Searching...

Penyakit Was-was Dalam Islam Dan Cara Mengubatinya Perlu Kita Tahu

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Apa beza di antara was-was dengan syak? Penyakit was-was tiada asas. Syak pula bermaksud kita merasakan ketidakpastian sama ada kita sudah melakukan sesuatu perkara atau tidak melakukan sesuatu perkara tersebut. Penyakit was-was dalam Islam adalah suatu penyakit yang mana seseorang itu sudah melakukan perkara dengan cukup sempurna, tetapi syaitan telah membisikkan ke dalam hatinya dan tembus masuk ke dalam fikirannya. Apa yang syaitan bisikkan kepada seseorang tersebut adalah bahawa perkara yang dilakukannya belum cukup sempurna atau langsung tidak melakukan perkara tersebut. Demikianlah bahawa penyakit was-was sangat merbahaya dan perlu ada langkah mengatasinya. Maka hendaklah seseorang itu meneliti maksud dalam surah An-Naas ayat ke-4 seperti berikut:

مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ
Maksudnya: "Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam".

Kemudian, hendaklah seseorang itu juga meneliti maksud pada ayat berikutnya iaitu ayat ke-5 dalam surah An-Naas seperti berikut:

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ
Maksudnya: "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia".

Berdasarkan ayat-ayat Al-Qur'an di atas, jelas menunjukkan bahawa perkataan "was-was" pada ayat keempat di atas adalah bermaksud "pembisik atau penghasut". Perkataan "Yuwaswisu" pada ayat kelima pula di atas adalah berasal dari perkataan "was-was" yang membawa maksud "melemparkan bisikan dan hasutannya". Makna kata, jika fikiran kita dilanda was-was, itu petandanya diri kita dipengaruhi oleh bisikan syaitan. Maka perbuatan was-was adalah dilarang dalam Islam. Imam Ibnu Jauzi menulis kitabnya yang berjudul, "Zanbun Waswasin". Iaitu sebuah kitab menerangkan tentang celaan terhadap orang yang was-was.

Penyakit Was-was Dalam Konteks Perlakuan Seseorang

Apa maksud penyakit was-was dalam konteks perlakuan seseorang? Penyakit was-was adalah suatu perlakuan bagi seseorang yang masih tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara yang dilakukannya itu walaupun perkara tersebut sudah nampak sempurna pada hukum syarak. Contohnya ada seseorang sedang mengambil wudhuk, apabila hampir selesai mengambil wudhuk, dia merasakan ada yang tidak kena pada anggota wudhuknya dan masih tidak berpuas hati dengan perlakuan wudhuknya sebentar tadi, lantas dia ingin mengulanginya semula pengambilan wudhuknya kembali. Sehingga lencun habis baju yang dipakainya itu ketika sedang mengambil wudhuk buat kali kedua, kemudian mengulanginya semula beberapa kali.

Masalah Penyakit Was-was

Selain itu, ada seseorang yang mana baru sahaja selesai mandi wajib, kemudian masuk semula ke dalam bilik air semata-mata hendak mandi wajib kembali dan mengulangi perbuatan mandi wajibnya itu berulang-ulang kali sampai dirinya rasa betul-betul berpuas hati. Itulah bahananya terhadap seseorang yang mengalami penyakit was-was. Imam Ibnu Qayyim ada menulis kitabnya yang membincangkan tentang masalah penyakit was-was.

Ada orang melakukan takbiratul ihram sebanyak tiga hingga empat kali, namun masih belum selesai melakukannya berulang-ulang kali sehingga dia merasakan seperti memasuki gear manual untuk kereta lama. Kadang kala orang yang mempunyai penyakit was-was ini tidak faham maksud niat sebenarnya ketika hendak menunaikan solat. Mereka seolah-olah memerlukan sesuatu untuk betul-betul memahami lafaz niat solat fardhu dengan cara melafazkan bacaan niat secara sempurna sebutannya dalam hati mereka. Bagi mereka, wajib tidak tertinggal sedikit pun sebutan bagi perkataan niat yang dilafazkan oleh mereka tersebut. Sampai begitu jauh sekali mereka memahami lafaz niat solat fardhu, bagi mereka yang mengalami penyakit was-was.

Sudah tentu itu bukan niat! Itu merupakan cara seseorang mengatur perkataan dalam sebutan lafaz niat tersebut. Sudah pasti cara sebegitu adalah tidak betul untuk melafaz niat solat fardhu. Sesuatu niat itu berlaku apabila kita sudah aturkan sesuatu perkara untuk dilakukan pada masa dan tempat yang betul-betul tepat. Barulah disebut sebagai niat. Bukannya sesuatu niat itu boleh berlaku adalah melalui lafaz seperti hendak mengingat kembali atau menghafal skrip lafaz dalam hati! Sama sekali bukan! Tidak dinafikan, itulah realitinya terjadi pada kebanyakan orang kerana faktor bisikan dan hasutan syaitan was-was. Sebab itulah kita kena mengamalkan membaca surah tiga qul iaitu surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Surah An-Naas paling penting sekali.

Konteks Niat Dalam Aktiviti Harian

Justeru, hendak melakukan sesuatu perkara seperti aktiviti harian pun memerlukan niat. Namun begitu, kita kena faham konteks niat dalam aktiviti harian kita. Sebagai contoh, kalau badan kita terasa gatal kesan daripada gigitan nyamuk, maka kita pun merasakan hendak menggaru pada tempat gatal itu. Di situ kita mempunyai 'rasa' hendak menggaru maka itu merupakan niat kita hendak menggaru pada tempat gatal tersebut. Kalau kita mempunyai 'rasa' hendak melakukan sesuatu, maka sudah pasti itu merupakan niat kita untuk melakukan sesuatu perkara. Maka kita tidak perlu bersusah payah hendak melafazkan niat berulang-ulang kali seperti berikut, "sahaja aku melakukan sesuatu perkara..." sebelum kita melakukan sesuatu perkara tersebut kerana itu merupakan tipu daya syaitan yang hendak mengelirukan kita apabila aktiviti harian kita yang sememangnya tidak memerlukan lafaz niat sebelum melakukan sesuatu perkara adalah tidak sama dengan perlakuan ibadah kita kepada Allah S.W.T. Seringkali kita merasakan patut memerlukan lafaz niat yang sempurna dalam mengerjakan sesuatu ibadah. Maka itu adalah pelik.

Penyakit Was-was Yang Kronik

Sebab itulah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullah pernah menyebutkan bahawasanya, "Jika ada seseorang yang bersusah payah dengan niat, maka ia mempunyai masalah pada akalnya". Seseorang itu sudah mengambil wudhuk, selepas itu masuk ke dalam masjid untuk menunaikan solat berjemaah, tiba-tiba orang tersebut melafazkan perkataan, "Allahu Akbar" berulang-ulang kali sampai mengganggu jemaah di sebelahnya yang sedang khusyuk menunaikan solat berjemaah. Mungkin dalam fikirannya pada ketika itu yang sedang mengalami penyakit was-was yang kronik, masih belum 'rasa' dalam dirinya hendak menunaikan solat pada waktu itu. Senang cerita, belum masuk niat lagi umpamanya. Fikiran dia mungkin sudah terbiasa dengan memaksakan dirinya untuk berfikir secara perfect dalam menentukan lafaz niat yang sempurna sebelum menunaikan solat. Ianya seakan-akan hendak menghafalkan sesuatu skrip agar solatnya diterima Allah S.W.T pada waktu itu. Mungkin lafaz niatnya sudah menjadi keutamaan wajib bagi dirinya yang mempunyai masalah penyakit was-was tersebut.

Suatu niat sebelum kita mengerjakan solat semestinya sudah lama wujud jikalau kita pada waktu itu sudah mempunyai 'perasaan' hendak menunaikan solat fardhu, maka itu merupakan niat kita untuk melakukan solat tersebut. Cuma lafaz niat dalam bahasa arab itu cuma sekadar lafaz sahaja. Bukan bermakna solat kita tidak sempurna kalau kita tidak melafazkan niat sedemikian. Asalkan mempunyai niat dalam hati hendak mengerjakan solat dengan menghadap Allah pada waktu itu, sudah dikira cukup syarat untuk mengerjakan solat.

Mengapa Tidak Boleh Melayani Penyakit Was-was Sebegini

Kalau kita silap melafazkan perkataan, "Allahu Akbar" disebabkan lafaz niat di dalam hatinya itu telah mengganggu lafaz perkataan tersebut, maka lafaz "Allahu Akbar" itu sudah menjadi maksud lain. Boleh jadi seseorang itu melafazkan, "Aaaa Allahu Akbar" yang bermaksud, "Adakah Allah Maha Besar?". Na'uzubillahiminzalik. Minta dijauhkan dengan penyakit was-was sebegini yang boleh menyebabkan sebutan dalam solat menjadi cacat tanpa kita sedar. Perkataan, "Akbar" jika disebutkan dengan sebutan, "Akbaaaar", maksud bahasa Arabnya sudah menjadi lain iaitu "Rendah". Jadi, faham-fahamlah mengapa kita tidak boleh melayani penyakit was-was sebegini.

Syaitan yang bersebelahan dengan kita saling bertepuk-tepuk tangan kerana telah berjaya menipu daya diri kita dengan kesilapan yang remeh-temeh. Itulah sebab, nampak sahaja macam remeh tetapi memberikan kesan yang besar terhadap bacaan dalam solat yang kita tunaikan. 


Syarat Wajib Solat Adalah Berakal Iaitu Tidak Gila

Kalau sekiranya kita ada terjumpa seseorang yang "tidak masuk niat" dalam solatnya, maka kita perlu memegang tangannya dan bertanyakan kepadanya, "Apa tujuan kamu berdiri di dalam saf ini?" Kalau orang tersebut tidak boleh menjawab maka memang betul mentalnya memang mempunyai masalah dan tidak wajib bagi dirinya mengerjakan solat kerana dia tidak waras. Syarat wajib solat adalah seseorang itu hendaklah berakal iaitu waras dan tidak gila

Kalau dirinya itu boleh menjawab terhadap tujuan dirinya berdiri dalam saf tersebut adalah untuk menunaikan solat, maka selepas itu diri orang berkenaan sudah tidak berasa was-was lagi sebagaimana dirinya yang sebelum. Sebab kenapa? Sebab dia tidak mahu membebani orang yang menunaikan solat berjemaah yang bersebelahan dengan dirinya itu.

Salah Ajaran Tentang Konsep Niat

Ada satu orang sedang mengejar orang lalu menakik tengkuk orang dengan parangnya sampai orang tersebut mati. Apabila tiba pada sidang mahkamah, yang tertuduh iaitu orang yang menakik mangsa pun menjawab, "Sebenarnya saya bunuh orang tanpa niat". Mana boleh macam itu! Sudahlah memegang parang dalam keadaan waras dan sedar, kemudian keluar rumah dan mengejar mangsa. Nampak atau tidak, di situ telah terbukti wujudnya niat seseorang yang hendak bunuh orang. Benarkan? Begitu juga dengan kita yang mengambil wudhuk dari rumah, selepas itu keluar rumah terus menuju ke masjid. Sampai di masjid, terus masuk ke dalam masjid lalu masuk ke dalam saf. Tiba-tiba kita boleh kata pada diri kita, bahawa kita solat tanpa niat? Ini merupakan satu masalah iaitu salah ajaran tentang konsep niat. Adakah patut sampai begitu jauh sekali kita tidak terfikir bahawa usaha yang kita lakukan sebentar sahaja tadi iaitu semata-mata hendak menunaikan solat secara berjemaah adalah bukan niat? Sudah tentu dan semestinya usaha kita ke arah solat berjemaah tadi merupakan niat.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi S.A.W bersabda, "Bila kita hendak bersembahyang, maka lakukan takbir". Bermaksud kalau kita hendak menunaikan solat, maka permulaannya adalah cuma melakukan takbir, "Allahu Akbar". Tidak perlu hendak melafazkan perkataan, "Usholli fardh...". Memang ada kitab yang menyuruh kita memberikan lafaz niat dalam bahasa Arab sedemikian, tetapi dalam hadis tersebut, Nabi S.A.W memulakan solat hanyalah dengan takbir sahaja.

Apabila kita belajar ilmu agama melalui kitab, maka terdapat perkataan yang kita boleh pelajarinya iaitu, "Sembahyang itu adalah perkataan yang dimulakan dengan takbir". Maka solat hendaklah dimulakan dengan takbir. Bukan lafaz niat yang membuatkan fikiran seseorang menjadi was-was dan merapu bagai. Lafaz niat "usholli" dalam bahasa Arab merupakan optional sahaja. Hendak lafaz boleh, tidak mahu lafaz pun boleh terpulanglah kepada diri kita masing-masing asalkan tidak membebani diri semasa kita hendak memulakan solat.

Penyakit Was-was Ketika Membuang Air Kecil

Kadang-kala ada orang yang mempunyai penyakit was-was ketika membuang air kecil. Masalah itu dipanggil sebagai, "istibra" iaitu perlu mengurut kemaluannya dan berdehem sehingga seseorang itu dapat merasakan air kencingnya sudah berhenti keluar dari kemaluannya. Dari segi hukum fiqh, tidak ada dalil dalam hal ini. Kalau seseorang itu sudah memastikan tiada air kencing yang keluar dari kemaluannya, maka dirinya itu bersih. Tetapi kalau sekiranya ada yang was-was dengan masalah ini, hendaklah merujuk hadis seperti berikut.

Dalam riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya dengan menyatakan bahawa seseorang itu hendaklah merenjis dengan air bersih pada pakaiannya itu untuk menghilangkan rasa was-was selepas membuang air kecil. Apabila seseorang itu merasakan ada keluar sedikit dari kemaluannya semacam air kencing, maka dia patut menyedari bahawa itu merupakan tipu daya syaitan.

Cara Mengubati Penyakit Was-was

Namun demikian, orang yang mempunyai penyakit was-was apabila dirinya hendak menunaikan solat pada waktu itu, turut mengalami rasa susah hati. Oleh itu, cara mengubati penyakit was-was tersebut sememangnya ada. Perlu diingatkan bahawa rasa susah hati merupakan niat sebelum melakukan solat bagi orang tersebut. Kalau sudah dia berniat sebegitu, maka dalam solatnya pun wujudnya perasaan susah hati lalu membuatkan solatnya antara khusyuk dengan tidak khusyuk iaitu bak kata pepatah, "hidup segan, mati tidak mahu" kerana perasaan susah hati yang dialami oleh dirinya itu.

Was-was dalam nikah kahwin pun ada juga terjadi iaitu ketika hendak melafazkan akad nikah. Maka dengan itu pentingnya saksi-saksi dalam upacara akad nikah agar tidak berlakunya nikah tanpa lafaz sah bagi sesuatu niat tersebut. Bahkan dalam hal rumahtangga si suami pun turut mempunyai penyakit was-was sama ada dia pernah melafazkan talak terhadap isterinya atau tidak pernah. Oleh sebab itu, pentingnya hubungan antara suami dan isteri agar si suami dapat menanyakan hal-hal yang dirasakan was-was sebegitu, untuk mendapatkan keyakinan dan kepastian berkenaan dengan jawapan daripada pihak isterinya tersebut. Tidak ada istilah talak secara tidak sengaja kerana terlafaz atau seumpamanya.

Agama mencerca was-was kerana sesiapa yang mengikut was-was itu maka seseorang itu mengikut tipu daya syaitan, maka dia hendaklah menghentikan perbuatan was-was tersebut kerana sudah pastinya haram. Sebagai ubat terhadap penyakit was-was, hendaklah seseorang itu membaca surah An-Naas berkali-kali agar tipu daya syaitan dapat dipatahkan dengan fadhilat daripada ayat-ayat Al-Qur'an tersebut. Wallahua'lam. Sumber di sini (sila klik).

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah terbitan saya. Harap anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan maklumat penting sedikit sebanyak ianya berguna dalam kehidupan anda.
Kalau anda rasa pandangan di dalam artikel ini ada percanggahan, kepincangan dan perlu diperbetulkan maka dipersilakan untuk berbincang dalam kotak komen di bawah.
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 comments:

Post a Comment

loading...
 

Total Pageviews

Jumlah Pelawat

Ping

Personal Blogs
Copyright © 2016. Nukeufo89's Blog - Cara Islam - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger