Searching...

Macam Mana Nak Tahu Status Halal? Perlukah Ada Logo Halal? Tidak Perlu?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Macam mana nak tahu status halal? Perlukah ada logo halal? Status halal sememangnya berbeza dengan logo halal. Halal adalah suatu hukum Tuhan. Logo halal adalah manusia yang bagi yang mana adakalanya berkaitan dengan status halal ataupun mungkin berkaitan dengan perkara lain iaitu SOP iaitu soal kebersihan, soal tatacara produk itu diasingkan, soal bagaimana produk itu dikendalikan dan berbagai-bagai lagi. Pada asasnya, perkara halal dalam Islam adalah agak mudah. Banyak barang yang mungkin kita lihat tidak terkandungnya logo halal, tetapi sebenarnya adalah halal. Sekarang kita lihat ada air mineral yang diletakkan padanya logo halal. Tetapi, kalau kita lihat air mineral lain pula tidak terdapatnya logo halal. Adakah air mineral yang tiada logo halal, berstatus halal atau tidak halal? Sememangnya halal selagi mana suatu barang itu tidak zahir padanya haram, maka hukum pada umumnya adalah halal kerana pada asal daripada semua perkara adalah diperbolehkan. Allah S.W.T menciptakan semua perkara majoritinya halal bagi diri kita, dan sedikit yang haram untuk kita jauhi dengan begitu mudah.

Macam Mana Nak Tahu Status Halal Restoran? Perlukah Ada Orang Yang Beragama Islam?

Macam mana nak tahu status halal restoran? Kita pergi dan melihat ke sesetengah restoran mempunyai logo halal, tidak kira logo halal mana. Kita pergi ke warung ceruk kampung, tidak mempunyai logo halal. Tetapi penjual makanan di warung tersebut merupakan orang yang beragama Islam. Namun begitu, perlukah ada orang yang beragama Islam? Mestilah perlu kerana apabila zahir pemilik atau pengendali makanan itu adalah orang yang beragama Islam, maka pada zahir hukumnya adalah halal. Di dalam hadis yang sahih, sahabat mengadu kepada Nabi S.A.W mengenai daging yang dibawa oleh sekumpulan mualaf kepada mereka dengan berkata, "Mereka ini baru masuk Islam, mereka membawa daging untuk diberikan kepada kita dan kita tidak tahu ya Rasulullah, sama ada mereka sebut nama Allah atau tidak sebut? Bolehkah kita makan?". Maka Nabi S.A.W pun menjawab, "Kamu baca Bismillah dan kamu makan". Oleh disebabkan mereka sudah masuk Islam, makan dibolehkan para sahabat untuk memakan makanan yang disediakan oleh mereka itu.

Jadi, apabila kita melihat kepada apa sahaja makanan yang tidak zahir kepadanya tanda haram, maka hukumnya adalah halal. Sekiranya kita ikut standard ketika berada di Kuala Lumpur, pergi makan di restoran yang mempunyai logo halal lalu jenguk di dapur restoran tersebut dengan bagi salam dan tanya bermacam-macam kepada pekerja dapur berkenaan dengan status halal restoran itu, tidak tentu pasal pekerja dapur tersebut boleh terasa marah disebabkan kita tidak yakin akan status halal restoran yang mereka bekerja itu.

Pengguna Akan Terpedaya Dengan Paparan Logo Halal Yang Direka

Pada asas dan konsepnya, hukum adalah halal kerana agama Islam tidak bermula dengan pengharaman dahulu dan apabila terjumpa bukti halal baru boleh diletakkan status halal. Sememangnya tidak mungkin boleh terjadi! Islam adalah bermula dengan halal terlebih dahulu dan apabila terjumpa bukti yang boleh dikaitkan dengan haram, maka di situlah jatuhnya hukum haram. Zaman sekarang ramai orang memasak dengan mencampurkan segala jenis bahan dalam masakan mereka, jadi pihak JAKIM secara lazimnya mengeluarkan logo halal untuk menentukan sama ada premis milik seseorang itu diyakini halal atau haram statusnya.

Sepatutnya dalam negara kita ini perlu ada logo haram dan bukannya logo halal. Maksudnya bagi sesiapa yang menjual makanan atau minuman yang berstatus haram, tetapi tidak meletakkan logo haram pada premisnya itu, maka akan diambil tindakan terhadap premis tersebut kerana takut-takut pengguna akan terpedaya dengan paparan logo halal yang direka oleh premis yang berstatus haram. Hendaklah bubuh cop haram pada premis yang sedikit iaitu yang betul-betul mempunyai status haram dan bukannya bubuh cop halal pada premis yang banyak dan sememangnya halal. 

Sekiranya cara tersebut dikuatkuasakan, maka kesemua pemilik premis yang menjual makanan dan minuman kepada pengguna yang beragama Islam akan berasa takut untuk menjual makanan atau minuman yang haram disebabkan logo haram diwujudkan. Jadi, tidak akan berlaku premis yang menjual makanan haram dengan menyalahgunakan jenama melayu seperti, "P Ramly" yang muncul baru-baru ini. Oleh yang demikian, semua orang akan berfikir supaya mereka tidak akan menjual makanan atau minuman haram dalam negara kita kalau betul-betul kita mahukan yang halal dalam banyak perkara. 

Status Halal Dan Logo Halal Adalah Dua Perkara Yang Berbeza

Negara kita telah melaksanakan logo halal. Tetapi untuk buat logo halal, perlu mempunyai banyak syarat dan tidak semestinya bahan yang digunakan itu sahaja yang berstatus halal. Namun demikian, mestilah mempunyai cara yang halal dari segi pengurusan bahan, pemprosesan makanan atau minuman, dan sebagainya. Sebagai contoh, kedai "A" adalah orang Islam yang menjual makanan seperti ayam goreng dan mengambil ayam mentah daripada kedai sembelihan ayam peniaga kampung yang mana ayam-ayam yang disembelih itu dalam sehari sebanyak 20 ekor. Tetapi premis sembelihan ayam tersebut tidak mempunyai logo halal. Kedai "A" memohon logo halal kerana disebabkan ramai orang yang makan di kedai "A" tersebut. Apabila pemilik premis "A" memohon logo halal, syarat yang diperlukan adalah status bahan mentah iaitu ayam yang disembelih untuk dijadikan makanan seperti ayam goreng, diambil dari sumber mana? Sekiranya diambil dari premis sembelihan ayam yang tidak mempunyai logo halal, maka logo halal kedai "A" tidak diluluskan sama sekali.

Bukan kerana premis "A" tidak mendapat status halal, tetapi cuma tidak mendapat logo halal sahaja. Sudah semestinya status halal dan logo halal adalah dua perkara yang berbeza. Salah pada sangkaan kita, jika kita menyangka bahawa tiada logo halal, maka haram hukumnya. Jadi, mentaliti hendaklah diubah daripada menjadi double standard. Cuma pada zaman sekarang, kita hendak check status halal pada suatu tempat dan kita tidak mampu lakukan, maka logo halal membantu kita merujuk berkenaan dengan status halal. Kalau kita melihat suatu premis ada logo halal, tidak kisah logo halal JAKIM atau logo halal mana-mana pihak, maka ianya membantu kita sekurang-kurangnya ada pihak yang telah check dan memastikan premis tersebut benar-benar mendapat status halal.

Apa Hukum Kalau Kita Tidak Mengetahui Status Haram?

Jikalau kita sangka benda itu halal, tetapi ianya haram. Kita melihat orang yang berniaga itu elok sahaja ada rupa alim dan warak. Rupa-rupanya peniaga tersebut pada hari sebelumnya pernah mengambil ayam lemas di dalam kolam itik. Ayam tersebut telah pun mati, namun begitu si peniaga itu menyembelih ayam yang sudah mati itu untuk dijual kepada pembeli seperti kita. Jika kita makan ayam tersebut sudah tentu haram hukumnya. Jadi, apa hukum kalau kita tidak mengetahui akan status haram sedemikian? Adakah kita berdosa? Sama sekali tidak berdosa kerana kita tidak tahu. Kita bergantung kepada peniaga ayam itu yang mewakili status orang yang beragama Islam meniaga ayam walaupun pada hakikatnya ayam tersebut haram untuk dimakan. Yang berdosa adalah si peniaga ayam tersebut. Dalam kes sebegini, logo halal amat membantu kita dalam menentukan status halal suatu makanan.

Nama Tidak Mengubah Sesuatu Hukum

Halal sebenarnya mudah kalau kita hendak sebut kerana tidak ada kaitan dengan suatu "nama" benda itu. Di Kuala Perlis ada satu air yang dipanggil air nira. Berbanding dengan di Kelantan, sememangnya air nira, tetapi dipanggil air tuak. Nama "tuak" tidak menjadikan suatu air itu haram untuk diminum kerana ubah suatu nama tidak mengubah pada hakikat. Contoh lain, kita membeli baju sutera, tetapi apabila kita memeriksa kainnya dan kita mendapati kain tersebut bukan diperbuat daripada ulat sutera. Dinamakan sutera tersebut adalah disebabkan jenis kainnya yang betul-betul lembut bak sutera tetapi kainnya diperbuat daripada bahan-bahan lain. Namanya "sutera" tetapi pada hakikatnya bukan sutera jenis kainnya itu. Jadi, nama tidak mengubah sesuatu hukum. Nama lain seperti cucur badak, cucur kodok, kuih badak berendam, dan seumpama dengannya.

Kesimpulannya, kalau kita makan suatu benda yang tidak ada logo halal atas kepercayaan dan keyakinan kita, maka benda tersebut adalah halal dan kita tidak berdosa akan hal sedemikian.

Wallahua'lam. Sumber (Sila Klik).

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger