenal dengan ilmu pengetahuan mereka. 

Mereka Bertanya Pada Sesiapa Sahaja Yang Ada Ilmu

Anak-anak murid para sahabat iaitu Tabi' Tabi'in juga bertanya kepada para sahabat yang lain. Ketika mereka bertanya, mereka tidak pernah mengatakan bahawa sekiranya mereka telah bertanya kepada sahabat ini, maka mereka tidak dibolehkan untuk bertanya kepada sahabat yang lain sebagaimana yang telah terjadi dalam fahaman orang-orang zaman sekarang. Orang-orang sekarang yang dimaksudkan adalah orang yang fanatik terhadap mazhab yang mana golongan ini menyatakan bahawa, sekiranya ada seseorang yang telah bertanya kepada pengikut mazhab Hanafi, maka tidak dibolehkan untuk bertanya kepada pengikut mazhab lain pula.

Mereka yakni orang-orang terdahulu telah bertanya kepada Sayidina Umar, Sayidina Uthman, Sayidina Ali dan para sahabat yang lain dengan pertanyaan yang berbagai-bagai kerana pada asasnya, Allah S.W.T menyeru dengan ayat, "fas'alu ahla dzikri". Mereka bertanya pada sesiapa sahaja yang ada ilmu. Maka untuk bersilang kepada sesiapa sahaja yang kita patut tanya berkenaan dengan ilmu iaitu kepada ulama' ini, ulama itu dan seumpamanya adalah bukan satu isu dalam agama.

Kemunculan Zaman Empat Mazhab Termasyhur Saling Berkongsi Ilmu

Kemudian muncul selepas daripada zaman para sahabat, adalah mazhab-mazhab banyak yang terkandungnya empat mazhab termasyhur iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Hambali dan Syafi'e. Imam-imam itu sendiri tidak pernah menyatakan untuk tidak mengambil ilmu daripada mazhab-mazhab lain. Bahkan mereka sendiri iaitu pengasas mazhab saling berkongsi ilmu sesama mereka. Imam Syafi'e mengambil ilmu daripada Imam Malik. Kemudian, apabila Imam Syafi'e ke Baghdad, beliau mengambil ilmu daripada Muhammad Hassan Asy-Syaibani yang mana merupakan tokoh besar dalam mazhab Hanafi. Imam Ahmad pula mengambil ilmu daripada Imam Syafi'e dan Imam Syafi'e pula banyak mengambil hadis daripada Imam Ahmad Bin Hanbal. Ini tidak menjadi masalah sesama mereka pada zaman tersebut.

Golongan Fanatik Mazhab Menganggap Orang Ramai Mempermudahkan Agama

Selepas zaman tersebut, muncul pula golongan fanatik mazhab iaitu seolah-olah golongan tersebut memerlukan pendaftaran terlebih dahulu untuk memasuki mazhab yang dianuti oleh mereka masing-masing bagi mendapatkan ilmu-ilmu agama yang mana jikalau seseorang yang sudah mendaftar dengan mazhab Syafi'e, maka tidak boleh sama sekali hendak mencedok ilmu daripada mazhab Hanafi. Mereka membuat andaian kononnya apabila orang ramai mengambil contoh-contoh ilmu daripada mazhab-mazhab berasingan, maka dengan begitu mudah orang ramai mempermudahkan agama. Memudah-mudahkan adalah satu perkara yang lain, tetapi kalau hendak mencari yang mudah dalam perkara yang dibenarkan adalah satu hal yang lain.

Hukum Tukar Mazhab Lain Yang Dibolehkan Dan Yang Dilarang

Di dalam hadis 'Aisyah RadiAllahuanha, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya, dia menyebut bahawasanya, "Nabi S.A.W tidak diberi pilihan dua perkara melainkan Baginda S.A.W akan memilih yang mudah sekiranya tidak berdosa". Jika di hadapan kita ada tiga pendapat, semua pendapat tersebut lebih kurang sama dari segi penghujahan, maka kita boleh ambil yang mana paling mudah. Maka hukum tukar mazhab lain sebegini adalah dibolehkan dalam agama.

Berlainan pula dengan yang ini, jikalau kita yakin yang betul adalah pendapat "A", dari segi dalil pun kita begitu yakin. Tetapi kita rasa hari ini, kita hendak ikut pendapat "B" pula, walaupun kita rasa tidak berapa betul di sisi kita untuk pendapat "B", maka itu merupakan Talfiq yang dilarang sama sekali melainkan ada tabrir yang lain seumpamanya.

Wallahua'lam. Sumber (Sila Klik).

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger